6 Tip Hebat untuk Anak Mudah Mendengar Kata

2124

Ramai ibu bapa rasa sukar dan agak tercabar apabila mahu mengajak anak membuat sesuatu atau menukar kebiasaan iaitu tabiat lama yang tidak diingini kepada tabiat baru yang lebih baik.

Contohnya: mengadakan jadual belajar, makan di ruang yang disediakan dan bukan di depan tv, berkumpul dan makan bersama-sama, biasakan ucapan “terima kasih, maafkan saya dan tolong” jika mahu meminta pertolongan, minum duduk dan sebagainya.

Saya percaya bahawa tabiat yang baik itu pun kadang-kadang kita sendiri tidak amalkan.

Dan jika dapat dilaksana pun selepas anak-anak dimarahi atau diugut dengan pelbagai cara dan teknik.

Maka, ada yang berjaya mencuba tetapi hanya bertahan tidak sampai 2 minggu dan selepas itu anak kembali mengulangi tabiat lama. Akhirnya, anda berputus asa untuk meneruskan apa-apa perubahan yang baik di rumah.

Jika anda benar-benar mahu perubahan positif berlaku setiap hari kerana anda benar-benar sedar dan mahu perubahan itu berlaku. Jom amalkan tip mudah ajak anak dengar kata ini.

Pesanan:

Tip ini hanya sesuai diamalkan oleh ibu bapa atau guru yang:

√ Positif dan benar-benar serius mahu anak berubah
√ Sabar dan istiqamah
√ Tenang dan suka berdoa

1. Berserah kepada-Nya.

Kebiasaannya kita akan berusaha dan selepas itu berserah kepada-Nya. Apa kata kita ubah cara dengan serah segala-galanya kepada-Nya, berdoa selepas itu baru mulakan apa yang ingin dilaksanakan. Percaya kepada-Nya kerana Dialah pemegang hati manusia.

2. Papan Keluarga

Setiap rumah perlu ada Papan Keluarga yang ditulis secara jelas dan dipersetujui ramai. Papan Keluarga perlu ringkas, jelas dan hanya mengandungi 6 ke 8 arahan atau tabiat baru yang ingin diamalkan (ikut usia anak-anak).

Anda boleh mengadakan perbincangan bersama anak-anak tentang apakah tabiat baik yang ingin dilakukan dahulu. Jika anda laksanakan arahan tanpa mengambil kira kematangan anak-anak untuk mengikut arahan tersebut, sudah pasti anak anda akan berasa sukar untuk melakukannya.

3. Masa

Beri anak masa untuk bersedia. Anda boleh menentukan masa untuk anak bersedia menukarkan tabiat lama atau mengikut arahan baru. Pastikan masa yang diberikan tidak terlalu lama sehingga anda dan anak hilang fokus dan motivasi untuk mengikut apa yang telah dirancang. Masa terbaik adalah 3 hingga 7 hari selepas papan dipamerkan. Anda boleh set hari terbaik contohnya: Hari Jumaat ini , kita bersama-sama untuk mula melakukan kesemua perbuatan pada papan keluarga.

4. Istiqamah/ ‘consistent

Anda adalah contoh terbaik untuk anak-anak ikut dan rasa termotivasi untuk meneruskannya sehingga menjadi. Ini bermakna anda juga perlu ikut serta dan sama-sama mengamalkan peraturan yang telah dipersetujui bersama-sama secara konsisten.

Jika mahu anak mula mengucap ucapan terima kasih pada setiap pertolongan, bantuan atau tunjuk ajar, ucapkannya dahulu kepada anak-anak walaupun sekecil-kecil pertolongan yang mereka lakukan. Biasakan anak mengucap kesyukuran – ucapan Alhamdulillah – pada setiap kegembiraan dan keseronokan yang mereka lalui.

5. Motivasi

Beri kata-kata pujian, rangsangan, tepukan motivasi di bahu dan pandang mereka dengan pandangan kasih sayang apabila mereka berjaya atau cuba melakukannya. Peneguhan positif yang diberikan dengan cepat dan pada masa perbuatan dilakukan memberi impak cepat kepada anak-anak untuk terus mengamalkan tabiat yang baik.

Untuk anak-anak kecil, beri mereka hadiah motivasi seperti stickers bentuk hati untuk anak perempuan dan stickers bentuk bintang kepada anak lelaki.

Elakkan beri anak makanan-makanan yang tidak berkhasiat seperti snek dan gula-gula.

6. Baca arahan bersama anak-anak setiap pagi

Amalkan membaca arahan bersama anak pada setiap pagi. Anda akan lihat perubahan positif cepat berlaku. Teruskan membaca arahan sehingga anak boleh mengulang dan menambah perubahan positif lain yang ingin dilakukan. Jika tidak tahu membaca, anda boleh meminta anak mengulang bacaan anda. Lama-kelamaan mereka akan mampu membaca sendiri arahan pada papan arahan.

Semoga tip ini membantu anda. Jom bantu diri dan anak-anak.

Monalisa Harun Chong
Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.