10 Tip Anak Dengar Cakap Tanpa Perlu Dijerit dan Menjerit

4920

Mengapa menjerit? Alasannya, jeritan akan membuat anak berasa takut dan ikut arahan yang diminta. Ada juga menjadikan jeritan sebagai salah satu cara untuk memastikan anak mengikut suruhan dengan cepat terutama ketika keadaan menjadi kelam kabut di awal pagi.

Amalkan tip dan teknik ini dan anda tidak perlu menjerit dan dijerit. Teknik ini perlu dilakukan secara konsisten dan jadikan ia sebagai amalan seumur hidup. In sha Allah akan berhasil jika anda benar-benar mahukan perubahan ini.

1. Terima kasih dan maafkan saya.

Rutinkan ucapan terima kasih dan maafkan saya sebagai ucapan harian yang wajib ada di rumah atau di sekolah. Ucapan ini melatih anak untuk rasa dihargai dan menghargai.

2. Tenang dan kawal

Bertenang, bertenang dan bertenang walaupun keadaan kelam-kabut. Kanak-kanak adalah pemerhati terbaik dan mereka akan lihat dan ikut bagaimana anda urus diri anda ketika waktu tenang atau waktu kelam-kabut. Ketika anda mulai rasa kelam-kabut, ambil masa 10 saat untuk bernafas dengan baik dan bertenang. Kawal emosi anda dan anda akan lihat keadaan menjadi tenang dan terkawal. Katakan “Semuanya terkawal dan saya amat tenang sekali”.

3. Suara lembut dan sopan

Ajari anak menggunakan suara lembut dan sopan. Tunjukkan melalui teladan. Anak-anak perlu diajar cara bercakap dalam keadaan suara yang lembut dan sopan. Guru terbaik adalah anda. Jika anda mahu anak bercakap dengan suara yang lembut dan sopan, anda juga perlu berbuat demikian. Hasilnya anda tidak perlu menjerit dan dijerit oleh anak-anak.

4. Teknik bisikan

Anda boleh menggunakan teknik bisikan apabila ingin meminta anak anda lakukan sesuatu. Dengan bisikan, anak anda akan lebih peka dan teruja untuk melakukan aktiviti yang anda inginkan. Lakukan ia seperti permainan. Contohnya: Dalam nada berbisik “Aiman… tolong mama simpan baju dan seluar biru dalam almari”/ “Siapa boleh tolong mama simpan semua mainan paling pantas dalam kotak? Satu… dua… tiga…”

5. Pandangan mata

Pandang mata dan tunduk ketika bercakap dengan anak. Apabila bercakap atau memberi arahan kepada anak-anak. Pastikan anda memandang mata mereka dengan pandangan kasih dan sayang dan tundukkan sedikit badan atau duduk sedikit supaya anak tidak perlu mendongak ketika bercakap dengan anda.

Cara ini membantu anak menerima arahan anda dengan jelas dan sepenuh perhatian. Cara ini juga perlu digunakan ketika anak anda berbual dengan anda. Memberi sepenuh perhatian ketika anda atau anak sedang bercakap mendidik anak secara tidak langsung untuk memberi perhatian tanpa perlu menjerit.

6. Kaedah beri arahan anak lelaki dan perempuan

Kaedah beri arahan kepada anak lelaki dan perempuan tidak sama. Otak anak lelaki adalah monotrek bermaksud otak anak lelaki fokus pada satu perkara dalam satu masa. Ini bermakna, anak lelaki perlu diberi satu arahan dalam satu masa. Selepas anak menyelesaikan tugasan tersebut, barulah ditambah dengan arahan seterusnya. Cara ini membantu anak untuk faham arahan dengan mudah.

Otak anak perempuan bersifat multitasking. Anda boleh memberi 2 hingga 3 arahan kepada anak perempuan untuk diselesaikan dalam satu masa. Contohnya: “Sofea, tolong ibu angkat pingan, cawan dan sudu dan letakkan di dalam sinki.”

7. Pasang ayat-ayat Al-Quran

Pasang ayat-ayat Al Quran, zikir munajat atau lagu- lagu bertemakan alam contohnya ‘Nature soothing music‘ untuk meredakan keadaan yang tidak terkawal. Keadaan rumah atau sekolah yang tidak terkawal menyebabkan tekanan. Tekanan inilah yang menyebabkan kita akan menjerit dan dijerit. Adakan satu sesi dalam masa 30 minit – 1 jam setiap hari secara konsisten untuk bertenang.

8. Berikan pujian

Berikan pujian, sokongan, kata-kata semangat, pelukan, tepukan atau hadiah berupa makanan berkhasiat, peralatan tulis atau stickers kepada anak sebagai hadiah galakan dan motivasi ketika mereka mendengar kata, berjaya melakukan tugasan yang diminta dan bertutur dengan sopan. 

9. Minta anak ulang arahan

Anak-anak perlukan masa untuk memahami arahan yang diberi. Jadikan ayat suruhan anda ringkas dan sesuai untuk anak selesaikan. Antara cara terbaik untuk memastikan anak faham atau tahu apa yang anda inginkan. Minta anak ulang semula kata-kata anda. Contoh: “Haikal, tolong mama angkat tuala putih dan biru atas lantai. Haikal, tadi mama minta tolong apa?”

10. Tunjukkan caranya

Arahan seperti: kemas bilik, cuci pingan, sapu sampah adalah suruhan yang tidak semua anak faham apa yang dimaksudkan dengan kemas bilik. Tunjukkan caranya apa itu kemas bilik, cuci pingan dan sapu sampah. Walaupun bagi anda perkara-perkara di atas adalah remeh dan anak telah biasa lihat bagaimana anda mengemas. Tunjukkanlah caranya agar anak lebih faham tugasan-tugasan yang dibeikan.

Anda adalah contoh utama dan pertama yang akan diikuti oleh anak-anak. Perbuatan dan perbualan anda perlu seiring dan sejalan dengan apa yang anda mahukan dari anak-anak. Jika mahu anak mendengar kata tanpa menjerit dan dijerit, berbuallah dan bertindaklah dengan tenang dan konsisten.

“What you give, you get back”. Selamat mencuba dan semoga tip dan teknik ini membantu anda dan anak anda.

Monalisa Harun Chong
Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.