Tip Pemilihan dan Penjagaan Permainan Di Tadika

5139

Buat pengusaha dan guru-guru.

Permainan di tadika/taska anda adalah permainan anak-anak. Permainan anak-anak seharusnya untuk anak-anak. Oleh itu, beri mereka masa untuk bermain. Anak-anak bukan hanya bermain, mereka belajar banyak perkara melalui bermain berbanding buku dan papan putih.

Permainan anak-anak juga bukan hiasan sekadar mencantikkan tadika atau taska. Fungsi permainan adalah untuk meningkatkan potensi dan kemahiran anak-anak. Justeru, rancanglah pembelajaran di dalam permainan tersebut.

Bermain adalah pekerjaan serius anak-anak. Mereka bersungguh-sungguh ketika bermain. Ketika itu, mudah untuk anda mendidik akhlak, adab dan kasih sayang. Ajari mereka berkongsi, bertolak ansur, ucapan bolehkah saya, terima kasih dan maafkan saya.

Mereka juga mudah mengikut arahan anda dan faham tentang menjaga peralatan permainan dan menyimpan semula selepas bermain. Perkara di atas perlu diajar dan diingatkan selalu dengan kasih sayang. Boleh aturkan jadual mengemas supaya semua mempunyai tanggungjawab terhadap permainan-permainan di tadika atau taska.

Selalulah memastikan permainan-permainan yang ada di tadika atau taska anda dalam keadaan baik. Jika ada yg rosak dan patah, baiki jika boleh atau gantikan sahaja. Usah biarkan permainan rosak ini mencederakan anak-anak ketika bermain.

Permainan adalah peralatan yang sangat penting di tadika dan taska. Pilihlah permainan yang bercirikan educational toy‘ yang berkualiti dan mesra anak-anak. Kesesuaian ini amat penting supaya anda boleh menggunakan permainan tersebut sebagai alat bantuan mengajar dan anak boleh bermain dengan selesa dan dalam jangka masa yang lama.

Usah lupa ajak anak bermain permainan tradisi kita. Anak kenal tradisi dan budaya kita selain meningkatkan kemahiran jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Anak-anak suka mengikut cara bermain bergambar yang ada di kotak permainan. Oleh itu, potong dan tampallah gambar cara bermain pada kotak lutsinar tempat penyimpanan permainan mereka.

Labelkan permainan untuk tujuan mudah anak bermain dan menyimpan semula permainan.

Kawasan dan peralatan permainan anak-anak juga perlu dibasuh dan dibersihkan selalu. Usah biarkan anak-anak bermain permainan yang kotor dan tidak dibersihkan.

Ingat! Permainan dan tempat bermain anak-anak adalah taman permainan anak-anak yang membahagiakan dan ia banyak membantu anak untuk belajar banyak perkara. Sila pastikan tempat kesukaan mereka dijaga dengan baik setiap masa. Sekali lagi, bermain adalah pekerjaan serius anak-anak. Usah biarkan permainan di tadika dan taska anda berhabuk dan berkarat kerana dijadikan hiasan semata-mata. 

Monalisa Harun Chong
Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.