Jom Kenali Anak Kita: Mama Jangan Paksa Adik

1425

Ingatlah:

  • Anak kecil kita tidak suka dipaksa-paksa.
  • Setiap diri anak kita adalah unik.
  • Jangan suka membanding-banding dan merendah–rendahkannya di hadapan yang lain.

Tidak ada siapa yang suka disuruh-suruh dan dipaksa-paksa termasuklah anak kita yang masih kecil itu. Biasanya dalam melakukan sesuatu kerja, kita boleh cuba percepatkan dengan meletakkan ‘dateline.

Tetapi kita tidak boleh meletakkan dateline dalam hal belajar membaca. Kita tidak boleh tetapkan dalam masa seminggu anak kita telah menguasai kemahiran satu.

Minggu kedua… kemahiran dua, minggu ketiga… kemahiran tiga. Ia hanya sebagai guideline bukan satu kemestian. Yang belajar ialah dia. Kita tidak boleh paksa. Sekiranya kita paksa juga, takut-takut nanti anak akan berasa benci dan menjauhkan diri.

Mengikut kajian, anak akan lebih mudah menerima dalam keadaan dia gembira dan seronok. Justeru itu, bila kita mengajar, pastikan pembelajaran kita menyeronokkan dan menggembirakan. Penting kita tanamkan dalam dirinya persepsi belajar itu menyeronokkan bukan membosankan atau membebankan. “Asyik-asyik baca, asyik-asyik baca.” Dan kita tidak perlu risau lagi kerana setiap kali pelajaran, kita tidak perlu lagi ‘paksa’ si kecil belajar. Dia sendiri yang akan datang menghadap. Dia sendiri yang meminta diajar. Dia akan sentiasa ternanti–nanti dan tertunggu-tunggu. “Ibu… bila nak baca?”

Kita bukan perlu habiskan silibus seperti yang dihadapi oleh guru-guru di sekolah. Sistem pendidikan di sekolah berorientasikan peperiksaan. Justeru itu guru terpaksa mengenepikan keseronokan dan kreativiti mengajar. Pernah saya mengikuti kursus mengajar bahasa Inggeris secara kreatif yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah. Walaupun kami semua gembira dengan aktiviti-aktiviti yang ditunjukkan, tetapi bila ditanya,

“Macam mana lepas ni, agak-agak boleh buat tak dalam kelas?”

“Maaflah… Mana nak kejar silibus lagi.” balas guru-guru.

Tetapi kita ibu bapa, kita tidak ada silibus yang perlu diikuti. Masa bersama anak terserah pada kita sendiri. Hanya kita perlu ada target… anak saya perlu boleh membaca sebelum ke sekolah. Sekiranya itu target kita, mulakan awal. Banyakkan masa bersama untuk aktiviti-aktiviti pengajaran yang menyeronokkan dan menggembirakan. Sekiranya anak tidak menunjukkan respons yang positif terhadap pengajaran kita, berhenti dahulu dan cuba lagi seminggu dua kemudian.

Jadi kenapa perlu kita memaksa? Ada anak yang tidak makan paksaan. Makin kita paksa, makin keras hatinya, semakin negatif responnya. Apatah lagi kalau kita gunakan taktik membanding-banding dan merendah-rendahkan dirinya di hadapan adik-beradiknya yang lain.

“Kalau saya beli buku kaedah membaca cepat ini, berapa lama masa agaknya anak saya boleh membaca?”

Satu soalan popular yang kami terima daripada pelanggan Ameen. Satu perkara yang perlu diingat ialah cepat membaca (early reading) tidak sinonim dengan baca cepat (speed reading). Setiap anak kita unik. Tahap penerimaan anak-anak berbeza. Fitrah anak-anak berbeza. Minat dan kecenderungan berbeza. Masa kita luangkan bersama anak juga berbeza. Seni kita mengajar juga berbeza. Tahap kesabaran kita juga berbeza! Semua ini perlu diambil kira.

Respon yang saya terima daripada pengguna juga berbeza. Ada yang kata dalam masa seminggu saja, anaknya dah boleh membaca. Ada juga kata sebulan, 3 bulan, 6 bulan, setahun, dua tahun. Diibaratkan iklan yang dikeluarkan oleh kedai menjual kasut. Kasut wanita pelbagai fesyen, dari RM5.90 hingga RM59.90. Bukan semua kasut harganya RM5.90. Harganya bergantung kepada kualiti kasut. Elok kasutnya, mahallah harganya. RM5.90 itu sebenarnya untuk kasut yang paling rendah kualitinya daripada kasut-kasut yang lain. Begitulah halnya membaca. Elok penerimaannya, kurang cabaran dan masalah yang diberi, lebih banyak masa kita luangkan, ilmu dan seni mengajar kita pun tinggi, maka cepatlah anak kita membaca. Tetapi kalau kesempatan bersama anak pun hanya seminggu sekali, ibarat kasut tadi, RM 5.90 pun susah nak dapat. Walau apapun, segala-galanya bergantung kepada kita yang mengajar. Segala-galanya bermula dengan kita.

Zairani A. Hamid
Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.