Si kecil secara semula jadinya mempunyai keupayaan dan kehendak yang tinggi untuk mempelajari matematik. Kemahiran untuk berfikir dalam matematik meningkatkan keupayaan minda bagi menguasai ilmu baharu kerana matematik mengasah minda untuk berfikir secara sistematik dan logikal. Tunjukkan bagaimana matematik berkait rapat dengan kehidupan seharian supaya anak lebih memahami konsep matematik yang terlibat.
Pengalaman pranombor merupakan kemahiran pertama bagi menyediakan anak untuk memahami matematik. Kemahiran pranombor termasuk memadan, mengasing dan mengelaskan, membuat seriasi, mengecam corak berulang dan membina pola. Gunakan masa bermain, semasa makan untuk membina kemahiran ini.
Seterusnya, terdapat 5 ukuran asas yang perlu diberi perhatian dalam mengajar matematik pada peringkat awal – konsep nombor, geometri, pengukuran, celik bahasa matematik dan kesedaran ruang.