Galakan Budaya Bercucuk Tanam di Rumah

2807

Berbakti kepada tanah merupakan usaha murni yang perlu digembleng bersama oleh setiap individu berkeluarga. Memberi galakan dan bimbingan terhadap anak-anak tentang budaya bercucuk-tanam bukan sahaja menjamin semangat cintakan alam sekitar malah mencambah pelbagai ilmu berkenaan tumbuh-tumbuhan, haiwan, cuaca, alam sekitar dan pemakanan yang sihat.

Bayangkan betapa anak anda akan bertukar menjadi lebih bertanggungjawab dengan menjaga benih yang baru ditanamnya. Anak-anak yang baru memulakan minat menanam pasti akan melihat hasil tanamannya setiap hari untuk melihat pembesaran benih pokok. Jadi, anda sebagai ibu bapa boleh menyuruh anak anda membuat pemerhatian dan merakam apa sahaja perubahan yang terdapat pada biji benih. Anda boleh meminjamkannya kamera dan membuat animasi pegun (stop motion) menggunakan gambar-gambar yang diambil setiap hari akan menjadikan anak-anak lebih tertarik untuk meneruskan minatnya.

Berikan juga anak anda ruang untuk menanam. Peralatan bercucuk tanam juga perlu dipilih dengan tepat agar tidak membahayakan si manja anda. Pemilihan tumbuh-tumbuhan juga penting. Sebagai pilihan yang tepat, anda boleh memilih pokok bunga yang mudah untuk dijaga tetapi menarik perhatian serangga seperti rama-rama atau kumbang ladybird. Anak anda boleh melakukan uji kaji sains berdasarkan tanaman-tanaman sebegini.

Mungkin juga ruang di rumah terlalu kecil untuk membuat uji kaji sains. Jika berkesempatan, sebaiknya anda membawa keseluruhan ahli keluarga berkunjung ke mana-mana kebun sayur-sayuran. Jika anda ingin melihat dia terpegun melihat rama-rama yang berterbangan bebas, anda boleh membawa anak anda ke Taman Rama-Rama. Di sana, anak anda pasti mendapat ilmu yang bermanfaat mengenai habibat yang sesuai untuk pembiakan rama-rama, pokok-pokok bunga yang akan menarik rama-rama hinggap ke atasnya dan banyak lagi.

Namun, langkah keselamatan juga perlu dititikberatkan. Pastikan anak anda dijauhkan dari mana-mana racun rumput. Elakkan juga dari menggunakan baja-baja kimia. Kaedah organik perlu menjadi pilihan pertama. Selain itu, pakaian-pakaian yang bersesuaian dan praktikal amatlah digalakkan. Seeloknya, pastikan anak anda selesa dengan topi, seluar yang sesuai, baju, kasut dan sarung tangan. Ini penting untuk mengelak kecederaan terkena serpihan batu atau lain-lain kejadian malang.

Jika sebelum ini anak anda tidak mengetahui dari mana datangnya hasil sayuran. Kini, anak mula belajar disebabkan minat dan pengaruh anda dalam bercucuk tanam. Dia tentunya tersenyum bangga melihat hasil tanamannya yang semakin membesar. Jadi, anda boleh saja menceritakan kepada si manja mengenai khasiat dan keperluan nutrisi yang terdapat dalam setiap sayuran dan vitamin-vitamin yang terkandung dalamnya.

Kami akan menyimpul artikel ini dengan tip-tip yang berguna untuk memilih tumbuh-tumbuhan yang sesuai untuk menarik minat anak anda menanam. Antara ciri-ciri tumbuh-tumbuhan yang baik untuk dipilih ialah boleh dipegang (fizikal), mempunyai rasa (boleh dimakan), berbau wangi, warna yang terang dan boleh menghasilkan bunyi apabila bergesaran atau ditiup angin. Semoga tip-tip yang diberikan membantu anda.