KEPENTINGAN MENAPIS INTERNET PADA KANAK-KANAK

0
141

Pada zaman ini kepentingan untuk menapis bahan kandungan internet terutama pada kanak-kanak dilihat amat penting dilakukan oleh orang dewasa.

Lihat sahaja pada teknologi yang ada pada zaman sekarang dengan hanya menggunakan telefon pintar, sesiapa sahaja boleh mengakses atau melayari laman web di internet.

Malah lebih membimbangkan lagi kanak-kanak di zaman sekarang yang kebanyakkannya tahu menggunakan telefon bimbit ahli keluarga mereka (setelah diajar) membolehkan mereka “mengakses” perkara yang tidak sepatutnya.

Bagi Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laporan media  freemalaysiatoday.com bertarikh 2 Ogos 2014 menegaskan pendiriannya untuk menyarankan agar Malaysia membuat sekatan terhadap Internet kerana penggunaannya telah banyak membawa kesan yang negatif seperti meruntuhkan moral awam.

Beliau berkata melihat dengan keadaan semasa, internet telah menggugat moraliti awam dengan kebanyakkan anak-anak telah pandai mengakses video pornografi daripada media cetak dan elektronik.

“Hari ini kanak-kanak tidak selamat lagi kerana boleh mengakses video lucah dan menyebabkan gangguan seksual semakin meningkat.”

“Anak-anak muda lelaki dan perempuan juga tidak selamat kerana Internet telah membangkitkan perasaan yang kita telah kekang sebelum ini,” katanya (yang dipetik) dalam entri terbaharunya di blog www.chedet.cc.

Manakala hasil kaji selidik yang dibuat oleh NetValue pada bulan Mac 2001 pula melaporkan seorang dari lima kanak-kanak di Britain mengunjungi laman laman lucah dengan purata masa yang dihabiskan melawat laman tersebut adalah 28 minit.

 

KEPERLUAN SISTEM PENAPISAN INTERNET

Menurut Hamirul Aini Binti Hambali Hazaruddin dari Sekolah Teknologi Maklumat, Universiti Utara Malaysia, industri perisian telah mengambil langkah untuk mengurangkan masalah ini dengan membangunkan sistem perisian yang boleh menapis bahan-bahan daripada internet.

Beliau berkata sistem penapisan atau filtering system merupakan satu sistem yang dapat mengelakkan atau menghalang pengguna daripada mencapai atau memuat turun (download) bahan-bahan yang tidak sesuai.

Apabila sistem penapisan ini dihidupkan, pengguna tidak dapat memasuki laman-laman yang tidak sesuai atau illegal sites.

 

MASALAH SISTEM PENAPISAN SEDIA ADA

Menurut Hamirul Aini lagi daripada laporan Consumer Reports, perisian-perisian yang dikatakan dapat menapis Internet untuk menghalang kanak-kanak dan pelajar daripada bahan yang tidak dibenarkan dan lucah masih tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik (Consumer Report, March 2001).

Beliau berkata terdapat dua masalah utama dengan perisian penapisan yang ada di pasaran di mana pertama; ada sesetengah perisian penapisan yang tidak menapis dengan sempurna, kedua; ada perisian penapisan yang terlalu sempurna sehingga tertapis halaman yang berfaedah.

Menurut laporan The Skop bertarikh 4 Jun 2014, Kaspersky Labs telah membuat satu analisa berkaitan corak penggunaan internet di kalangan kanak-kanak dan hasil analisa mendapati bahawa terdapat 10 kategori kandungan lamanweb yang tidak sesuai buat kanak-kanak, telah dipilih di dalam analisa ini.

10 kategori ini ialah: pornografi dan erotika, perisian cetak rompak, narkotik, kekejaman dan keganasan, bahasa kasar dan kesat, senjata, perjudian, pelayan proksi anonymous, sistem pembayaran dan permainan dalam talian.

Data ini diperolehi dari statistik oleh aplikasi Kaspersky Labs sendiri, iaitu Kaspersky Security Networks (KSN) melalui modul ‘Parental Control’.

Dari analisa tersebut, antara rumusan yang boleh dibuat ialah hampir semua negara, meletakkan kategori pornografi dan erotika di tempat pertama dengan jurang yang besar. Antara negara yang memiliki peratus tertinggi ini ialah Jepun 74.9%, Perancis 68.9% dan Mexico 56.3%

 

IBU BAPA DAN GURU MAIN PERANAN

Ibu-bapa sendiri perlu memainkan peranan penting untuk mengekang anak-anak mereka dari mengakses perkara yang tidak dibolehkan dari internet, malah guru di sekolah juga turut memainkan peranan penting dalam mengajar kepada murid mereka apa yang boleh dan yang tidak.

Kesan yang buruk kepada keluarga dan seterusnya masyarakat mungkin akan berlaku sekiranya ia tidak dibendung di peringkat kanak-kanak dengan lebih awal. Oleh itu semua pihak perlulah memainkan peranan yang penting.