Panggilan, Melabel Dan Gelaran: Biarlah Ia Positif, Bukan Negatif

3450

shukri

Memberi gelaran atau melabel seseorang bukan perkara asing dalam masyarakat Melayu. Label negatif yang selalu kita dengar ialah seperti ‘Si Bodoh’, ‘Budak Comot’, ‘Pendek’, ‘Gemuk’, ‘Pak Hitam’ dan ‘Minah Kilang’. Ia lebih ketara bagi mereka yang bernama Ahmad atau Muhammad dengan label yang bermula dengan perkataan ‘Mat’. Bermacam-macam gelaran ‘Mat’ diberikan. Antaranya ialah ‘Mat Gila’, ‘Mat Tiga Suku’, ‘Mat Kerbau’ atau ‘Mat Lori’, sehinggakan apabila seorang ‘Mat’ itu tidak mempunyai apa-apa gelaran, maka dilabelnya pula sebagai ‘Mat Saja’!

Bayangkan kesan ke atas diri seorang kanak-kanak yang selalu mendengar gelaran negatif yang dikenakan ke atasnya. Kanak-kanak lazimnya percaya apa yang didengarinya, apatah lagi jika ia datang dari orang yang dihormatinya seperti ibu bapa atau guru.

Sama ada panggilan itu benar atau tidak, itu bukan persoalannya. Isunya ialah jika anak kita selalu mendengarnya, dia akan mula bertindak seolah-olah ia satu kebenaran. Bila dia menganggapnya sebagai satu kebenaran, dia akan mula bertindak sesuai dengan tafsirannya itu. Dengan sebab itu jugalah dalam Islam, salah satu tugas si bapa ialah memberi nama anaknya dengan nama yang baik.

Sehubungan dengan itu jugalah kita dilarang menggunakan perkataan tertentu kepada anak kita. Ada ibu bapa yang mengharamkan terus penggunaan perkataan tertentu dalam keluarga mereka, khususnya apabila ia ditujukan kepada seseorang. Perkataan yang sering ‘diharamkan’ penggunaannya ialah ‘bodoh’.

Bayangkan guru memarahi seorang pelajar tahun 1 dengan kata-kata, “Bodoh, itu pun tak tahu.” Kawannya pula menambah, “Memang kau bodoh”. Ayah pula berkata, “Kenapalah bodoh sangat anak aku ini?” Emaknya pula menyampuk, “Mak tahulah kau bodoh, tapi takkan itu pun tak tahu?” Abangnya mencelah, “Biarlah emak, dah tau dah dia bodoh.” Kakaknya turut sama mengiyakan kebodohannya dengan berkata, “Woi adik! Macam manalah kau boleh bodoh sangat. Kami semua bukan macam engkau tau.” Dalam pada itu, mungkin neneknya juga berkata, “Bapak kau dulu pun tak sebodoh engkau.”

Cuba kira berapa orang yang telah ‘memperbodohkan’ si anak itu – guru, kawan, ibu, ayah, abang, kakak, nenek? Cuba fikirkan akibatnya apabila kata-kata negative serupa itu diulang-ulang selalu. Kelak, si anak tadi akan membesar dalam bayangan ‘aku bodoh’.