Anak perempuan bagaimana pula? Apakah cara efektif mengajar anak perempuan supaya mudah dan seronok belajar?
Ada ibu bapa bertanya kepada saya yang anak perempuannya mudah belajar tetapi ada subjek yang mereka kurang suka atau agak lambat belajar. Jawapannya…
Anak perempuan dianugerahkan kelebihan otak multitrek. Ini bermaksud kemampuan anak perempuan menggunakan kedua-dua otak kanan dan kirinya secara serentak. Ini juga membantu anak perempuan untuk melakukan dan menyelesaikan lebih tugasan dalam satu masa.
Walau bagaimanapun, tugasan yang diberikan haruslah berfokus. Berikan anak perempuan tugasan bersama dengan kepercayaan dan belaian kasih sayang. Anak perempuan mudah belajar apabila dia rasa ibu bapa dan gurunya sayang kepadanya. Rasa sayang itu perlu diterjemahkan. Contohnya: Berikan kata-kata cinta seperti, “Cikgu seronok bila Nina rajin baca buku Cepat Baca.”
Terjemahan rasa cinta dan kasih sayang boleh ditunjukkan dengan pelbagai cara – cara kata cinta, cara sentuhan dan pelukan, cara pemberian, penghargaan berupa stickers dan sebagainya.
Anak perempuan juga mudah diajar jika ibu bapa dan guru menggunakan objek atau bahan bantu mengajar ketika mengajar mereka. Oleh itu, ibu bapa dan guru perlu banyak menggunakan bahan maujud ketika mengajar anak perempuan. Berikan mereka pengalaman “hands-on” yang bermakna.