4 Aktiviti Bentuk Pengalaman Berharga Di Peringkat Tadika

7688

Dalam hidup, manusia melalui semua peringkat sekali sahaja. Dunia kanak-kanak sekali, alam remaja sekali, dewasa sekali dan kalau panjang umur, tua pun sekali. Habis satu putaran, kembalilah kita kepada yang Maha Pencipta. Sebagai orang dewasa, telah banyak rencah kehidupan yang kita lalui. Banyak pengalaman semasa kecil yang masih bersisa di ingatan.

Ramai yang masih mampu mengimbas kembali zaman awal dunia persekolahan iaitu di peringkat tadika. Walaupun pembelajaran tadika telah melalui perkembangan yang pesat, namun matlamatnya tidak banyak berubah. Jika ada yang diubah pun, ia setakat mengikut kesesuaian masa. Bagaimanakah bentuk aktiviti yang perlu diterapkan kepada kanak-kanak supaya mereka berpeluang merasai nikmat hidup di zaman kanak-kanak? Dalam erti kata lain, memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk merasai satu pengalaman yang bermakna tidak kira dalam apa jua aktiviti yang dilakukan.

PENGALAMAN AWAL SEMASA BAYI

Mengikut beberapa teori dan kajian oleh para pakar bidang ini, kanak-kanak sebenarnya telah dan dapat mempelajari sesuatu semasa dalam rahim ibunya lagi. Satu bentuk hubungan yang terlalu istimewa antara ibu dan bayi dalam kandungan amat sukar untuk dikupas dan hanya mereka yang telah bergelar ibu sahaja yang memahami dan dapat merasai kebenarannya. Mereka dapat berinteraksi antara satu sama lain dalam bahasa yang tidak dapat difahami oleh orang lain.

Begitulah istimewanya kurniaan Allah kepada manusia. Justeru, semasa masih dalam peringkat mengandung, ibu perlu menjaga tatatertib apabila anak dilahirkan dan membesarnya nanti. Ramai yang percaya dan mengakui kenyataan ini. Bayi dalam kandungan dikatakan dapat merasai setiap apa yang dilakukan dan dialami ibunya.

Bayi dalam kandungan dikatakan mampu bertindak  balas apabila diberikan rangsangan kepadanya dari luar. Contohnya, apabila dilekapkan muzik ke perut ibunya, bayi dikatakan menunjukkan tindak balas kepada rangsangan tersebut. Sejauh mana kebenarannya? Itulah antara eksperimen yang telah dilakukan oleh golongan pengkaji profesional dalam bidang ini.

Situasi dan rangsangan inilah yang merupakan satu pengalaman terawal yang telah dilalui oleh seorang manusia. Satu pengalaman yang pastinya amat bermakna dalam hidup walau tidak dapat diceritakan kembali kepada orang lain apabila mampu berkata-kata. Namun, bagaimana pula halnya dengan kanak-kanak tadika? Apakah bentuk aktiviti atau program yang boleh memberikan suatu pengalaman yang bermakna dalam hidup mereka?

KINDER PICNIC

Mungkin bagi sesetengah keluarga, mengunjungi tempat-tempat perkelahan bersama anak-anak telah menjadi satu kebiasaan kepada mereka. Sesekali, berilah peluang kepada anak-anak anda di tadika untuk berkelah bersama-sama rakan dan guru pula. Kadang-kala, kanak-kanak memerlukan ruang untuk bersama dengan rakan dan guru tanpa kehadiran keluarga terdekat terutama ibu dan ayah. Berdasarkan pengalaman saya, ada kanak-kanak yang tidak membenarkan ibunya turut serta dalam perkelahan yang akan disertainya dengan alasan “saya dah besar”. Malah bagi sesetengah kanak-kanak, mereka tidak dapat berkelakuan bebas apabila ibu dan bapa ada bersama-sama mereka. Timbul rasa terkongkong, tidak percaya kepada kebolehan diri sendiri dan malu kepada rakan-rakan lain.

Bagaimana pula halnya dengan kanak-kanak yang sememangnya manja dan tidak boleh berjauhan lama dengan ibu bapa? Kanak-kanak sebegini juga boleh dilatih dan harus diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan diri. Beri mereka ruang untuk turut merasai pengalaman yang berbeza. Pastinya, berjauhan dengan ibu bapa dan melakukan aktiviti bersama-sama rakan dan guru mampu memberikan mereka aura dan suatu pengalaman yang berbeza dan amat berharga dalam hidup mereka. Bayangkan mereka duduk dalam satu bulatan besar, makanan terhidang di tengah, gelak tawa diselang seli dengan bunyi unggas di persekitaran, guru-guru yang setia melayani kerenah dan pelbagai situasi menarik yang akan dapat dialami oleh mereka.

AKTIVITI LAWATAN KE TEMPAT MENARIK

Membuat lawatan ke tempat terpilih juga merupakan satu aktiviti yang sering dianjurkan oleh pihak tadika. Biasanya lokasi yang dikunjungi adalah bersesuaian dengan usia kanak-kanak dan mempunyai matlamat serta objektif yang tertentu. Bagi sesetengah kanak-kanak, peluang menaiki bas bersama-sama rakan dan guru pun merupakan satu pengalaman menarik yang amat bermakna bagi mereka. Sudah pasti mereka akan merasai keseronokan sepanjang perjalanan. Belum lagi diambil kira berjalan beriring-iringan sambil berpegang tangan dengan rakan-rakan.

Daripada perbualan dengan beberapa ibu bapa, kadang kala bukan lokasi lawatan yang diceritakan oleh mereka apabila pulang dari lawatan tetapi keseronokan bersama rakan-rakan itu yang sering diperkatakan. Pasti mereka dapat merasai pengalaman baharu yang tidak dapat dibeli di mana-mana. Apatah lagi jika pengalaman yang dikutip itu mampu memberikan satu makna yang tersendiri kepada mereka sepanjang sesi di tadika.

Disinilah peranan, sokongan dan kerjasama yang sepatutnya diberikan oleh ibu bapa kepada tadika. Tanpa pengertian sewajarnya, pasti apa sahaja program yang dianjurkan oleh pihak pengurusan tidak berjaya.  Tanpa kanak-kanak kami tidak dapat memberikan perkhidmatan yang sepatutnya dan tanpa orang seperti kami, kanak-kanak kami tidak dapat merasai dan menghayati hidup sebagai kanak-kanak mengikut ketentuan asalnya.

Tanpa peranan dan sokongan ibu bapa, pasti kanak-kanak tidak dapat memperoleh apa yang sepatutnya mereka kecapi. Inilah yang memerlukan pemahaman dan kerjasama yang erat dianatara pihak tadika dan ibu bapa. Berilah peluang kepada kanak-kanak untuk belajar meneroka dunia mereka sendiri.

MENONTON BERSAMA RAKAN DAN GURU

Pengurusan tadika juga boleh membuat satu aktiviti seperti menonton cerita-cerita yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak. Menonton bersama-sama memberikan satu pengalaman yang berbeza kepada mereka. Ini kerana, mereka mempunyai sudut pandangan yang berbeza-beza dalam menghayati dan merumus jalan cerita yang ditonton bersama. Minda kanak-kanak sentiasa segar. Pasti mereka gembira jika pendapat mereka sama dengan pendapat rakan lain. Tetapi bagaimanakah pula jika pendapat mereka disanggah? Pasti timbul satu situasi yang agak hangat kerana masing-masing cuba mempertahankan pendapat dan pemahaman sendiri. Peranan guru pula, mereka perlu bijak mengawal keadaan. Beri kanak-kanak peluang untuk berdiskusi dalam emosi yang terkawal. Ini dapat menggerakkan minda kanak-kanak supaya lebih aktif berfikir dengan kreatif dan kritis. Justeru, dapat menguji hampir kesemua bentuk perkembangan sosio-emosi, kognitif dan bahasa.

Ini selaras dengan matlamat pendidikan prasekolah yang bertujuan untuk menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan untuk masuk ke sekolah rendah.

Walau apapun kesannya, pasti ini juga mampu memberikan satu pengalaman yang bermakna kepada kanak-kanak. Ia mungkin lebih bermakna jika selepas itu ibu bapa bertanya khabar mengenai program yang disertainya. Cuba selami sedikit sebanyak keseronokan yang dikecapi mereka. Saya percaya bagi ibu bapa, tidak ada yang lebih bermakna selain melihat senyuman yang sentiasa terukir di wajah anak-anak kesayangan.

PEMBELAJARAN & PERMAINAN BERMAKNA

Sebenarnya, aktiviti pembelajaran di dalam kelas dan permainan di luar kelas yang dilakukan setiap hari persekolahan juga mampu memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak. Bagi si kecil, apa sahaja aktiviti yang dilakukan yang dirasakan seronok untuk diteruskan adalah sesuatu yang amat bermakna. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang kreatif mampu menimbulkan minat yang berbeza dalam diri kanak-kanak. Mereka tidak boleh duduk di kerusi dan menerima maklumat tanpa apa-apa aktiviti sokongan yang boleh merangsang kebolehan dan tindak balas mereka yang sebenar. Guru-guru perlu peka dengan situasi ini dan cuba untuk menarik perhatian mereka dengan melakukan aktivti tambahan yang bersesuaian.

Begitu juga dalam permainan. Memang tidak dapat dinafikan, asal dibawa ke padang untuk bermain, kanak-kanak pasti gembira dan tidak sabar-sabar  menunjukkan kebolehan masing-masing. Ia boleh ditingkatkan dengan mengubah sedikit corak permainan yang telah menjadi kebiasaan mereka. Perubahan corak permainan tersebut harus lebih menarik dan tidak membosankan. Justeru, apabila bermain dalam suasana yang ceria dan menyeronokkan, pasti memberikan satu pengalaman yang amat bermakna bagi seorang kanak-kanak. Malah menurut Dr. Maria Montessori, seorang pakar dalam bidang kajian pendidikan kanak-kanak, bermain adalah satu pekerjaan yang akan memberi makna tersendiri dalam usia muda mereka.

Selain aktiviti-aktiviti yang telah disebutkan di atas, sebenarnya banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk membantu kanak-kanak mendapatkan pengalaman bermakna dalam hidup mereka. Asal sahaja ia menarik minat, menyeronokkan dan memberikan pengalaman yang berbeza, pasti ia mampu memberikan makna yang tersendiri.

Ibu bapa boleh merancang dan membuat beberapa aktiviti bersama-sama di luar dari kebiasaan. Jika biasa berkelah di taman-taman bunga, sekali sekala bolehlah bawa keluarga ke jeram atau air terjun yang jauh dari rumah. Pastinya masa terluang yang digunakan sepenuhnya bersama-sama keluarga tersayang akan meninggalkan seribu kenangan manis yang sukar dilupakan.

Justeru, bantulah kanak-kanak untuk meneroka dunia mereka semaksimum boleh agar zaman kanak-kanak amat menarik, penuh warna-warni, menyeronokkan dan bebas dari masalah dunia. Setiap kanak-kanak harus berpeluang merasai semua nikmat tersebut kerana itu adalah hak mereka yang perlu ditunaikan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai orang dewasa terutama ibu bapa dan guru untuk membantu menyempurnakan hak tersebut. Perlu wujud satu hubungan yang baik antara dua golongan ini bagi memastikan kanak-kanak dapat membesar secara sepatutnya dan melalui semua perkembangan dengan baik.

Sama-samalah kita berganding bahu dalam usaha merealisasikan impian murni tersebut. Semoga usaha kita diberkati Allah.