5 Tip Agar Pembelajaran Di Rumah Lebih Berkesan

5034

Dunia hari ini mengalami banyak cabaran yang belum pernah dilalui sebelum ini akibat penularan penyakit bawaan virus baharu yang dikenali sebagai COVID-19. Khusus buat anak-anak, kesan wabak COVID-19 menyaksikan sesi persekolahan berubah menjadi sesi pembelajaran di rumah pada tempoh yang panjang. Sekolah juga telah diarahkan untuk menyediakan bahan pembelajaran secara atas talian supaya anak-anak masih dapat melangsungkan aktiviti pembelajaran. Adakah anda sebagai ibu bapa bersedia menghadapi perubahan tersebut? Berikut merupakan 5 tip agar pembelajaran di rumah dapat dimanfaatkan dengan berkesan.

Amalan Rutin Harian 

Jika di sekolah ada jadual waktu, maka seharusnya ibu bapa di rumah turut mengadakan rutin harian – susun dan atur rutin harian bermula dari awal pagi sehingga waktu untuk tidur. Rutin mengemas rumah, memasak, menyiram pokok, menyidai baju dan mencuci pinggan adalah sebahagian daripada aspek pembelajaran di rumah. Pembelajaran tidak hanya terhad kepada aspek akademik.  Namun, perlu diingat, sediakan juga peruntukan masa untuk sesi pembelajaran formal/ akademik dalam rutin harian tersebut. Semasa sesi pembelajaran, semua ahli keluarga perlu bersama-sama melakukan aktiviti pembelajaran seperti membaca, menulis atau perbincangan tentang sesuatu topik untuk percambahan minda.

Persekitaran Kondusif

Wujudkan suasana persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran. Ini tidak bermakna suatu bilik khas untuk pembelajaran, sebaliknya boleh sahaja di ruang tamu atau ruang makan. Persekitaran positif bermakna suasana yang selesa untuk pembelajaran tanpa bunyi bising televisyen, radio atau bunyi yang mengganggu fokus pembelajaran. Apa yang penting, ahli keluarga boleh bersama-sama duduk dan membaca, berbincang dan melaksanakan aktiviti pembelajaran.

Komunikasi Berkesan

Bagi mewujudkan sesi pembelajaran di rumah, ibu bapa perlu berkomunikasi secara berkesan. Dengar, faham dan bertindak mengikut keperluan pembelajaran anak-anak. Sesi pembelajaran di rumah menjadi lebih ceria apabila ibu bapa dapat memahami keperluan, masalah dan cabaran yang dihadapi oleh anak-anak. Jika anak menunjukkan reaksi kurang berminat untuk belajar, bercakaplah sambil memerhati wajahnya, bertanyakan masalah atau kekeliruannya. Dengar apa yang ingin anak-anak perkatakan, mungkin ada benda lain yang mengganggu fikirannya. Sentiasa beri pujian, dorongan dan galakan kepada anak-anak semasa sesi pembelajaran berlangsung.

Kepelbagaian Bahan Pembelajaran

Revolusi teknologi hari ini menyaksikan kepelbagaian bahan pembelajaran yang dapat diaplikasikan oleh ibu bapa semasa sesi pembelajaran di rumah. Ibu bapa boleh mengoptimumkan aktiviti pembelajaran dalam talian: online classroom, online tuition, google classroom, e-book, portal dan pelbagai bahan digital pembelajaran yang ditawarkan secara percuma mahupun berbayar. Bagi ibu bapa yang tidak mempunyai akses kemudahan internet, ipad, komputer atau telefon pintar, bahan pembelajaran seperti TV Pendidikan, Buku Teks Sekolah atau sisipan pendidikan di akhbar pendidikan atau majalah boleh diguna pakai. Ibu bapa juga perlu kreatif dengan mewujudkan pelbagai bahan pembelajaran maujud yang terdapat di persekitaran rumah.

Rancang Sesi Pembelajaran 

Dalam memastikan anak-anak belajar di rumah, sesi pembelajaran yang menyeronokkan amat penting. Ibu bapa perlu merancang aktiviti pembelajaran yang akan dijalankan bersama anak-anak pada setiap hari. Ibu bapa perlu mengetahui masa pembelajaran dalam talian yang dikendalikan oleh guru-guru sekolah, rancangan TV  Pendidikan, latihan homework digital dan tugasan buku teks yang perlu diselesaikan oleh anak-anak pada hari tersebut. Ibu bapa perlu kreatif untuk merancang aktiviti pembelajaran agar menjurus kepada topik pembelajaran tersebut atau yang berkaitan dengannya. Ibu bapa boleh menjalankan aktiviti eksperimen bersama anak-anak semasa melakukan aktiviti memasak, atau menanam pokok atau mengemas rumah. Contohnya, semasa melakukan aktiviti memasak, ibu boleh bertanyakan tentang tindak balas yis terhadap tepung yang diuli. Semasa melakukan aktiviti menanam pokok pula, ibu bapa boleh bertanyakan anak-anak tentang mengapa lumut hanya berada di sebelah bahagian pasu yang terlindung? Galakkan mereka untuk bertanya dan meneroka. Proses pembelajaran lebih penting daripada mendapatkan hasil atau jawapan dengan pantas.

Sebagai Ibu bapa, hargailah masa pembelajaran anak-anak di rumah. Luangkan masa untuk bersama anak-anak melakukan pelbagai aktiviti di rumah. Lakukan dengan ceria dan gembira. Sesungguhnya ia dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Oleh itu ibu bapa lebih memahami keperluan psikologi, emosi dan mental anak-anak mereka. Ibu bapa juga punya lebih masa untuk mengenali dan mendidik mereka. Mungkin ini merupakan satu hikmah di sebalik wabak COVID-19.

Dapatkan bahan pendididkan berkualiti dari peringkat prasekolah hingga ke sekolah rendah di eniaga.awal.my untuk anak-anak anda.