4 Tahap Pembentukan Karakter dalam Diri Anak

3168

Pendidikan karakter anak-anak penting sebagai langkah membentuk modal insan yang berupaya menilai sesuatu keputusan dengan bijak dan mempraktikkan kod moral dalam kehidupan sehari-hari. Insan yang mengikuti kod moral yang baik, atau karakternya telah dibina secara baik akan mengubah nilai-nilai kehidupan mereka selaras dengan  norma-norma yang dianggap positif. Masalah yang terjadi pada hari ini adalah untuk menghasilkan kod moral tersebut. Moral dan pendidikan agama banyak diajarkan di sekolah-sekolah, namun teori adalah berbeza dengan amalinya.

Seorang anak yang memiliki jati diri yang baik akan membantu membangunkan sebuah negara yang maju dan sejahtera. Sayangnya, asimilasi budaya yang tidak sihat adalah sesuatu yang sukar disekat yang mengakibatkan pembangunan ‘kod moral’ terjejas. Mana tidak, pengaruh-pengaruh luar lebih banyak membumbu pembangunan karakter anak-anak. Buka televisyen saja, sudah ada pengaruh-pengaruh asing yang mengambil tempat dan sedikit sebanyak meresap masuk ke dalam diri anak-anak. Jadi, bagaimana kaedah terbaik untuk membina kod moral dalam diri anak-anak?

1. MENGETAHUI KEBAIKAN

Seorang kanak-kanak perlu mengetahui perbezaan perbuatan baik dan buruk. Kami menganggap kaedah terbaik untuk mengajar anak-anak tentang kebaikan adalah dengan menjadi contoh ikutan dalam kehidupan mereka. Amalan kehidupan baik yang dipraktikkan setiap hari dalam kehidupan berkeluarga akan membantu anak-anak mengetahui sesuatu perbuatan itu adalah baik.

2. MERASAI KEBAIKAN

Tahap kedua pembinaan karakter yang baik adalah dengan merasai perasaan baik ketika melakukan kebaikan. Setelah kanak-kanak mengetahui perbezaan antara kebaikan dan kejahatan, mereka akan berasa dekat dengan kebaikan. Pada tahap ini, mereka berada pada tahap untuk memilih melakukan sesuatu kebaikan.

3. MELAKUKAN KEBAIKAN

Pada tahap ketiga, seorang anak-anak sudah boleh melakukan perbuatan baik. Etika kod moral sudah terbentuk dengan baik dan hal ini memudahkan ibu bapa. Namun, setiap satu perbuatan yang baru dipelajari oleh anak-anak masih melalui tahap pertama sebelum mencapai ke tahap terakhir. Semakin mereka meningkat dewasa, semakin mudah untuk anak-anak melakukan penilaian dengan baik berdasarkan prinsip ini.

4. PERASAAN CINTA KEPADA KEBAIKAN

Pada tahap terakhir, kanak-kanak telah memupuk rasa cinta kepada kebaikan. Perasaan cinta kepada kebaikan ini merupakan satu perasaan yang dipupuk dalam diri individu yang sentiasa melakukan kebaikan. Kelaziman yang disebutkan ini akan menjadi keperluan yang akan menggembirakan individu tersebut. Oleh yang demikian, pada tahap ini, kod moral yang baik dalam diri anak-anak sudah menjadi teguh.

KESIMPULAN

Seseorang yang melakukan hal-hal terpuji kerana Allah SWT akan terus melaksanakan kebaikan tanpa mengharapkan balasan baik daripada manusia, kerana itu ada satu falsafah yang dilontarkan oleh seorang pengkritik sastera, Prof. Dato. Dr. Rahman Shaari dalam kuliahnya bahawa “Berbuat baik bukan untuk dibalas baik, tetapi berbuat baik kerana perbuatan baik itu memang baik!” Tidak semua orang akan membalas kebaikan kita ke atas mereka dengan perkara-perkara yang baik, ada ketika kita akan dilayan dengan buruk. Namun, hal ini tidak sepatutnya menjadikan kita keras terhadap sifat-sifat baik. Hati manusia berupaya untuk tetap tenang dan berterusan melakukan kebaikan. Justeru, berbuat baiklah kerana mengharapkan semata-mata redha Allah SWT.

Zahid Zaki
Muhammad Zahid Bin Mohamad Zaki merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Aswara. Beliau pernah menerima anugerah Graduan Bitara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pelajar Terbaik Diploma Penulisan Kreatif Aswara (2014).