Adakah Kewujudan Allah SWT Sama Seperti Kita?

1742

Adam …sebelum ini Ibu ada cerita tentang kewujudan Allah kan? Yang mana banyak bukti menunjukkan adanya Allah SWT. Sifat Allah yang pertama itu ialah wujud. Ibu juga telah menceritakan bahawa kita semua wajib percaya yang Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan tidak bersifat dengan sifat-sifat kekurangan.

Kali ini Ibu akan sambung perbincangan kita lagi tentang sifat-sifat Allah.

Mungkin Adam tertanya-tanya, kewujudan Allah ini macam mana ya, adakah sama seperti kewujudan manusia? Adakah Allah memerlukan sesuatu untuk mencipta-Nya? Atau sama macam manusia, yang lahir daripada ibu dan bapa?

Bacaan Berkaitan : Bagaimanakah Cara Untuk Menerangkan Bahawa Allah Wujud?

Jawapannya ialah Allah tidak memerlukan sesuatu apa pun untuk menjadikan-Nya. Allah juga tidak memerlukan ibu dan bapa untuk melahirkan-Nya. Ini kerana Allah memang telah sedia ada sejak dulu lagi atau dikenali sebagai Qidam dalam bahasa Arab. Allah memang telah ada sebelum kita semua ada. Allah memang telah ada sebelum bumi ini ada. Sesungguhnya Allah Taala memang telah sedia ada. Pada masa itu, tidak sesuatu pun yang wujud. Semuanya kosong. Hanya yang ada adalah Allah SWT. Itulah keadaan Allah SWT yang sedia ada.

Dengan kata lain, kewujudan Allah tidak sama dengan kewujudan kita. Kita lahir ke dunia melalui rahim ibu. Sebelum dilahirkan, kita tiada di bumi ini. Selepas ibu kita berkahwin dan mengandung, barulah kita dilahirkan ke dunia ini. Tetapi Allah, Dia memang sudah ada dan tiada yang mendahului kewujudan-Nya.

Cuba fikir, jika Allah memerlukan ibu bapa atau sesuatu yang lain untuk menjadikan Dia, maka Allah adalah lemah. Mengapa Allah boleh dikatakan lemah? Tanpa seorang ibu, seorang anak itu tidak akan dilahirkan ke dunia ini. Seorang anak itu bergantung pada ibunya. Jika Allah juga memiliki ibu dan perlu bergantung kepada ibu seperti kita, maka Allah juga lemah seperti kita. Jika Allah lemah, sudah tentu Dia tidak boleh mencipta bumi ini. Sifat lemah juga adalah tidak sesuai dengan sifat kesempurnaan Allah yang telah kita tahu sebelum ini. Maka, atas sebab-sebab inilah sudah tentu Allah tidak memerlukan sebarang apa pun untuk menjadikan-Nya. Sememangnya Allah telah ada sejak azali. Kewujudan Allah dikenali dengan sifat Qidam iaitu sedia ada atau dengan makna lain Tidak Ada Permulaan atau Tidak Ada Yang Menjadikan-Nya.

Ini bersesuaian dengan firman Allah Taala dalam surah al-Ikhlas ayat 3 yang bermaksud:

“Ia tidak beranak dan Ia pula tidak diperanakkan.”

Baiklah, kita kini sudah mengetahui yang Allah bersifat Qidam iaitu Allah sedia ada.

Seterusnya, adakah Allah akan mati suatu hari nanti, macam manusia yang akan mati? Makhluk-makhluk lain akan mati. Pokok, haiwan …semua akan mati. Setiap yang hidup pasti akan mati.

Bacaan Berkaitan : Akidah Penyuluh Hidup

Namun, Allah tidak akan mati. Allah tidak akan binasa. Kerana Allah bukan manusia atau makhluk yang akan mati apabila sampai masanya. Jika Allah mati, ini menunjukkan Allah tidak sempurna. Jika Allah mati, siapa yang hendak hidupkan kita semula pada hari kiamat? Oleh itu, Allah mesti kekal dan tidak akan binasa. Kewujudan Allah tidak akan diakhiri dengan tiada. Sifat ini dikenali sebagai sifat Baqa’ iaitu kekal atau tidak binasa.

Ini bersesuaian dengan ayat 88 surah al-Qasas yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. Bagi-Nyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan).”

Oleh itu, pada kali ini, kita telah mengetahui bahawa Allah bersifat dengan sifat Qidam dan Baqa’. Setelah mengetahui, kita wajib beriman dengan perkara ini. Kewujudan Allah memang sedia ada, tidak didahului, tidak diakhiri. Allah juga Baqa’ iaitu kekal dan tidak binasa. Manakala manusia pula kewujudannya dimulai dengan alam roh, dilahirkan dan diikuti dengan kematian.

Bacaan Berkaitan : Kehilangan

Bacaan Berkaitan : Allah Kan Ada

Dr. Amilia Aminudin
Dr. Amilia Aminudin Pensyarah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Berminat dengan ilmu Tauhid dan masih mendalami ilmu ini secara talaqqi berkitab. Antara kitab yang sedang dipelajari adalah Kitab Misbahul Munir dan Fiqh Akidah.