Mama …Boringlah Mengaji

381

Susah mengajar al-Quran kepada anak-anak? Pasti ramai ibu bapa sedang menghadapi masalah ini.  Anak tidak mahu mengaji al-Quran merupakan salah satu masalah yang sering dihadapi oleh ibu bapa. Sebenarnya mengajar al-Quran bukan hanya supaya anak boleh membacanya dengan lancar. Ia lebih luas daripada itu.

Sebelum mengajar al-Quran, kita perlu tanamkan rasa cinta kepada kitab Allah ini. Bermulalah semasa anak kita masih di dalam rahim. Pada masa ini selalulah membaca al-Quran atau memasang audio bacaan ayat-ayat suci. Kajian menunjukkan bahawa anak dalam kandungan boleh mendengar dan terkesan dengan apa yang didengar.

Apabila anak-anak semakin besar, mereka perlu faham bahawa al-Quran adalah wahyu atau ajaran yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan dan rahmat untuk umat manusia. Terangkan kepada mereka bahawa Allah SWT yang menjadikan kita dan oleh itu Allah lebih mengetahui tentang apa yang paling baik untuk kehidupan kita melalui ajaran dalam al-Quran dan sunnah para Rasul.  Allah berfirman dalam surah al-Baqarah:2 yang bermaksud:

“Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.”

Ada beberapa tip yang boleh kita amalkan semasa mengajar al-Quran kepada anak-anak:

Mengikut Kemampuan Anak

Ibu bapa hendaklah mengenal pasti kemampuan anak-anak semasa mengajar al-Quran. Ada sesetengah anak hanya mampu fokus beberapa minit sahaja. Elakkan daripada menghukum tetapi amalkan ketegasan dalam kelembutan.

Penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM)

Ibu bapa hendaklah menggunakan BBM dengan kaedah yang bersesuaian dalam mengajar al-Quran kepada anak-anak seperti menyusun ayat menerusi kepingan kad, permainan flash card yang mengandungi huruf-huruf al-Quran, padanan huruf al-Quran dan sebagainya. Selitkan nasyid-nasyid berkaitan al-Quran supaya sesi pembelajaran lebih ceria dan menyeronokkan.

Terangkan Maksud Ayat-Ayat yang Dibaca

Sesi mengaji akan lebih bermakna sekiranya kita menerangkan dan berbincang tentang ayat-ayat yang telah dibaca. Beri peluang kepada anak-anak untuk bertanya dan dengan itu kita dapat menilai tahap kefahamannya. Terdapat banyak cerita yang menarik dalam al-Quran seperti tentang tentera bergajah dalam surah al-Fil. Cerita-cerita begini boleh dilakonkan. Libatkan anak-anak dengan pembelajaran begini supaya mereka akan ingat lebih lama. Semasa saya kecil dahulu, saya sangat teruja dengan cerita Nabi Yunus A.S yang ditelan oleh ikan besar tetapi masih selamat dalam perlindungan Allah SWT.

Takrir

Takrir berasal daripada perkataan Arab iaitu karrara yang bermaksud perbuatan secara berulang-ulang. Anak-anak mempunyai kemahiran mendengar yang tajam walaupun mereka ada kalanya tidak fokus terhadap apa yang mereka baca. Ibu bapa  boleh memperdengarkan kepada mereka ayat-ayat al-Quran secara berulang-ulang. Dengan itu, mereka mampu mengingati atau menghafal ayat al-Quran yang sering mereka dengar.

Ganjaran

Setiap kali anak berjaya membaca al-Quran, berilah ganjaran kepada mereka walaupun mereka hanya dapat membaca sedikit. Ganjaran bukanlah semata-mata dalam bentuk material. Ibu bapa boleh memberi ganjaran dengan satu ciuman atau pujian dan doakan kejayaan untuk mereka agar mereka mengetahui segala usaha mereka sangat dihargai.

Jadilah Suri Teladan (Role Model)

Anak-anak yang melihat contoh yang baik daripada ibu bapa pasti akan lebih mudah mengamalkannya. Jadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu ibadah yang berterusan dalam rutin harian kita. Sentiasalah berdoa dan mengharapkan kerahmatan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Semoga panduan ini dapat memberi manfaat kepada ibu bapa yang mahu mengajar al-Quran kepada anak-anak di rumah.

Mencari kaedah yang berkesan untuk mengajar anak membaca al-Quran? Dapatkan kaedah Al-Barqy yang cepat, ceria dan anti-lupa di eniaga.awal.my.