Yeay! Yeay ! Esok Raya!

1710

Masih ingatkah anda cara sambutan Hari Raya semasa kecil? Pastinya kita sering bercerita kepada anak-anak tentang kemeriahan Hari Raya pada zaman kanak-kanak, malah kalau boleh kita mahu anak-anak kita merasai apa yang kita pernah rasai.

Hari Raya merupakan salah satu perayaan yang paling dinantikan khususnya buat yang beragama Islam.  Di negara kita, amalan yang lazim dilakukan semasa menyambut Hari Raya adalah:

Ziarah-menziarahi antara satu sama lain

Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya Adilfitri ialah amalan berziarah. Amalan berziarah adalah sunat dan dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Sebagai tetamu perlu ada sifat bertimbang rasa ketika datang beraya. Jagalah adab sebagai tetamu supaya tidak mengganggu atau menyusahkan tuan rumah. Sebagai tuan rumah pula, sambutlah tetamu dengan muka yang manis dan tangan yang terbuka. Keikhlasan kita dalam saling menziarahi dapat memupuk ukhuwah yang lebih erat.

Duit raya

Amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya Aidilfitri. Duit raya selalunya diberikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak di dalam sampul duit yang berwarna-warni. Sampul duit raya diadaptasi daripada amalan orang Cina memberi sampul duit yang berwarna merah yang dipanggil ‘Ang Pau’.

Menyalakan pelita

Pada malam tujuh likur iaitu pada malam 27 Ramadan biasanya pelita akan dinyalakan di sekeliling rumah terutamanya di kampung-kampung. Dahulu ahli keluarga akan sibuk mencari buluh di hutan untuk dibuat pelita. Bagaimanapun, kini semua barangan yang diperlukan seperti pelita, lampu kelip-kelip untuk persiapan Hari Raya ada jual di kedai dan pasar raya.  Ada yang berpendapat bahawa menyalakan pelita merupakan pengaruh amalan agama Hindu nenek moyang kita. Yang penting niat kita adalah untuk memeriahkan suasana sebagai tanda kesyukuran. Itu sahaja.

Rumah terbuka

Rumah terbuka yang dikenali ‘Open House’ selalu diadakan pada Hari Raya atau sepanjang bulan Syawal.  Amalan rumah terbuka ini bukan sahaja dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri sahaja, malahan pada Tahun Baru Cina, Deepavali dan juga Hari Natal.

Bacaan Berkaitan : Tip Mudahnya Beraya Bersama Si Kecil

Sebenarnya terdapat beberapa amalan yang perlu dilakukankan sempena menyambut ketibaan  Hari  Raya Aidilfitri seperti berikut:

Bertakbir

Takbir Hari Raya dilakukan pada malam 1 Syawal dan merupakan satu amalan yang disyariatkan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kami cukupkan bilangan (puasa Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu supaya kamu bersyukur.”  (Surah al-Baqarah: 185)

Mandi di pagi Hari Raya

Disunatkan mandi, memakai bau-bauan dan mengenakan pakaian baharu di pagi raya sebelum berangkat ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri.  Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya iaitu Umar dan Ali Bin Abi Talib serta yang lain-lain. Said bin Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”

Makan sebelum solat Aidilfitri

Disunatkan kaum Muslimin untuk menjamah makanan sebelum pergi menunaikan solat Aidilfitri. Daripada Anas r.a., beliau berkata: “Adalah Rasulullah SAW tidak keluar pada waktu pagi pada Hari Aidilfitri sehingga baginda makan buah tamar dalam bilangan yang ganjil.” (Riwayat al-Bukhari)

Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan balik

Sunat pergi ke masjid melalui jalan yang lain dan pulang dari masjid melalui jalan yang lain pula. Jabir r.a. berkata: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.” (Riwayat al-Bukhari)

Lafaz ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari raya dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin’. Sebenarnya ucapan yang disunatkan adalah mengucapkan tahniah dan mendoakan satu sama lain. Daripada Wathilah, beliau berkata: “Aku bertemu dengan Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan kepada baginda ‘Taqabballahu minna wa minkum’ (Semoga Allah menerima puasa dan amal daripada kami dan puasa dan amalan daripada kalian), baginda menjawab: ‘Ya, taqabballahu minna wa minkum’.”

Mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal

Disunatkan berpuasa enam hari pada bulan Syawal. Daripada Abu Ayub al-Ansari r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, dia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)

Kelekaan dalam menyambut Hari Raya menyebabkan kita melakukan kesilapan yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW, antaranya:

  1. Tidak melakukan solat Hari Raya dan tidak pergi ke tempat pelaksanaan solat.
  2. Banyak menonton televisyen/gajet sehingga tiada masa atau tidak sempat menziarahi sanak-saudara.
  3. Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
  4. Pergi beraya di rumah kawan-kawan dalam tempoh yang lama sehingga mengganggu tuan rumah.
  5. Mengkritik makanan atau juadah yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan antara satu rumah dengan satu rumah yang lain.
  6. Meminta duit secara berlebih-lebih
  7. Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
  8. Sibuk beraya sehingga lupa menunaikan solat atau melambatkan solat fardu.
  9. Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim.
  10. Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.

Inilah sebahagian daripada adat kebiasaan, amalan yang disunatkan dan juga kesilapan yang selalu kita lakukan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ibu bapa perlulah melatih anak-anak melakukan amalan menurut al-Quran dan as-sunnah dan tidak melakukan  amalan nombor 2, 4 & 6. Mudah-mudahan, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh kemeriahan dan selari dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

Bagaimanapun, memandangkan Hari Raya pada kali ini jatuh dalam tempoh PKP, maka amalan ziarah-menziarahi, rumah terbuka, bersalam-salaman ini tidak boleh dipraktikkan. Adalah lebih baik dan selamat untuk duduk di rumah masing-masing bersama-sama ahli keluarga sekiranya tiada sebarang urusan penting di luar.

‘Taqabballahu minna wa minkum’

Semoga Allah Menerima Puasa dan Amal daripada Kami dan Puasa

dan Amalan daripada Kalian

Dapatkan majalah AWAL edisi Hari Raya Aidilfitri isu 07 untuk anak anda di eniaga.wal.my