7 Tip Mudahnya Jalan Beraya Bersama Si Kecil

2815

Imej biasa yang menggambarkan musim perayaan adalah amalan kunjung-mengunjung. Namun, amalan kunjung-mengunjung ini tentu memiliki cabaran yang tersendiri, terutama kepada ibu bapa yang ada anak kecil yang masih di peringkat prasekolah. Mereka sangat aktif tanpa kompromi. Cuba anda tengok 7 tip yang kami sediakan di bawah untuk membantu anda bersedia lebih awal sebelum berkunjung ke rumah sanak saudara atau teman-teman.

1.ANDA JADI CONTOH

Tak susah untuk melatih anak anda sendiri. Semuanya bermula di rumah. Cuba tunjukkan cara sebenar untuk bersopan. Contohnya di meja makan. Jangan letakkan sisa makanan di atas meja atau sampah bungkusan merata-rata. Semua ini boleh dilatih sejak di rumah lagi. Amalkan sesuatu yang baik di rumah dan ia pasti menjadi kebiasaan di luar.

2.GUNAKAN KATA-KATA HIKMAH

Kata-kata hikmah di sini bukanlah bermaksudkan falsafah atau petikan kata tokoh-tokoh yang luar biasa. Cukuplah sekadar kata-kata yang mengandungi kebaikan. Galakkan anak anda untuk berterima kasih atas setiap pemberian orang dan segera meminta maaf setelah menyedari setiap kesilapan. Itu pun biasa kita buat di pagi raya kan?

3.AMBIL MAKANAN SEKADAR PERLU

Selalunya, pelbagai juadah yang disediakan tuan rumah memang nampak menyelerakan. Anak anda juga seperti anda. Berselera untuk merasa kesemuanya (kalau boleh). Oleh yang demikian, cuba hadkan pengambilan makanan dalam satu pinggan. Jangan ambil terlalu banyak makanan dalam satu-satu masa.

4.BANTUAN GAJET

Kanak-kanak menganggap telefon pintar sebagai sumber hiburan yang ideal kerana boleh menonton pelbagai jenis hiburan yang sesuai dengan umur mereka. Dalam perjalanan menuju ke rumah saudara-mara atau rakan-taulan, beri mereka kesempatan untuk main telefon pintar. Jika perangai mereka baik sewaku berada di rumah yang anda kunjungi, berikan ganjaran seperti penggunaan gajet pintar dalam tempoh masa tertentu. Namun begitu, penggunaan gajet haruslah dikawal dan dipantau.

5.MASA YANG CUKUP

Kanak-kanak sifatnya mudah bosan. Oleh itu, setiap ibu bapa perlu peka dan mengehadkan tempoh untuk berkunjung ke satu-satu rumah. Anda mesti ingat, semakin bosan anak anda, semakin nakal, meragam dan banyak ideanya untuk mengelakkan kebosanan tersebut.

6.NASIHAT BERULANG-KALI

Kanak-kanak adakalanya tidak perasan kesalahan mereka. Peranan ibu bapa adalah untuk kerap menasihati anak-anak. Berikan penjelasan kepada anak-anak dalam keadaan yang wajar dan boleh difahami oleh mereka. Jangan menjerit atau memarahi mereka di hadapan khalayak umum kerana mereka akan malu dan mula memberontak.

7.BAWA PERMAINAN YANG DISUKAINYA

Membawa permainan lazimnya akan memberikan perasaan gembira dan tenang kepada anak-anak. Galakkan anak anda berkongsi dan berkawan sepanjang mereka berada di rumah orang. Permainan kad boleh jadi salam perkenalan yang sesuai.

Keelokan budi dan kesopanan sikap merupakan proses panjang yang dilentur melalui kematangan hidup. Oleh yang demikian, setiap kanak-kanak tidak boleh dimarahi dengan kasar hanya disebabkan kesalahan-kesalahan kecil. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan tertib pekerti. Bahkan yang paling penting, ketahui cara terbaik untuk mendidik mereka. Semoga kunjungan anda bersama anak-anak di musim perayaan menjadi lebih mudah dengan 7 tip ini.

Kredit Imej: Shutterstock

Zahid Zaki
Muhammad Zahid Bin Mohamad Zaki merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Aswara. Beliau pernah menerima anugerah Graduan Bitara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pelajar Terbaik Diploma Penulisan Kreatif Aswara (2014).