Jerebu dan Kanak-kanak

2349

Malaysia kini dilanda jerebu. Kebakaran hutan di Kalimantan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan jerebu rentas dan ini diburukkan lagi dengan peralihan monsun barat daya. Apabila jerebu melanda, pelbagai kesan dapat dilihat terutamanya dari segi kesihatan. Antara golongan yang berisiko tinggi mengalami kesihatan terjejas adalah kanak-kanak. Kajian telah membuktikan bahawa jerebu boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan.

Apakah jerebu ?

Jerebu adalah fenomena atmosfera yang menghadkan batas penglihatan kurang dari 10km. Ia adalah parikel-partikel yang terdiri daripada debu, asap dan juga zarah-zarah halus yang terampai di udara.  Komponen utama di dalam jerebu dikenali sebagai ‘particulate matter’ (PM) dan bahan pencemaran yang berbentuk gas. PM yang berukuran kurang daripada 2.5 µm (mikron) dikenal pasti sebagai ancaman kepada kesihatan kerana ia dapat menembusi tisu peparu. Keadaan jerebu ini boleh disebabkan oleh kejadian semula jadi seperti debu halus yang berterbangan dan juga letusan gunung berapi. Selain itu, pencemaran udara akibat perbuatan manusia seperti  pembakaran terbuka, asap dari kenderaan, debu asap lepasan kilang, penebangan dan pembakaran hutan juga boleh memburukkan jerebu.

Kualiti udara di persekitaran diukur menggunakan Indeks Pencemaran udara (IPU). Bacaan IPU menggambarkan kualiti udara yang sihat dan selamat untuk orang awam. Ia diukur berdasarkan paras purata parameter-parameter zarah-zarah pepejal bersaiz kurang daripada 10 mikron (PM10), Sulfur Dioksida (SO2), Nitrogen Dioksida (NO2), Ozon (O3) dan Karbon Monoksida (CO). Nilai IPU dan tahap kualiti udara adalah seperti di Jadual 1.

Jadual 1: Nilai IPU dan Tahap Kualiti Udara

 Nilai IPU Tahap Kualiti Udara
0 – 50 Baik
51 – 100 Sederhana
101 – 200 Tidak sihat
201 – 300 Sangat tidak sihat
301 – 400 Berbahaya
401 – 500 Sangat berbahaya
> 500 Sangat berbahaya dan darurat

Sumber: Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan 2014, Jabatan Alam Sekitar

Apakah kesan jerebu ?

Seperti yang dinyatakan terdahulu, fenomena jerebu boleh menjejaskan kesihatan. Antara gejala-gejala yang boleh dihidapi adalah:

  1. Batuk dan sesak nafas
  2. Sakit tekak
  3. Iritasi mata seperti mata menjadi pedih, berair dan gatal
  4. Sakit kepala, pening, loya dan muntah
  5. Mudah rentan kepada penyakit saluran pernafasan akut
  6. Pencetus kepada serangan asthma

Apakah yang perlu dilakukan untuk meminimakan kesan jerebu kepada anak anda ?

  1. Kurangkan aktiviti fizikal lasak di luar rumah
  2. Jika berada di luar rumah, pastikan memakai penutup hidung dan mulut
  3. Pastikan pintu dan tingkap ditutup ketika berada di rumah
  4. Pastikan anak anda minum air kosong secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi
  5. Sekiranya anda merokok, dinasihatkan untuk berhenti merokok
  6. Sekiranya menggunakan alat pendingin hawa, pastikan penapis udara dicuci bersih dan berfungsi dengan baik
  7. Sekiranya ada mengalami gejala-gejala di atas, segeralah berjumpa dengan doktor untuk rawatan.

Pemakaian penutup hidung dan mulut adalah penting digunakan sewaktu di luar rumah. Ia tidak perlu dipakai di dalam rumah. Umumnya, masalah kesihatan akibat jerebu terjadi akibat daripada partikel debu yang berukuran kurang daripada 10 mikron yang terampai. Di pasaran, terdapat pelbagai jenis penutup hidung dan mulut. Penutup hidung dan mulut jenis N95 adalah disarankan kerana ia mampu menapis habuk atau partikel sehalus 0.1-03 mikron. Sekiranya dipakai dengan betul, ia dapat menapis 95% partikel jerebu. Berbanding dengan penggunaan pentup hidung dan mulut jenis ‘surgical mask’, ia hanya dapat menapis 12% partikel berukuran 2-3 micron di dalam jerebu. Penggunaan penutup hidung dan mulut jenis ini juga sesuai untuk menghalang pengguna daripada menyebarkan virus kepada orang sekeliling.

Topeng Jenis N95

Di musim jerebu ini, penjagaan kesihatan adalah amat penting untuk dititik beratkan. Pastikan anda sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang jerebu daripada media massa dan pihak berkuasa.

Rujukan:

  1. Garis Panduan Pengurusan Kesihatan Jerebu. Kementerian Kesihatan Malaysia 2019
  2. Zhang, S., Li, L., Gao, W., Wang, Y., & Yao, X. (2016). Interventions to reduce individual exposure of elderly individuals and children to haze: a review. Journal of thoracic disease8(1), 62-68.