Covid Covid Juga, Denggi Jangan Dilupa

342

Perbandingan antara bilangan kes dan kematian akibat penyakit COVID-19 dengan penyakit denggi bermula 1 Januari 2020 sehingga 2 Mei 2020 adalah seperti berikut:

Covid-19 Denggi
Kes 6176 37,840
Kematian 103 68

Walaupun kes kematian akibat COVID-19 melebihi penyakit denggi setakat ini, namun denggi tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kira-kira 6 kali ganda jumlah kes berbanding COVID-19. Kita juga perlu berwaspada terhadap penyakit denggi kerana dalam menangani masalah wabak COVID, kita tidak mahu terbeban dengan lonjakan kes denggi pada masa yang sama.

Bacaan Berkaitan : Nyamuk Bukan Sekadar Pembawa Penyakit

Dalam artikel ini penulis ingin berkongsi pengalaman seorang pesakit bernama JD. Encik JD pernah menghidapi demam denggi sebanyak dua kali dalam tempoh lima tahun yang lalu.  Setiap kali beliau ternampak akan kelibat nyamuk (nyamuk spesies apa sekalipun), beliau tidak akan senang duduk. Tangannya pantas mencapai raket elektrik untuk membunuh nyamuk itu. Sebelum ini, beliau tidak tahu bahawa spesies nyamuk yang menyebabkan beliau terkena denggi turut mampu menyebarkan penyakit-penyakit lain termasuk chikungunya.

Dari segi bahasa, perkataan ‘chikungunya’ berasal daripada bahasa Kimakonde yang bermakna meliuk (merujuk kepada badan meliuk atau membongkok). Ia merupakan satu lagi penyakit bawaan nyamuk Aedes di samping denggi dan zika. Manakala, perkataan denggi berasal daripada ‘dinga’ (kidingapopo) dalam bahasa Swahili/ Kiswahili yang membawa maksud ‘cerewet’ atau ‘berhati-hati’ yang merujuk kepada gaya jalan pesakit byang mengalami kesakitan. Kedua-dua bahasa tersebut berasal dari benua Afrika.

Virus denggi dan chikungunya merupakan virus daripada famili dan genus yang berbeza. Virus denggi diklasifikasi di bawah famili Flaviviridae dan genus Flavivirus. Manakala virus chikungunya dikelaskan di bawah famili Togaviridae dan genus Alphavirus.

Nyamuk Aedes

Seperti yang kita ketahui, denggi disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes betina. Penularan denggi melalui tranfusi darah dan transplantasi organ amat jarang berlaku. Chikungunya pula diketahui hanya disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes juga. Kedua-dua spesies nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus boleh menyebarkan denggi dan chikungunya.

Penyebaran penyakit-penyakit bawaan Aedes ini bukan hanya boleh berlaku di rumah, tetapi juga di sekolah, taman permainan, tempat tumpuan awam atau mana-mana kawasan berlakunya pembiakan nyamuk Aedes. Kebiasaannya, nyamuk Aedes betina hanya terbang dalam jarak dekat sekitar 200 ke 400 meter untuk mendapatkan darah sebagai sumber protein bagi menghasilkan telur. Namun, terdapat juga beberapa situasi di mana nyamuk boleh terbang lebih jauh hingga 1 meter. Selain itu, pengangkutan juga merupakan salah satu medium untuk nyamuk tersebar dengan lebih luas. Jadi, pastikan kenderaan anda tidak berperanan dalam menyebarkan nyamuk!

Nyamuk Aedes betina seringkali aktif menggigit pada waktu awal pagi dan lewat petang. Namun, ia boleh menggigit pada bila-bila masa sekiranya lapar. Oleh itu, pastikan anda dan ahli keluarga menggunakan penghalau nyamuk yang bersesuaian. Pakai pakaian berwarna cerah yang panjang apabila melakukan aktiviti di luar rumah. Ada sesetengah individu lebih kerap mendapat gigitan nyamuk berbanding individu lain. Pelbagai faktor menyebabkan keadaan ini seperti bau badan dan karbon dioksida yang dihembuskan.

Di manakah tempat pembiakan nyamuk Aedes? Antaranya ialah bekas-bekas buatan manusia seperti pelapik rak pinggan, pasu hiasan, alas pasu bunga, baldi, kolah dan kolam. Bekas semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan yang boleh menakung air (contoh: bromeliad), lubang pokok dan tempurung kelapa juga boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Lakukan pemeriksaan rutin di rumah sekurang-kurangnya sekali seminggu. 

Statistik denggi

Ibu bapa juga perlu sentiasa cakna tentang situasi semasa di rumah dan sekolah. Kejadian wabak denggi atau chikungunya di kawasan-kawasan ini akan meningkatkan risiko untuk ahli keluarga mendapat jangkitan. Perkembangan dan maklumat terkini berkaitan wabak ini boleh didapati di laman sesawang atau media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia. Di samping itu, anda boleh melayari sesawang: http://idengue.arsm.gov.my/ untuk mengetahui lokasi wabak denggi. Lebih daripada 100,000 kes denggi telah dilaporkan sepanjang tahun 2019.

Tanda dan gejala

Pesakit denggi biasanya menunjukkan gejala (simptom) selepas 4 hingga 7 hari terkena gigitan nyamuk. Manakala, pesakit chikungunya biasanya menunjukkan gejala selepas 3 hingga 7 hari digigit nyamuk. Namun, ada sesetengah pesakit yang hanya menunjukkan gejala 12-14 hari selepas terkena gigitan nyamuk.

Anda dan ahli keluarga tidak boleh berlengah untuk menjalani ujian pengesahan denggi atau chikungunya. Kelewatan dalam mendapatkan rawatan bagi pesakit denggi boleh membawa maut. Sebaliknya, jangkitan virus chikungunya jarang menyebabkan kematian. Janganlah melakukan diagnosis sendiri berdasarkan carian atas talian sahaja! Anda perlu mendapatkan diagnosis dan rawatan yang betul daripada doktor dan pasukan kesihatan yang bertauliah. Klinik dan hospital awam mahu pun swasta ada menawarkan rapid test dan ujian-ujian lain untuk pendiagnosan penyakit denggi dan chikungunya.

Kedua-dua penyakit ini mempunyai tanda dan gejala yang lebih kurang sama. Pesakit denggi dan chikungunya boleh menunjukkan atau mengalami tanda dan gejala seperti:

  • Demam kuat yang mengejut
  • Sakit sendi
  • Ruam
  • Sakit kepala
  • Sakit otot
  • Lain-lain seperti sakit perut, loya dan sakit mata.

Pesakit chikungunya lebih kerap melaporkan gejala sakit sendi yang mungkin berpanjangan sehingga setahun atau lebih. Denggi pula boleh dikaitkan dengan gangguan pendarahan. Buat masa ini, masih belum ada vaksin yang boleh digunakan di Malaysia untuk mencegah denggi dan chikungunya.

Apakah yang terjadi kepada Encik JD? Dia dan ahli keluarganya terlibat sebagai sukarelawan bagi meningkatkan kesedaran mengenai denggi. Encik JD berpesan supaya kita semua cakna dan mesti terlibat dalam usaha memerangi penyakit bawaan Aedes. Pastikan rumah anda tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes kerana kompaun sebanyak RM500 boleh dikenakan. Usaha pihak berkuasa termasuk fogging, pemeriksaan dari rumah ke rumah, gotong royong dan strategi nyamuk berWolbachia haruslah disokong dan dibantu oleh masyarakat. Libatkan anak-anak dalam pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk di rumah. Seolah-olah permainan treasure hunt!

“Tiada Aedes, Tiada Denggi & Chikungunya ”

Mencari-cari bahan pengajaran tentang kesihatan yang sesuai untuk anak anda?

Dapatkan pakej majalah AWAL yang menyediakan segmen SIHAT BERSIH, khas untuk isu kesihatan. Majalah AWAL isu ke-18 menerangkan tentang menjaga kebersihan di taman permainan untuk mengelak daripada berlakunya pembiakan nyamuk. Dapatkan bahan pendididkan awal kanak-kanak berkualiti di eniaga.awal.my