Jangan Disangka Kolam Renang Yang Tenang Tiada Parasit!

2442

Musim cuti sekolah mahupun hujung minggu sudah semestinya detik yang paling ditunggu-tunggu oleh semua. Itulah masa terbaik untuk kita beriadah dan meluangkan masa bagi mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga. Selain itu, semasa musim percutian juga, kita dapat membebaskan diri daripada tekanan harian seperti tekanan di tempat kerja dan sekolah. Kebiasaanya, bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, lokasi percutian yang dilengkapi dengan kolam renang semestinya menjadi pilihan utama. Tanpa kolam renang, seperti tidak lengkap rasanya percutian tersebut.

Tahukah anda, kolam renang merupakan salah satu sumber air yang berupaya menyebarkan jangkitan penyakit berjangkit? Terdapat beberapa spesies parasit yang menggunakan air sebagai medium penularannya kepada manusia. Kebanyakan jangkitan daripada kolam renang ini menyebabkan gejala-gejala gastrousus akut seperti demam, sakit perut, cirit-birit dan muntah.

Kali ini penulis ingin kongsikan maklumat tentang apakah jenis jangkitan parasit yang boleh didapati daripada kolam renang dan langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi mengelakkan daripada dijangkiti mikroorganisma berbahaya ini. Diharapkan artikel ini dapat memberi input yang berguna sebagai panduan kepada semua, terutamanya ibu bapa agar dapat memantau aktiviti anak-anak semasa di kolam renang. Semoga percutian yang dinikmati tidak berakhir dengan permasalahan kesihatan di kemudian hari.

Penyakit Air Rekreasi Bawaan Parasit Dan Pencegahannya

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), penyakit air rekreasi adalah penyakit yang boleh tersebar melalui sumber air yang tercemar dengan kuman, di mana aktiviti-aktiviti seperti berenang dan bermain dilakukan di dalamnya. Contoh-contoh sumber air rekreasi yang berpotensi sebagai medium penularan penyakit berjangkit adalah seperti kolam renang, kolam air panas, spa, taman tema air, laut, tasik, dan sungai. Terdapat beberapa kumpulan mikroorganisma yang berupaya menjadi agen penyebaran jangkitan penyakit air rekreasi ini, iaitu virus, bakteria dan parasit. Dalam artikel pada kali ini, penulis ingin menfokuskan jangkitan air rekreasi daripada kolam renang yang disebabkan oleh parasit dan kaedah pencegahannya. Berikut adalah fakta yang perlu diketahui umum bagi membendung jangkitan parasit bawaan air ini.

Apakah spesies parasit utama yang menjadi agen penyakit berjangkit di dalam kolam renang?

Terdapat beberapa spesies parasit yang berupaya menularkan jangkitan penyakit berjangkit di dalam kolam renang iaitu Cryptosporidium spp. dan Giardia lamblia.  Antara kedua-dua parasit ini, Cryptosporidium spp. adalah spesies utama yang kebiasaanya menyebabkan wabak jangkitan air rekreasi.

Cryptosporidium spp. dan  G. lamblia adalah parasit daripada kumpulan protozoa  yang menyebabkan jangkitan kepada saluran gastrousus. Penyakit yang diakibatkan oleh parasit-parasit ini juga lebih dikenali sebagai cryptosporidiosis dan giardiasis. Kedua-dua parasit ini juga adalah zoonotik, yang bermaksud ia boleh menular daripada haiwan kepada manusia. Peringkat oosista dan sista bagi parasit Cryptosporidium spp. dan G. lamblia masing-masing adalah infektif (fasa kehidupan parasit yang boleh menyebabkan berlakunya jangkitan) kepada manusia. Oosista Cryptosporidum ini mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap klorin dan bromin yang biasanya digunakan dalam operasi nyahkuman, justeru menjadikan parasit ini sukar untuk  dibasmi.

Kitar hidup kedua-dua parasit ini dapat dilihat pada Rajah 1 dan Rajah 2 di bawah:

Bagaimana cryptosporidiosis dan giardiasis merebak melalui kolam renang?

Kita boleh mendapat penyakit ini jika tertelan air kolam yang tercemar dengan najis yang mengandungi oosista dan sista parasit.

Siapa yang paling berisiko dijangkiti penyakit ini?

Penyakit ini lebih kerap berlaku kepada bayi dan kanak-kanak kerana faktor kekurangan kebersihan diri.  Selain itu, wanita hamil dan orang-orang yang mempunyai masalah kesihatan seperti individu yang terimunokompromi adalah paling berisiko untuk  mendapat jangkitan ini.  Jangkitan Cryptosporidium boleh mengancam nyawa kepada individu yang mempunyai ketahanan sistem imun yang lemah.

Apakah gejala akibat jangkitan parasit ini?

Kebiasaannya, individu yang terkena jangkitan parasit daripada kolam renang ini akan mengalami gejala seperti demam, sakit perut, mual, muntah dan cirit-birit. Gejala cirit-birit ini boleh berterusan selama satu hingga dua minggu. Gejala lain termasuklah penurunan berat badan dan dehidrasi.

Apakah tip-tip untuk berenang atau bermain air dengan selamat?

Bagi membantu melindungi diri dan keluarga anda daripada parasit yang mungkin ada di kolam renang, ikuti tip-tip berikut:

1) Pilihlah destinasi percutian yang dilengkapi dengan kolam renang yang bersih dan air yang jernih. Kolam berklorin yang baik mempunyai sedikit bau.  Bau kimia yang kuat menunjukkan masalah penyelenggaraan.

2) Pastikan anda mandi di dalam kolam renang yang tidak terlalu padat dengan orang ramai.

3) Jangan berenang jika anda sakit. Sekiranya anda atau anak anda mengalami gejala cirit-birit atau baru pulih daripada cirit-birit, elakkan menyebarkan kuman dengan masuk atau mandi di dalam kolam renang.

4) Bilas badan sebelum berenang. Membilas badan sebelum masuk ke kolam dapat mengurangkan jumlah kotoran dan peluh yang anda akan bawa ke dalam air.

5) Pergilah ke tandas atau bawa anak-anak ke tandas terlebih dahulu sebelum  mandi di kolam renang.

6) Bagi  kanak-kanak yang memakai lampin pakai buang, pastikan lampin ini ditukar setiap jam. Tukar lampin di bilik mandi dan bukan di tepi kolam renang dan bersihkan kawasan penukaran lampin dengan teliti. Elakkan anak-anak anda mandi di dalam kolam renang dalam keadaan berbogel.

7) Elakkan tertelan air semasa berenang agar tidak tertelan oosista atau sista parasit yang infektif.

8) Persiapkan anak-anak anda dengan ilmu berkaitan risiko penyakit berjangkit di kolam renang. Ingatkan mereka agar tidak membuang air di kolam atau menelan air kolam.

9) Maklumkan kepada petugas kolam renang dengan segera sekiranya terlihat najis di sekitar atau di dalam kolam renang.

10) Pastikan peralatan kolam berfungsi dengan baik. Pam kolam dan sistem penapisan akan mengeluarkan bunyi apabila berfungsi dan anda sepatutnya dapat mendengarnya.

Diharap penerangan di atas dapat membantu anda dan anak-anak bermain air dengan selamat. Kebersihan dan keselamatan tempat rekreasi adalah tanggungjawab kita bersama. Selamat bercuti dan semoga bergembira!

Rujukan:

Centre for Disease Control and Infection (CDC)