10 Tip Mengasingkan Tempat Tidur Anak

1676

Salah satu kerisauan apabila anak semakin membesar ialah bagaimana untuk mengasingkan mereka daripada tempat tidur kita. Perkara ini bukanlah mudah kerana anak sudah terbiasa tidur bersama ibu bapa. Namun, ia perlu dilakukan dan antara  kebaikannya ialah:

Meningkatkan keyakinan diri anak bahawa mereka sudah besar dan boleh berdikari.

  1. Mengajar anak bahawa ibu bapa juga memerlukan privasi.
  2. Mengajar mereka untuk mengatur ruang mereka sendiri.
  3. Mengajar berkongsi ruang dengan adik-beradik lain.

Dan pelbagai lagi kebaikan secara langsung mahupun tidak langsung. Persoalan yang biasa timbul ialah bilakah umur yang sesuai untuk melakukannya? Tiada jawapan yang tepat kerana ia bergantung kepada kebiasaan keluarga anda. Ada yang sudah mula memisahkan anak-anak sejak mereka bayi. Ada juga sehingga sudah mula bersekolah. Indikator yang mungkin boleh diguna pakai ialah tahap keselesaan anda suami isteri dengan kehadiran anak di bilik tidur. Jika ruang privasi anda menjadi semakin sempit dan suntuk, maka pasti masanya sudah tiba untuk si kecil berpindah bilik.

TIP MENGASINGKAN TEMPAT TIDUR ANAK-ANAK

  1. Maklumkan kepada anak rancangan untuk memindahkan tempat tidur mereka ke bilik yang dicadangkan. Tidak wajar ada elemen kejutan kerana mereka memerlukan masa untuk bersedia dari segi psikologi untuk tidur sendiri. Anda mungkin boleh mula menyebut mengenainya beberapa minggu sebelum itu.
  2. Libatkan mereka dalam penyediaan bilik tidur mereka. Mula menyimpan segala barangan peribadi anak di dalam bilik tersebut dan jadikan bilik tersebut selesa untuk mereka melakukan apa-apa aktiviti.
  3. Temani mereka pada peringkat awal dan secara beransur-ansur tinggalkan mereka sendirian apabila mereka sudah tidur. Pastikan anda dapat mendengar mereka jika mereka memerlukan anda pada waktu malam.
  4. Tetapkan rutin harian dan berikan kebebasan untuk mereka cipta susun atur bilik mereka.
  5. Ibu bapa tidak menunjukkan tanda-tanda kerisauan akan keadaan anak.
  6. Jangan biasakan dengan cerita tahyul dan merapu di media.
  7. Berhenti menakutkan anak-anak dengan hantu, tahyul dan sebagainya.
  8. Berikan pujian untuk setiap pencapaian yang mereka lakukan dalam proses tidur sendiri.
  9. Jadikan anda sebagai insan pertama yang akan mereka lihat apabila mereka membuka mata pada waktu pagi.
  10. Jangan terlalu memaksa kerana setiap anak ada tempoh penyesuaian dan pembelajaran mereka yang tersendiri.

Setiap anak adalah unik dan mempunyai karakter yang tersendiri. Mengasingkan tempat tidur ini juga adalah satu proses yang memerlukan kesabaran pihak ibu bapa. Anak yang gembira lebih mudah untuk dipujuk dan dilatih, manakala anak yang ketakutan dan resah pula pasti lebih sukar untuk menerima perubahan dalam hidup mereka.