3 Langkah Merangsang Anak Lambat Bercakap

3373

Dewasa ini kegusaran ibu bapa terhadap anak yang masih belum boleh bertutur dengan baik atau anak lambat bercakap amat membimbangkan hingga timbul tekanan di kalangan ibu bapa. Kebimbangan ibu bapa ini banyak dipengaruhi oleh cerita-cerita negatif yang akhirnya memberi tekanan secara tidak langsung kepada perkembangan anak mereka sendiri tanpa mereka sedari.

Bagi ibu bapa yang berkemampuan, mereka mempunyai pelbagai pilihan yang lebih meyakinkan misalnya merujuk anak ke pakar-pakar yang lebih khusus di klinik atau hospital swasta. Kebimbangan ini amat dirasai oleh ibu bapa yang mempunyai pendapatan sederhana mahupun golongan tidak mampu dari segi ekonomi keluarga. Tambahan lagi ia akan terkesan kepada ibu bapa yang tiada atau kurang dalam pengetahuan pendidikan perkembangan anak-anak. Oleh demikian, ini akan membawa kepada ketinggalan perkembangan berbahasa kanak-kanak dan jika kanak-kanak mampu bercakap di lewat usia 6-7 tahun, maka akan berlakunya krisis keyakinan diri kanak-kanak di peringkat perkembangan yang seterusnya.

Terdapat tiga cara bagi merangsang anak untuk bercakap. Pertama adalah langkah paling mudah yang mampu dikuasai oleh semua ibu bapa iaitu ajak anak untuk berbual. Teknik berbual atau bercerita ini boleh dipraktikkan sejak anak di dalam kandungan lagi seterusnya apabila anak lahir. Kekerapan ibu bapa untuk berbual dan melapangkan masa untuk anak-anak secara tidak langsung memberi kesan positif bukan sahaja dari perkembangan bahasa anak-anak malahan dapat merangsang emosi positif anak-anak. Kanak-kanak akan rasa dihargai dan diberi perhatian. Ketika ibu bapa berbual bersama anak, anak-anak akan melalui proses peniruan. Di dalam proses peniruan akan ada proses pengulangan, ketika inilah anak akan mengumpul perbendaharaan kata.

Langkah kedua adalah ajar anak-anak menggunakan perkataan positif. Langkah ini dapat dibentuk ketika proses berbual atau bercerita bersama anak tadi. Ibu bapa boleh mendorong anak untuk bercakap dengan bahasa yang mudah dan sopan misalnya ucapkan “terima kasih mama”, “minta maaf ayah”, “janji tak buat lagi” dan sebagainya. Mungkin pada mulanya anak-anak agak sukar untuk mengucapkannya tetapi apabila ada kelaziman, maka ucapan ini akan mudah digunakan dengan tindakan yang selaras dengan ucapan contohnya meminta maaf sambil bersalaman. Ini membawa kepada perkembangan nilai-nilai murni dalam diri anak. Disamping pengunaan perkataan positif, harus ada pemantauan bagi ucapan kata-kata negatif. Ibu bapa adalah cermin bagi anak, demikian anak akan bertingkah laku dan bertindak mengikut pantulan cermin itu. Tegak cermin itu, tegaklah pantulan itu dan sebaliknya.

Walaubagaimana pun, pendedahan di luar kawalan ibu bapa menyebabkan anak-anak mudah meresap dan meniru pertuturan kata yang tidak sesuai. Perkara pertama wajib dibuat oleh ibu bapa adalah tegur sejurus perkataan yang tidak sesuai diucapkan. Teguran ini dibuat bagi menyedarkan anak-anak bahawa ucapan yang digunakan adalah salah dan tidak sopan. Jika teguran dibuat dalam masa yang sesuai, selitkan bersama nasihat dan nyatakan alasan mengapa tidak boleh menggunakan perkataan yang tidak sopan. Pastikan ibu bapa menasihati anak dalam keadaan yang waras. Jangan pula nasihat anak dalam keadaan emosi marah kerana apabila marah tidak mustahil ibu bapa akan menggunakan kata-kata negatif yang secara tidak langsung akan menurunkan motivasi anak. Ibu bapa juga perlu melatih diri untuk memberi nasihat secara berhikmah dan tidak berlebih-lebihan.

Langkah ketiga bagi merangsang anak untuk bercakap adalah dengan melatih anak untuk menggunakan sebutan yang betul. Situasi yang selalu kita lihat pada hari ini ialah ibu bapa pula yang berlebih-lebihan bercakap pelat di hadapan anak-anak. Ini akan menggalakkan anak-anak untuk meniru dan mengulang percakapan pelat. Tindakan awal yang dapat ibu bapa buat adalah jangan terlalu melayan pelat anak, betulkan setiap kali anak bercakap pelat. Ajarkan perkataan yang betul dan minta anak mengulangnya kembali. Lama-kelamaan anak akan dapat bercakap dengan menggunakan perkataan yang betul dan boleh bercakap sesuai dengan keperluannya. Dalam masa yang sama, ketika proses merangsang anak untuk bercakap, jangan membanding-bandingkan anak dengan abang atau kakak mereka atau dengan orang lain kerana kita sendiri tidak suka dibandingkan. Oleh itu ibu bapa perlu lebih peka dan sensitif dalam setiap tindakan dan percakapan dengan anak-anak.

Ibu bapa berperanan sebagai model tingkah laku yang terbaik dalam usaha untuk menggalakkan anak bercakap. Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Dengan kesedaran, kesabaran dan keprihatinan ibu bapa, ia pasti dapat membantu dalam proses perkembangan anak untuk bercakap dengan lebih lancar.