Betulkah Asal Usul Tulisan Jawi Dari Tanah Jawa?

7511

Ramai orang keliru tentang tulisan Jawi. Mereka menyamakan tulisan Jawi dengan al-Quran. Persamaan antara kedua-duanya hanyalah dari segi bentuknya. Asalnya, kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu membawa bersama tulisan Arab. Ini jelas apabila tulisan Arab telah dikesan di beberapa batu nisan yang dijumpai di Kepulauan Melayu sebelum abad ke-13, misalnya di Brunei pada tahun 1048 Masihi dan di Aceh pada 1297 Masihi.  Tanah Melayu juga tidak terkecuali. Tulisan Arab dijumpai pada wang syiling di Kelantan pada tahun 1161 Masihi.

Dari mana dan bila pula tulisan Jawi terbentuk? Kebanyakan pengkaji berpendapat tulisan Jawi terbentuk sesudah abad ke 13 Masihi apabila  tulisan Arab disesuaikan untuk membaca dan menulis bahasa Melayu dengan beberapa penyesuaian dan tambahan. Buktinya ada pada Batu Bersurat Terengganu yang masyhur bertarikh 1303 Masihi.

Tiada siapa tahu asal usul nama Jawi ini. Sungguh menarik bagaimana para pengkaji mengkaji asal usul nama Jawi ini. Dalam bahasa Melayu Jawi digunakan untuk pokok jawi-jawi atau jejawi dan beras jawi yang berbeza dari beras pulut. Dalam bahasa Minangkabau pula, jawi bermaksud lembu atau kerbau. Jelas, nama jawi tidak ada kaitan dengan tulisan.

Kalau hendak dikaitkan dengan bahasa Arab pula, jawi ialah kata adjektif terbitan daripada kata nama Jawa yang bermaksud (tulisan) yang berkait dengan pulau Jawa. Namun ini tidak logik kerana tulisan Jawi sudah wujud dan digunakan di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu sebelum Jawa jatuh ke tangan orang Islam pada 1468 Masihi.

Pendapat yang hampir ialah perkataan Jawi berasal dari perkataan Arab al-Jawah, iaitu perkataan yang digunakan oleh orang Arab untuk menamakan pulau Sumatera. Kemungkinan besar tulisan Jawi itu dinamakan oleh orang Arab untuk merujuk tulisan yang digunakan oleh orang Sumatera iaitu penduduk al-Jawah yang beragama Islam dan menggunakan bahasa Melayu.

Rujukan: Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi, Hashim Musa. 1999

 Dapatkan pakej Bacalah Jawi yang menarik, lengkap dan berkesan di eniaga.awal.my untuk anak anda.

Zairani A. Hamid
Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.