Adakah Anak Anda Tidak Bermaya Serta Tidak Dapat Fokus Dalam Pembelajaran?

1726

Sekiranya anak anda sering letih dan tidak bermaya, mungkin dia mengalami masalah kecacingan yang sering berlaku pada kanak-kanak. Keadaan ini diburukkan lagi sekiranya persekitaran kanak-kanak kotor dan tidak terurus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seramai 80 juta kanak-kanak di seluruh dunia mengalami jangkitan cacing. Jumlah ini agak rumit dan membimbangkan. Ini kerana jangkitan cacing boleh menyebabkan kekurangan zat makanan dan mengakibatkan tumbesaran kanak-kanak terbantut.  Bagaimanakah mengenal pasti anak yang berkemungkinan mengalami jangkitan cacing?

Jenis-jenis jangkitan cacing

Terdapat banyak jenis cacing yang boleh menyebabkan jangkitan. Jangkitan cacing ini digelar sebagai jangkitan cacing usus (helmin) tularan tanah (soil to helminth infection). Antara jangkitan cacing itu adalah:

  • Cacing gelang

Cacing gelang merupakan antara jangkitan yang kerap berlaku. Cacing gelang ini boleh mencapai ukuran 18 inci panjang dan berbentuk seperti gelang. Cacing ini menghuni usus dan boleh menyebabkan usus tersumbat. Telur cacing gelang boleh mendiami tanah selama bertahun-tahun.

  • Cacing cambuk/rambu

Cacing ini berbentuk seperti rambu. Cacing ini boleh mencapai ukuran 3-5 cm panjang dan hidup agak lama sekitar 1 hingga 3 tahun. Cacing ini hidup di dalam usus dengan membenamkan hujung badannya pada dinding usus manusia. Jangkitan cacing cambuk atau rambu boleh menyebabkan cirit- birit berdarah.

  • Cacing kerawit

Cacing kerawit adalah cacing yang sangat halus. Cacing betina dewasa akan keluar pada waktu malam di kawasan dubur untuk bertelur. Ini menyebabkan kegatalan pada kawasan dubur pada waktu malam.

  • Cacing cangkuk

Cacing cangkuk adalah cacing yang berukuran kurang daripada 1.3 cm panjang. Cacing ini mencangkukkan dirinya pada dinding usus dengan ‘gigi’ yang berbentuk cangkuk. Jangkitan cacing ini boleh menyebabkan kekurangan darah yang kronik.

Bagaimanakah ia merebak?

Cacing akan bertelur dalam usus dan keluar bersama-sama najis. Sekiranya najis itu dibuang merata-rata di tanah, maka tanah akan tercemar.

Kanak-kanak yang sering berkaki ayam ketika bermain dan tidak mencuci tangan dengan bersih lebih mudah terkena jangkitan. Telur cacing yang terdapat pada tanah tercemar akan merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas bermain. Makan sayuran yang tidak dicuci bersih atau dimasak sempurna juga boleh menyebabkan telur cacing memasuki badan. Jangkitan cacing juga boleh berlaku melalui penetrasi kulit oleh larva cacing yang menetas di tanah akibat berkaki ayam.

Gejala jangkitan cacing usus

Gejala bergantung kepada berapa banyaknya cacing yang terdapat di dalam sistem usus anak-anak dan juga jenis jangkitan cacing. Ada sesetengah anak-anak langsung tidak menunjukkan sebarang gejala.

Antara gejala yang boleh berlaku adalah:
  • Kurang selera makan
  • Letih dan tidak bermaya
  • Tidak dapat fokus dalam pembelajaran
  • Cirit-birit (berlendir atau berdarah)
  • Sakit perut berpanjangan
  • Gatal di kawasan dubur (cacing kerawit)
  • Mendapati cacing di dalam najis

Gejala teruk seperti usus tersumbat dan terkeluar (rectal prolapse) boleh berlaku terutama terhadap jangkitan cacing cambuk. Sekiranya mengesyaki anak-anak mengalami jangkitan cacing segeralah berjumpa doktor. Doktor akan mengambil sejarah kes pesakit, melakukan pemeriksaan fizikal dan mengambil sampel najis. Ini penting untuk mengetahui jenis jangkitan cacing,

Apakah rawatan untuk jangkitan cacing?

Jangkitan cacing di kalangan kanak-kanak boleh dirawat dengan ubat cacing. Ubat cacing akan dipreskripsi secara oral oleh doktor. Kadang-kala doktor akan memeriksa semula sampel najis selepas tiga minggu bagi memastikan keberkesanan ubat. Pada kebiasaannya, jangkitan cacing akan beransur pulih dalam masa satu minggu.

Tip pencegahan jangkitan cacing usus:
  • Pastikan kuku dipotong pendek
  • Cuci tangan dengan air dan sabun sebelum makan dan selepas menggunakan tandas
  • Makan makanan yang dimasak sempurna
  • Elakkan berkaki ayam semasa bermain
  • Elakkan tabiat menggigit kuku atau menghisap jari
  • Pastikan persekitaran bersih dan terurus
  • Bersihkan permainan anak-anak menggunakan cecair disinfeksi
  • Tukar cadar secara kerap

Selain mengamal tip-tip di atas, bawalah anak ke klinik sekiranya beliau sering letih dan tidak bermaya bagi mendapatkan rawatan.