Membaca Dan Anak Anda

1398

Membaca adalah kemahiran tertinggi seseorang manusia

Hakikatnya, hanya manusia yang boleh membaca dan menulis. Walaupun ada kajian yang mengatakan haiwan juga boleh membaca, namun caranya membaca tidak sama seperti cara manusia membaca.

Dari kalangan kita sendiripun, tidak semua yang dapat mengecapi anugerah ini. Membaca ialah  satu kemahiran tertinggi seseorang manusia. Membaca ialah  satu kemahiran yang komplikated.

Kita perlu mengakui bahawa membaca bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh anak-anak. Ini disebabkan oleh, dalam kemahiran membaca, minda kita perlu bekerja untuk mentafsir dan menterjemah.

Membaca untuk hidup

Masyarakat umum sering mengaitkan membaca dengan ilmu. Kita selalu mendengar – membaca itu jambatan ilmu, banyak membaca luas pengetahuan, masyarakat membaca masyarakat berilmu dan macam-macam lagi. Ini adalah pandangan umum – pandangan makro.

Cuba fikirkan semula dari pandangan yang lebih khusus, yakni pandangan mikro. Sebenarnya, membaca bukan setakat untuk ilmu. Kita membaca untuk keselesaan hidup. Mahu tidak mahu, si kaya, si miskin, yang tua mahupun yang muda, semuanya perlu membaca. Hatta si buta pun merasakan keperluannya untuk  membaca.

Hendak isi borang, hendak bayar bil, hendak beli barang keperluan, hendak guna kenderaan awam… hatta hendak beli roti pun perlu membaca. Bayangkanlah sukarnya hidup kalau tidak boleh membaca.

Pokoknya, membaca kini bukan lagi setakat untuk menambah ilmu pengetahuan, tetapi membaca adalah keperluan untuk hidup, sama seperti makan dan minum.

Membaca adalah nadi kepada pembelajaran anak

Sebagai orang tua, kita pasti risau apabila melihat anak kita belum boleh membaca. Lebih merisaukan apabila melihat anak yang sudah dua tiga tahun berada di bangku sekolah, tetapi masih lagi terkial-kial membaca. Kalau tidak boleh membaca, macam mana hendak belajar?

Kasihanilah anak kita yang mempunyai minat belajar tetapi terhalang disebabkan tidak boleh membaca. Tidak boleh belajar bermakna gelaplah masa depannya kerana membaca menjadi prasyaratnya untuk berjaya.

Teringat saya akan seorang guru Matematik tahun 6 di sebuah sekolah kampung di Johor.  Beliau mempunyai masalah ramai murid yang tidak boleh membaca. Ada juga sebilangan murid yang tidak minat untuk belajar.

Guru ini sangat kreatif. Beliau telah memikirkan  satu cara belajar Matematik sambil bernyanyi. Menyedari anak-anak muridnya yang suka bernyanyi, beliau telah mengilhamkan beberapa buah lagu untuk dihafal. Lirik lagunya hanyalah formula-formula Matematik dan cara-cara untuk menyelesaikan masalah Matematik.

Cara ini telah membuahkan kejayaan. Sekolahnya telah mencatatkan seratus peratus kelulusan untuk pelajaran Matematik walaupun ramai yang tidak boleh membaca! Beliau mendapat anugerah guru cemerlang untuk usahanya itu. Pelik tetapi benar!

Tapi benar tidak semestinya betul caranya! Dari satu segi, cara itu telah berjaya membuatkan kanak-kanak itu lebih bersemangat untuk belajar dan menggunakan kaedah yang unik untuk menjawab soalan tanpa perlu boleh membaca.

Walaubagaimanapun, masalah tidak boleh membaca anak-anak tersebut masih belum dapat diselesaikan. Ibarat anak yang sakit gigi diberi ubat tahan sakit. Baiknya sekejap, tetapi esok sakit semula. Kali ini untuk UPSR mungkin ada soalan yang boleh dijawab, namun apabila PMR dan SPM kelak, adakah mereka mampu bertahan?

Zairani A. Hamid
Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.

2 COMMENTS