Shukri

1. Menonton melalui teladan

Anak membuat apa yang dilihatnya. Kini, kata-kata ‘buat apa yang saya suruh, jangan buat apa yang saya buat’ tidak boleh digunakan. Ini bermakna langkah terpenting dalam memerangi tabiat menonton televisyen berlebihan di kalangan anak adalah dengan mengubah tabiat ibu bapa itu sendiri dahulu.

Sebelum ibu bapa hendak mengawal anak daripada menonton televisyen berlebihan, mereka mesti mengawal diri mereka dahulu daripada menonton televisyen berlebihan, mereka mesti mengawal diri mereka dahulu daripada menonton lebih daripada yang sepatutnya.

2. Kawal masa menonton TV

Ibu bapa MESTI mengawal masa menonton televisyen di rumah. Anak-anak mesti diberitahu waktu yang dibenarkan dan waktu yang dilarang untuk menonton televisyen.

Sekiranya peraturan seperti ini belum pernah diperkenalkan dan tabiat menonton televisyen sudah mendarah daging di kalangan anak-anak (ibu bapa juga barangkali) di rumah, maka kurangkan masa menonton itu sedikit demi sedikit. Langkah yang terbaik adalah dengan memaklumkan kepada anak, rasional di sebalik tindakan ini dan meminta kerjasama mereka untuk menjayakannya. Namun, kelonggaran perlu diberikan jika sekali-sekala si anak memohon untuk menonton filem atau program tertentu.

3. Tiada TV pada malam-malam persekolahan

Bagi memastikan anak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran, ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak menonton televisyen pada malam-malam hari persekolahan. Sebagai gantinya, mereka memberi sedikit kebebasan untuk anak menonton televisyen pada hujung minggu.

4. Pupuk budaya ilmu di rumah

Tidak guna juga jika anak jarang menonton televisyen tetapi membazirkan masa terluangnya dengan pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah. Ada juga anak yang tidak berminat menonton televisyen tetapi suka melepak di rumah kawan, merayau ke sana-sini atau tidur berlebihan.

Kita mahu anak memanfaatkan masa terluang dengan membaca buku-buku pelajaran dan juga bahan-bahan bacaan umum. Lazimnya membaca ada nikmatnya yang tersendiri. Maka usaha mengawal anak daripada banyak berhibur di hadapan televisyen termasuklah memupuk budaya ilmu di rumah.

5. Letakkan TV di tempat yang kurang menarik

Apabila televisyen diletakkan di tempat yang strategik seperti di hadapan set sofa, maka kecenderungan untuk menonton ketika bersantai amat nyata sekali. Tetapi, jika televisyen diletakkan di tempat yang kurang menarik, maka kecenderungan untuk menontonnya juga dapat dikurangkan.

6. Jangan beri TV berasingan untuk anak

Kecenderungan meletakkan sebuah televisyen di dalam bilik tidur anak boleh menggalakkan anak untuk menonton televisyen tanpa kawalan. Ia juga mendorong anak untuk duduk berseorangan di dalam bilik untuk jangka masa yang panjang, justeru mengurangkan interaksi sosial dengan ahli keluarga yang lain. Lebih baik trade-in atau hadiahkan saja televisyen lama atau televisyen kecil anda kepada orang lain daripada memindahkannya ke bilik anak apabila anda membeli televisyen baru atau yang lebih besar.