4 Tip Membentuk Sikap Positif

3375

Setiap ibu bapa mahu melihat anak-anak memiliki adab sopan yang tinggi ketika berhadapan dengan orang ramai serta perlakuan yang elok semasa di rumah.

Namun begitu, tidak semua anak-anak dapat dikawal, tidak semua berkelakuan elok dan tidak semua pandai membawa diri.

Jangan terus dihukum anak-anak itu tanpa mempedulikan sebab dan punca perlakuan mereka. Sebaliknya cermin diri anda sebagai ibu bapa mereka terlebih dahulu.

Apakah perkara yang perlu dilakukan bagi membentuk peribadi yang elok dalam diri anak-anak.

Jadilah contoh yang terbaik

Anak-anak merupakan cerminan daripada perwatakan kita sebagai ibu bapa. Setiap perkara yang kita lakukan menjadi perhatian anak-anak tidak kira baik atau buruk.

Sama seperti kata pepatah “Bapa borek, anak rintik.”. Bayangkan kesannya jika secara percuma kita menengking perbuatan anak-anak yang makan sambil berdiri, sedangkan kita makan sambil berjalan dan bercakap-cakap. Ini yang dikatakan cakap tak serupa bikin. Jika orang luar berhadapan dengan anak kita, tentu mereka terus memberi cop negatif kepada kita sebagai ibu bapa.

Perlakuan anak-anak yang buas terhadap individu sekitarnya (secara berterusan) membayangkan kekurangan dalam kaedah pendidikan keibubapaan.

Mereka bukan semudah-mudahnya terus mengambil barangan hak orang lain, memukul, menipu dan membahayakan individu sekitarnya.

Sebagai ibu bapa, kita kerap menyalahkan anak-anak dan terus menghukum mereka. Sayangnya, masalah itu mungkin berpunca daripada kekurangan diri sendiri.

Mengawal intonasi suara

Intonasi suara terbit seiring rentak emosi. Jadi, ibu bapa perlu mengawal emosi walaupun ketika sedang marah. Kekalkan intonasi suara yang rendah dan tunjukkan rasa hormat.

Setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut anda juga tidak menyakitkan hati pendengar. Jika anda boleh menengking rakan anda sesuka hati, mengapa pula anak anda tidak dibenarkan berbahasa kesat? Fokus kepada kawalan emosi akan membantu anak anda memahami perlakuan yang baik.

Mempelajari adab sopan

Pastikan anak anda memulakan perkataan “tolong” ketika hendak meminta sesuatu perkara dan “terima kasih” jika dibantu. Tabiat murni sebegini akan membantu anak anda dalam jangka masa yang panjang.

Penuhi hatinya dengan kasih sayang

Elakkan dari berkata “Kan abah dah cakap tadi, padan muka.” Ketika anak-anak melakukan kesalahan. Menjatuhkan moral anak anda bukanlah jalan terbaik untuk memberi pengajaran dalam hidup anak-anak.

Sebagai kanak-kanak, mereka perlu sedar betapa pentingnya mereka dalam hidup kita sebagai ibu bapa.

Tunjukkan kasih sayang secara terang-terangan. Ucapan atau panggilan manja yang menyenangkan hati anak-anak dapat membuatkan mereka lebih seronok melakukan pekerjaan di rumah.

Jangan bersikap seperti anggota gerila tentera yang menyebabkan hubungan kasih sayang di antara bapa dan anak menjadi pasif.