5 Aktiviti Fonik Untuk Meningkatkan Kemahiran Membaca Anak

11986

Kaedah fonik merupakan satu kaedah untuk mengajar anak membaca. Apabila anak diajar membaca dengan kaedah fonik, kemahiran pertama yang perlu dikuasai ialah kebolehan untuk mengecam dan membunyikan bunyi-bunyi asas (phoneme) yang ada dan kebolehan untuk memadankan bunyi-bunyi asas tersebut kepada bentuk abjad (grapheme) yang betul.

Kebanyakkan tadika di Malaysia kini menggunakan kaedah fonik untuk mengajar kanak-kanak membaca. Alangkah baiknya jika ibu bapa dapat sama-sama berkongsi tanggungjawab mengajar anak membaca dan tidak menyerahkan tugas tersebut 100% kepada guru tadika anak anda. Oleh itu, anda boleh cuba aktiviti-aktiviti ini di rumah bagi mengukuhkan lagi kemahiran membaca anak anda. Perlu diingat juga bahawa kaedah fonik memberi penekanan kepada bunyi-bunyi asas dan bukannya nama abjad. Banyak video panduan cara menyebut bunyi-bunyi asas boleh didapatkan melalui Youtube.

Salur Abjad

Kredit gambar: livecrafteat.com

Barang yang diperlukan: Kertas keras saiz A5/A4, penebuk lubang, tali panjang/reben

Cara-cara: Cetak/tulis abjad pada kertas keras dan gunting mengikut bentuk abjad tersebut. Seeloknya mulakan dengan abjad kecil dahulu. Tebuk lubang-lubang kecil pada kad abjad. Berikan anak tali atau reben yang panjang dan minta dia menyalur pada kad tersebut. Bimbing anak supaya menyalur mengikut arah menulis. Apabila anak selesai, bimbing anak untuk menyebut bunyi kad yang telah disalurkan. Sekiranya anak menyalur kad abjad ‘s’, minta anak untuk menyebut ‘sss’ seperti ular yang mendesis. Ingat ya, sebut bunyi dan bukan nama abjad, ‘sss’ adalah bunyinya.

Abjad Duit Syiling

Barang yang diperlukan: 8 keping duit syiling atau objek lain seperti batu, bunga kecil, daun dan lain-lain.

Cara-cara: Apabila anda bunyikan huruf, minta anak untuk membuat bentuk huruf menggunakan duit syiling. Pastikan dia menggunakan kelapan-lapan duit syiling tersebut. Ulang aktiviti ini dengan bunyi-bunyi abjad yang lain.

Cap Jari Abjad

Kredit kredit gambar: happytoddlerplaytime.com

Barang yang diperlukan: Kertas lukisan, warna air

Cara-cara: Berikan anak kertas lukisan yang telah ditulis bentuk abjad. Minta anak meletakkan ibu jari  pada warna air dan capkan mengikut abjad pada kertas. Sambil membuat aktiviti, minta anak menyebut bunyi abjad tersebut.

Cari Kad Abjad Tersembunyi

Barang yang diperlukan: Kad pelbagai abjad

Cara-cara: Aktiviti seakan treasure hunt ini boleh dibuat di dalam atau di luar rumah. Sorokkan kad abjad di sekitar kawasan rumah. Bunyikan abjad dan minta anak mencari kad abjad berdasarkan bunyi yang disebut. Jika ada abang, kakak atau adik yang lebih kurang sebaya, boleh diajak untuk bermain bersama juga kerana persaingan menjadikan aktiviti ini lebih menarik. Pemenang adalah sesiapa yang berjaya mengumpul bilangan kad abjad yang paling banyak.

Cari Kad Yang Sama

Barang-barang: Kad abjad yang pelbagai (Pastikan ada dua kad bagi setiap abjad dan tidak semestinya perlu ada kesemua 26 abjad pada satu masa. Fokus pada beberapa abjad dahulu)

Cara-cara: Terbalikkan kesemua kad-kad abjad. Minta anak mengambil dua kad pada masa yang sama. Jika kedua-dua kad merupakan abjad yang sama, minta anak membunyikan. Jika bunyinya betul, anak boleh menyimpan kedua-dua kad tersebut. Jika kedua-dua kad merupakan abjad yang berbeza, anak perlu meletakkan semula kedua-dua kad tersebut. Teruskan permainan sehingga kesemua kad habis.

Kelima-lima aktiviti ini dapat meningkatkan kebolehan anak untuk mengecam dan membunyikan bunyi-bunyi asas. Melalui aktiviti-aktiviti ini, anak turut melatih kemahiran motor halus, koordinasi mata-tangan, kreativiti, sikap sabar dan pelbagai lagi. Selain aktiviti-aktiviti yang berunsurkan permainan ini, anda boleh juga menggabungkan elemen bernyanyi dan bercerita dalam pembelajaran di rumah. You are your child’s first teacher! Terapkan motto ini dalam diri dan pasti anda akan sama-sama teruja untuk mengajar anak anda.

Untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan bersama yang menarik dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, sila layari https://eniaga.awal.my/collections/bahan-bacaan