8 Tip Hebat Ajari Anak Urus Duit Sedari Kecil

1668

Saya percaya dalam keadaan ekonomi negara kita yang tidak menentu kini, tentu kita ada rasa kebimbangan tentang nasib anak-anak kita apabila mereka dewasa kelak. Jika mereka tidak dididik sedari kecil tentang kepentingan mengurus duit, pastinya mereka akan gagal menguruskan kewangan mereka apabila dewasa kelak. Akibatnya, mereka akan berasa amat perit dan terbeban dengan hutang dan keadaan kewangan mereka.

Kenalkan anak-anak akan kepentingan hidup bersederhana, membeli barangan keperluan dan bukan kehendak, menggunapakai barangan yang masih elok, dan berkreatif dalam menambah pendapatan. Pendek kata, mendidik anak menguruskan duit sedari kecil adalah panduan bermakna yang akan memberi anak pengalaman sebenar yang boleh diaplikasikan apabila dewasa kelak.

Wah! Nampak macam cita-cita yang terlalu tinggi. Bolehkah anak-anak kecil faham akan kepentingan pengurusan kewangan di atas? Mampukah kita membantu anak-anak untuk faham akan kepentingan nilai wang? Mampu atau tidak bergantung pada kesungguhan anda sebagai guru pertama yang mendidik anak supaya sedar akan kepentingan urus duit dengan bijak.

Anda boleh lakukan tip hebat ini seawalnya dan bergantung kepada kematangan anak-anak. Pepatah melayu mengatakan “Melentur buluh biar dari rebungnya”. Usaha membantu anak faham akan nilai wang dan urus duit bakal memberi pengalaman dan panduan bermakna yang akan membantu mereka apabila dewasa kelak.

Tip Hebat Urus Duit 1 – Satu tabung, satu anak

Pastikan setiap anak ada tabung simpanan masing-masing. Walaupun anak baru berusia seawal 3  atau 4 tahun dan mereka tidak memerlukan wang belanja ke taska atau  tadika kerana makanan anak-anak telah disediakan. Anda masih boleh memberi wang belanja sebanyak RM0.50  – RM1.00 setiap hari kepada mereka untuk mereka masukkan ke dalam tabung sebelum ke taska atau tadika.

Tindakan ini akan diikuti secara rutin dan akhirnya menjadi tabiat kekal sehingga mereka melangkah ke sekolah rendah dan seterusnya.

Tip Hebat Urus Duit 2 – Satu rumah satu tabung sedekah

Tidak rugi bagi mereka yang suka bersedekah. Amalan bersedekah mampu membantu melipatgandakan rezeki dan memberi kesedaran bermakna kepada anak-anak untuk hidup bersederhana dan suka memberi. Ingat! Keajaiban bersedekah telah dijanjikan Allah SWT.

Ajari anak untuk bersedekah dengan permulaan nilai yang kecil iaitu sebanyak  RM0.10 setiap hari. Bergantung pada jumlah wang saku yang anda berikan kepada anak-anak. Jika banyak wang saku yang diberi, ajari anak untuk tingkatkan nilai sedekahnya. Ingat! “The More You Give, The More You Get”.

Tip Hebat Urus Duit 3 – Sertai ekomoni keluarga

Jika anda benar-benar mahu anak faham tentang nilai wang dan berbelanja secara berhemah. Anda perlu izinkan anak-anak untuk turut serta dalam perancangan ekomoni keluarga. Lucu bila difikirkan tetapi teknik ini mampu memberi maklumat kepada anak-anak tentang barang-barang keperluan seperti  keperluan diri, makanan, bil-bil yang perlu dibayar dan sebagainya. Caranya, anda sediakan beberapa sampul surat dan tulis/lukis gambar barang keperluan. Contohnya: sampul makanan adalah duit untuk duit barangan dapur, sampul gambar rumah adalah duit untuk bayar elektrik, air, internet dan sebagainya, sampul kereta untuk bayar kereta, perjalanan dan sebagainya.

Beri anak-anak lihat bagaimana anda meletakkan duit di dalam sampul-sampul tersebut dan terbaik adalah tunjukkan kepada anak-anak baki yang ada dan anda boleh pesan kepada anak-anak untuk berjimat cermat dan bersederhana. Walaupun anak masih kecil dan anda rasa mereka tidak faham apa-apa. Mereka adalah pemerhati yang bijak dan setiap perkongsian anda akan kekal tersimpan dalam minda mereka.

Tip Hebat Urus Duit 4 – Jom membeli belah bersama-sama

Rancang masa yang sesuai untuk membeli belah bersama anak-anak. Ini bukan sahaja merapatkan hubungan kasih sayang tetapi juga memberi mereka ilmu dan panduan untuk membeli belah barang-barang keperluan yang penting. Berikan mereka tanggungjawab untuk mencari barang keperluan bersama-sama anda. Biarkan mereka mengambil sendiri barang tersebut (pastikan barang yang mudah dicapai) . Jika anak telah tahu mengira nilai wang, anda boleh minta anak membuat pembayaran di kaunter.

Terbaik adalah minta anak bayar untuk 1-2 barang dahulu. Selepas itu, boleh dinaikkan jumlah apabila anak semakin pandai mengira dan memahami nilai wang.

Jika anda punyai anak usia remaja atau dewasa,  berikan senarai barangan dan minta mereka bantu anda membeli barang keperluan dengan jumlah wang yang disediakan. Ini membantu mereka merancang dan memilih barang yang perlu.

Tip Hebat Urus Duit 5 – Buku akaun saya

Buka akaun simpanan untuk anak-anak. Bawa anak-anak ketika membuka akaun dan biar mereka bawa tabung dan sampul-sampul raya yang masih berisi wang untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan mereka.

Pamerkan buku akaun di dalam bilik mereka. Masukkan ke dalam fail poket yang lutsinar dan gantung di dalam bilik mereka. Izinkan mereka menyimpan wang ke dalam akaun bank mereka setiap bulan walaupun simpanan yang sedikit. Ini akan meningkatkan fokus, motivasi dan tabiat menyimpan yang baik sedari kecil.

Tip Hebat Urus Duit 6 – Tabung belanja

Jika anak anda ada kehendak selain yang disediakan seperti anak anda ingin membeli buku cerita, permainan baru, hadiah untuk ibu atau ayah atau makanan kesukaannya, anda boleh mulakan sampul tabung belanja. Anak boleh masukkan 20% dari jumlah wang saku anak ke dalam sampul ini. Setiap bulan anak boleh membeli barang keperluan yang anak mahu dengan menggunakan simpanannya sendiri.

Jika wang simpanan bulanannya tidak cukup. Anda boleh meminta anak meneruskan simpanan sehingga cukup. Anda tidak perlu menambah jumlah yang tidak cukup. Ajar anak untuk letak target menyimpan bagi mendapatkan barang yang diingini.

Sediakan carta berkotak yang mudah untuk anak faham sama ada wang yang disimpan cukup atau tidak. Ini memudahkan anak faham bahawa wangnya cukup atau tidak untuk membeli barang yang diingini.

Tip Hebat Urus Duit 7 – Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan

Tidak mengapa jika anak masih tidak pandai menguruskan wangnya. Tidak mengapa jika anak agak lambat faham bagaimana urus wang, dan tidak mengapa juga jika anak membuat kesilapan dalam menguruskan wangnya. Kesilapan adalah guru terbaik untuk anak belajar tentang nilai wang selain merancang dan membuat pilihan. Berikan tunjuk ajar dengan penuh kasih sayang , bersabar dan istiqamah dalam meneruskan aktiviti urus wang dengan bijak.

Anda pasti akan tersenyum melihat anak anda semakin positif dalam mengurus wangnya.

Tip Hebat Urus Duit 8 – Ajari anak berkreatif dalam menambah pendapatan

Suasana biasa yang anda pernah lihat adalah anak-anak orang cina biasanya membantu ahli keluarganya berniaga. Mereka telah didedahkan seawalnya untuk berdepan dengan pelanggan, melihat bagaimana urus niaga dijalankan dan sebagainya. Jika anda seorang peniaga atau usahawan, bawalah anak selalu ke kedai atau libatkan anak-anak seawalnya dalam aktiviti berniaga. Setiap jam bantuan mereka akan dibayar gaji. Wang gaji tersebut akan diberikan setiap bulan. Wang ini juga akan dimasukkan ke dalam tabungan simpanan dan belanja mereka.

Jika anda bukan peniaga atau usahawan tetapi anda punyai hobi yang kreatif, anda boleh usahakan hobi tersebut bersama anak-anak dan setiap kali anda berjaya menyempurnakan hobi tersebut. Anda boleh membayar sedikit habuan wang kepada anak-anak sebagai hadiah motivasi membantu anda menyelesaikan hobi kreatif anda.

Selain itu, anda boleh membeli barang-barang murah dari kilang. Contoh barangan murah dan berguna di pasar borong dan cuba minta anak-anak menjual 2 -3 barang dahulu di sekolah. Aktiviti ini bukan untuk menjana pendapatan tetapi untuk memberi pengalaman berharga kepada anak-anak. Contoh paling mudah adalah: Menjual kekacang atau kerepek yang dibungkus dalam pek-pek kecil, menjual pen atau pensel cantik, menjual stickers dan sebagainya.

Jika anak anda sukar menjual di sekolah. Anda boleh rancang satu aktiviti menjual. Rancang bersama anak-anak dan dapatkan pengalaman berniaga secara kecil-kecilan. Usaha anda yang bersungguh-sungguh akan menjadi pengalaman berharga yang terindah kepada anak-anak walaupun agak mencabar dan memenatkan.

Sepastinya, usaha anda dalam memberi pengalaman berharga kepada anak-anak, meningkatkan kesedaran dan menjadikan sikap urus duit dengan bijak sedari kecil tidak akan sia-sia. Hasilnya, anak anda akan lebih memahami situasi kewangan keluarga, mereka lebih bijak urus duit sendiri dan punyai sikap yang positif.

Semoga tip di atas membantu anda dan anak-anak.

Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.