Interaksi Menggunakan Istilah Matematik

2520

Setiap kali kanak-kanak diperkenalkan atau menggunakan sesuatu konsep Matematik, mereka sebenarnya sedang membentuk proses-proses konseptual mereka sendiri dan memahami tentang perhubungan Matematik. Kita tidak boleh membina konsep dan perhubungan tersebut bagi pihak mereka. Juga, kita tidak mungkin dapat memikirkan satu strategi untuk berjaya memahami dan mempelajari konsep dan istilah Matematik untuk setiap kanak-kanak. Mereka perlulah membentuk konsep-konsep dan perhubungan-perhubungan ini dalam minda mereka sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Berilah mereka sebanyak mungkin pengalaman yang berlainan dan pelbagai, sambil turut menekankan penggunaan istilah yang betul untuk menerangkan sesuatu proses. Untuk kanak-kanak kecil, Matematik perlulah dipelajari menerusi pemanipulasian objek-objek sebenar dalam persekitaran eksperimen.

Jika mereka perlu mengetahui sesuatu bahasa Matematik, ibu bapa atau guru mestilah menggunakan bahasa tersebut semasa aktiviti bersama-sama kanak-kanak itu. Dengan berbuat demikian, anda telah memberikan kanak-kanak satu cara untuk mengekspresikan apa yang telah mereka pelajari. Boleh dikatakan, perkataan atau ungkapan yang baru dipelajari ini memberikan kanak-kanak itu ‘satu kelebihan’?

Tip-tip Pengajaran Istilah:

1. Cara terbaik untuk memperkenalkan istilah-istilah baru adalah semasa melakukan aktiviti. Ulangilah istilah-istilah Matematik dalam konteksnya sekerap mungkin sepanjang tempoh pembelajaran.
2. Dengarkan kanak-kanak menggunakan istilah-istilah tadi untuk menerangkan mengenai perbuatan-perbuatan mereka semasa aktiviti berlangsung.
3. Dengarkan mereka menggunakan istilah-istilah tersebut semasa aktiviti-aktiviti yang lain.
4. Selepas beberapa hari, tinjaulah kembali penggunaan istilah-istilah tersebut dalam konteks yang sama atau lebih kurang sama.
5. Kemudian, ulangi atau kembangkan aktiviti tadi, dengan menggunakan istilah-istilah yang telah dipelajari sebelumnya dalam konteks yang sama sekali lagi.

Artikel ini merupakan petikan daripada buku Matematik Prasekolah: Permainan Dan Aktiviti Siri 1 oleh Bob Williams, Debra Cunningham & Joy Lubawy.

BUKU BERKAITAN:

Zairani A. Hamid
Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.