Adakah Anak Anda Diberi Ubat dengan Cara yang Betul?

2317

APA ITU UBAT?

Ubat adalah bahan kimia yang digunakan untuk rawatan, pencegahan dan diagnosis penyakit. Terdapat banyak jenis ubat-ubatan yang boleh didapati di hospital, klinik, kedai farmasi dan pasar raya. Sekiranya ubat diguna seperti diarahkan, ini dapat merawat atau mengawal penyakit anda.  Sumber daripada kajian-kajian yang telah dijalankan menunjukkan hampir 50% daripada pesakit tidak mengambil ubat dengan betul.

BETULKAH CARA ANDA MEMBERI UBAT KEPADA ANAK-ANAK?

Ubat yang tidak diambil dengan betul boleh menyebabkan beberapa masalah seperti tidak mendapat kesan ubat yang optimum, kegagalan rawatan, mendapat kesan sampingan dan boleh juga menyebabkan kerintangan ubat (resistance). Justeru, menjadi kewajipan bagi ibu bapa memahami arahan pengambilan ubat yang ditulis pada label ubat. Antara arahan pengambilan ubat yang sering menjadi kekeliruan ialah:

1. Ambil ubat sebelum makan

Sesetengah dari kita memahami arahan ini bermaksud ubat perlu diambil sejurus sebelum makan. Pemahaman ini adalah tidak betul sama sekali. Arahan ini bermaksud, ubat tersebut perlu diambil ½ jam sebelum makan. Di antara sebab ubatan perlu diambil sebelum makan ialah untuk meningkatkan penyerapan ubat tersebut dan untuk mengelakkan interaksi ubat dengan makanan.

2. Ambil ubat selepas makan

Pada kebiasaannya, arahan ini difahami dengan betul oleh ibu bapa. Ya, ubat diberi sejurus selepas anak-anak mengambil makanan. Ubat tahan sakit sebagai contoh, perlu diambil selepas makan untuk mengelakkan kesan samping ubat tersebut seperti gastrik atau pedih ulu hati.

3. Makan ubat sehingga habis

Terdapat sesetengah ubat perlu dihabiskan untuk suatu jangka masa seperti ubat antibiotik, antiviral dan antifungal. Makan ubat sehingga habis bermaksud ubat tersebut perlu diambil dalam jangka masa tertentu, bukan bererti perlu dihabiskan. Sebagai contoh, ubat antibiotik perlu diambil sebanyak 5ml, 3 kali sehari, untuk 7 hari. Ini bermaksud, ubat yang diperlukan untuk seminggu ialah sebanyak 105ml. Ibu bapa hendaklah memastikan ubat yang dibekalkan adalah mencukupi iaitu sebanyak 105ml. Ibu bapa harus peka, kerana dikhuatiri ubat yang dibekalkan adalah tidak mencukupi.

Mengapa ubat ini perlu dihabiskan dalam jangka masa tertentu? Perkara yang sering berlaku ialah simptom penyakit telah tiada sebelum sampai tempoh tersebut, dan ini menyebabkan ramai yang berhenti mengambil ubat sebelum cukup tempoh. Ini merupakan tindakan yang salah kerana kajian telah mendapati sesetengah bakteria, virus atau kulat hanya akan betul-betul mati selepas pengambilan ubat untuk jangka masa tertentu. Tindakan memberhentikan ubat antibiotik, antiviral dan antifungal sebelum cukup tempoh boleh menyebabkan kerintangan ubat (resistance) yang amat berbahaya. Ini bermakna ubat tersebut tidak lagi berkesan sekiranya penyakit berulang.

DIMANAKAH ANDA MENYIMPAN UBAT?

Di samping kesilapan pengambilan ubat, didapati ubat juga tidak berkesan sekiranya ia disimpan di tempat yang tidak betul. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa penyimpanan ubat yang betul amat penting untuk menjamin kualiti dan ciri-ciri terapeutik sesuatu ubat.

Oleh itu, panduan untuk menyimpan ubat ini amat berguna untuk anda:
  • Simpan ubat di tempat yang dikhaskan di rumah anda.
  • Jangan campur ubat yang berlainan dalam bekas yang sama.
  • Sebaiknya simpan ubat di tempat yang sejuk dan kering (suhu bilik).
  • Ubat makan perlu diasingkan daripada ubat untuk kegunaan luar.
  • Ubat yang telah luput tarikh atau telah dihentikan oleh doktor sepatutnya dibuang.
  • Pastikan ubat anda disimpan di tempat yang tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak.
  • Jika ubat tidak disimpan dalam bekas asalnya, pastikan ia dilabel dengan baik. Contohnya untuk siapa, nama ubat, dos, kekerapan dan tarikh luput.

Ibu bapa boleh merujuk bungkusan ubat atau label ubat untuk menyemak cara penyimpanan setiap ubat. Semoga tip-tip ini boleh dimanfaatkan!