Kewajipan Mengajar Anak Adab & Sopan Santun

8845

Salah satu kewajiban ibu bapa dalam mendidik anak adalah dengan mengajari adab dan sopan santun sejak kecil. Mengapa sejak kecil? Ini kerana adab dan sopan santun adalah sikap yang harus dibentuk dan dibiasakan sejak kecil, di mana anak masih dapat kita bentuk menjadi peribadi yang berakhlak baik dan berbudi pekerti. Bak kata pepatah “melentur buluh biar dari rebungnya”.

Sesuatu yang dibiasakan sejak kecil, akan lebih mudah tertanam kuat dalam diri seorang anak. Apabila sudah besar baru hendak diajar maka amatlah sukar kerana mereka telah biasa hidup tanpa adab. Keteladanan ibu bapa adalah kuncinya. Anak-anak tidak akan belajar kecuali dari apa yang mereka lihat dan mereka dengar daripada ibu bapa mereka. Mereka menyerap setiap kata yang kita ucapkan. Mereka meniru setiap perbuatan yang kita lakukan. Bagaimana mereka terbentuk adalah cerminan dari perbuatan kita sendiri.

Dua Adab Penting Yang Mesti di Terapkan Sejak Kecil:

  1. Adab Sopan Santun
  2. Adab Ketika Makan

Adab Sopan Santun

Sopan santun bermula daripada tiga dasar adab iaitu berterima kasih, tolong-menolong dan bermaaf-maafan. Apabila tiga dasar ini telah berjaya diamalkan oleh anak-anak, maka akan lebih mudah untuk menerapkan nilai-nilai lain pada anak-anak.

  1. Contohnya, biasakan di rumah jika meminta sesuatu pada anak ibu bapa akan menggunakan perkataan “tolong”. Jika melakukan salah, kecil atau besar, sengaja ataupun tidak, gunakanlah perkataan “maaf”. Jangan lupa gunakan kata “terima kasih” jika anak melakukan sesuatu yang baik terhadap kita. Mudah bukan, tiga dasar ini bukan hanya nampak mudah malah ia adalah sangat berpengaruh bagi anak anda. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun adalah sangat mudah mencerap atau mengulang pakai bahasa yang digunapakai oleh ibu bapa mereka.
  1. Bercakap yang baik-baik adalah contoh terbaik buat anak belajar adab ketika bercakap. Contohnya mengucapkan “Assalamualaikum” ketika masuk atau keluar rumah. Mengucapkan “Tolong” bila meminta bantuan. Mengucapkan “Terima Kasih” setelah diberi bantuan.
  1. Ajarkan anak untuk tidak suka meminta-minta pada kawan-kawan lain, tapi MENDORONG mereka untuk suka memberi dan berkongsi dengan kawan-kawan lain. Bila anak diajar untuk suka berkongsi sejak kecil, mereka akan belajar erti tolong-menolong.
  1. Ajarkan kejujuran, dan jangan mudah berbohong pada anak walaupun dengan berdalih atau berbohong demi kebaikan. Bahkan pembohongan kecil seperti menjanjikan sesuatu yang tidak akan pernah anda tunaikan, atau berbohong untuk mengalihkan perhatiannya, itu pun seharusnya dihindari.
  1. Berhati-hati dengan siapa kita berkawan dan siapa yang kita bawa masuk ke rumah kita. Cara kita bergaul, cara kita bercakap, cara kita bergurau, cara kita berkawan, akan sentiasa diperhati, didengari dan diikuti oleh anak-anak kita.
  1. Latih sikap sopan santun anak-anak dengan cara bermain peranan bersama anak. Anak-anak kecil biasanya akan suka bermain peranan bersama teman sebayanya. Lihat sahaja bagaimana mereka bermain masak-masak, polis dan penjahat, Ultraman dan raksasa dan sebagainya. Apa yang ibu bapa boleh buat adalah sesekali bermain bersama anak-anak dan ambil peranan di dalam permainan tersebut dan dari situ ibu bapa boleh bermain sambil bercerita tentang adab sopan santun ini. Belajar sambil bermain adalah cara terbaik kanak-kanak kecil mencerap ilmu. Libatkan diri anda dan gunakan kesempatan ini untuk melatih adab sopan santun mereka. Contoh lain, bermain peranan sebagai tetamu dan tuan rumah secara bergilir-gilir dengan anak, ajarkan cara menjadi tetamu yang beradab, ajarkan juga anak cara menjadi tuan rumah yang baik.
  1. Gunakan bahan bacaan sebagai ruang pembelajaran adab. Ada dua perkara yang tidak akan ditolak oleh kanak-kanak kecil iaitu cerita dan lagu. Pilih buku-buku cerita yang baik untuk diceritakan pada kanak-kanak dan didik adab mereka melalui cerita mahupun lirik lagu yang kita baca atau nyanyikan kepada mereka.

Adab Makan

Islam telah lengkap mengajarkan kita segala hal dari hal kecil yang kita lakukan sehari-hari seperti makan minum hingga hal yang lebih besar seperti tatacara melakukan ibadah. Jika kita lihat, Rasulullah sangat menitikberatkan soal adab-adab ketika makan. Antara perkara-perkara yang perlu dititikberatkan kepada anak-anak kecil adalah:

  1. Ajari anak untuk makan dengan tangan kanan ketika mereka telah boleh memegang makanan sendiri. Beritahu kepada anak-anak kenapa perlunya menggunakan tangan kanan. Fahamkan mereka sejak kecil agar mereka tahu bagaimana cara memegang makanan dengan cara yang betul.

“Wahai anak muda, sebutlah nama Allah (bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari apa-apa yang dekat denganmu.” [HR al-Bukhari No. 5376]

  1. Selalu ingatkan agar mengucapkan “Bismillah” setiap kali mereka hendak makan, dan mengucapkan “Alhamdulillah” setelah selesai makan. Sebab itulah kita sangat disarankan makan bersama anak-anak kerana dengan cara makan bersama-sama kita dapat tunjukkan cara yang betul dan menjadi contoh terbaik pada anak-anak. Minta anak-anak bacakan doa sebelum dan selepas makan. Apabila anak-anak sudah terbiasa maka ini akan jadi tabiat mereka setiap hari dan InsyaAllah sampai bila-bila.
  1. Tanamkan padanya bahawa adab makan yang baik adalah dengan cara duduk dan bukan berdiri.
  1. Mencuci kedua-dua tangan, jika kotor atau tidak yakin akan kebersihannya. Ini adalah amalan yang penting. Adab makan yang betul adalah dengan menggunakan anggota yang bersih.
  1. Tanamkan pada mereka penghargaan terhadap makanan, yakni tidak mencela makanan yang tidak mereka sukai, dan akan makan apa adanya tanpa memilih-milih sesuai dengan apa yang mereka mahu sahaja.
  1. Membersihkan tempat makan. Ajarkan pada anak-anak untuk membersihkan tempat makan daripada sisa-sisa makanan yang terjatuh diatas meja.

Dua jenis adab ini adalah asas kepada terbentuknya adab-adab yang lain. Latih dan ajarlah anak-anak kecil kita menjadi anak-anak yang beradab walau di mana sahaja mereka berada. Anak-anak adalah cerminan kepada ibu bapa mereka. Baik atau buruknya adab anak-anak kita adalah natijah daripada cara kita mendidik mereka.