5 Ciri Pusat Penjagaan Berkualiti

9084

Dewasa ini di dada akhbar sering memaparkan pelbagai isu berkaitan pusat penjagaan. Kebimbangan para ibu bapa memuncak apabila terdapatnya pusat penjagaan yang tidak mementingkan kualiti penjagaan sehingga membawa kemalangan, kecederaan malahan maut. Perkara ini lebih menyentuh emosi apabila pihak pusat penjagaan seakan tidak mahu bertanggungjawab dan lepas tangan apabila sesuatu perkara buruk terjadi kepada anak-anak di pusat jagaannya.

Terdapat lima ciri-ciri pusat penjagaan yang boleh dijadikan sebagai garis panduan para ibu bapa dalam memilih pusat penjagaan yang berkualiti:

  1. Penjagaan kebersihan perkakas atau perlatan yang digunakan seperti tidak mencampurkan dan perlu diasingkan misalnya penggunaan botol susu, bekas makanan, pakaian juga alatan permainan dibasuh dan dibersihkan mengikut keperluan. Ini dapat menghindarkan kanak-kanak dari jangkitan penyakit.
  1. Faktor keselamatan termasuklah keselamatan premis di dalam dan luar bangunan. Keselamatan juga merujuk kepada memenuhi keperluan asas kanak-kanak. Selain itu, keselamatan perlu dengan menyediakan persekitaran fizikal yang membantu dalam proses perkembangan kanak-kanak, ruang yang ceria dan menyeronokkan selain mempunyai sistem pengudaraan dan pencahayaan yang baik.
  1. Mempunyai jadual dan mampu menyediakan aktiviti yang melibatkan rutin harian. Pusat penjagaan yang berkualiti akan menyediakan aktiviti yang mampu mendidik kanak-kanak untuk berdikari sesuai mengikut umur mereka. Ini sebagai persediaan mereka di masa akan datang.
  1. Adanya penglibatan aktif ibu bapa. Sekiranya hasil dari pemerhatian mendapati anak-anak berkembang dengan sepenuhnya, maka ibu bapa telah berhasil mendapat pusat penjagaan yang berkualiti. Perkembangan anak yang positif juga banyak dibantu oleh kehadiran kakitangan pusat penjagaan yang berkelayakan dan berpengalaman dalam mengendalikan kanak-kanak. Ini akan meningkatkan lagi kepercayaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pusat penjagaan tersebut.
  1. Menyediakan kemudahan atau perkhidmatan lain yang mampu ditawarkan seperti perkhidmatan penjagaan lebih masa, penjagaan pada hari Sabtu dan Ahad, pakej bayaran yang jelas, kemudahan lain seperti kamera litar tertutup, kelas membaca Al-Quran juga program-program pendidikan luar. Ini akan meningkatkan lagi potensi kanak-kanak di tahap maksimum.

Oleh itu, jelaslah bahawa pemilihan pusat penjagaan yang berkualiti bagi merangsang perkembangan pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat penting. Walaubagaimana pun, ia terpulang kepada ibu bapa untuk memilih yang terbaik untuk anak mereka.