Seni dan Perkembangan Kognitif Anak-anak

4054

Dewasa ini, ibu bapa lebih cenderung untuk memberikan anak menggunakan gajet dan pelbagai aplikasi pintar berbanding pena berbulu dan kertas A3 dalam usaha melatih kemahiran seni visual.

Tidak dinafikan aplikasi seperti Kids Doodle dan Coloring Book memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka dunia seni yang seakan-akan tidak ada sempadannya.

Dengan hanya menolak jari telunjuk di muka tablet, kanak-kanak mampu mencerminkan idea seni mereka. Namun, adakah ini pengertian seni yang sebenar?

Dalam kemajuan yang tercetus, adakah seni lukisan mendapat tempat lagi dalam pembangunan seni kanak-kanak?

Luigi Moro, seorang pakar pelatih visual di University of Applied Sciences and Arts of Southern Switzerland (SUPSI) tidak sesekali meragui hakikat kemerosotan karya seni sebenar berbanding rekaan visual berteraskan komputer.

Katanya lagi, kepentingan mengajar seni lukis tidak sepatutnya berkurang biarpun pada era digital.

Moro juga percaya bahawa latihan visual membantu dalam pembangunan intelektual dan kemahiran memilih dan menajamkan nilai estetika dan deria seni seseorang.

Karya seni yang diperoleh hasil daripada penggunaan tangan boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk objek yang mempunyai pelbagai potensi dan digembeleng melalui kesungguhan yang padu.

Kanak-kanak pasti akan gembira jika mereka berupaya melukis atau membuat arca menggunakan kedua-dua tangannya.

Disebabkan itu, para guru dan ibu bapa perlu menyediakan keperluan yang sewajarnya termasuklah ruangan yang selesa agar pembelajaran seni berlaku dengan kadar sempurna.

Secara tidak langsung, aktiviti seni yang dilakukan bersama boleh mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

Kesimpulannya, kanak-kanak perlu dididik bahawa kemahiran seni visual itu berbeza berbanding lambakan gajet teknologi yang telah sedia ada di pasaran.

Setiap satunya membangunkan kaedah yang berbeza termasuklah pembawaan nilai estetika terhadap subjek yang dihasilkan kelak.