Disiplin di Usia Tadika?

2114

Sudah menjadi kebiasaan untuk kanak-kanak berkelakuan nakal, melakukan kesalahan dan kadang-kadang membuatkan anda meradang.

Semua itu mungkin terjadi tanpa anak itu sedari bahawa perkara yang dilakukannya itu salah. Biarpun begitu, ibu bapa tidak sepatutnya membiarkan anak-anak bertindak nakal tanpa ditegur.

Namun, jika teguran juga tidak mencukupi, apa pula yang sewajarnya dilakukan oleh anda sebagai ibu bapa?

Kanak-kanak yang melakukan kesalahan biasanya tidak memahami kesalahan yang dilakukannya. Jadi, ibu bapa bertanggungjawab untuk menceritakan kepada anak-anak mengenai kesilapan yang dilakukan.

Apa yang lebih penting adalah setiap teguran yang disampaikan kepadanya adalah bersebab. Ini akan membuatkan anak-anak memahaminya.

Ibu bapa boleh menghukum anak-anak dengan hukuman yang bersesuaian dengan masalah yang ditimbulkan oleh mereka.

Namun begitu hukuman yang dikenakan perlulah setimpal dan bersesuaian dengan umur mereka. Tetapi adakah hukuman perkara terbaik yang anda boleh lakukan?

Dapatkah ia menjadi penyelesaian kepada masalah?

Apa yang lebih bagus adalah dengan menunjukkan teladan yang baik kepada anak anda. Jika anda mampu mengawal emosi ketika berbual dengan anak anda, itu akan menjadikan anak anda lebih tenang ketika dinasihati.

Fikiran yang tenang akan membolehkan anak anda menerima nasihat dengan baik dan terbuka.

Mengasingkan anak anda di biliknya mungkin akan menenangkan diri anda dan anak. Tapi tidak perlulah terlalu lama.

Objektif mengurung anak anda bukanlah untuk menghalangnya untuk mencapai apa sahaja sumber hiburan yang menggembirakannya tetapi untuk menjauhkan dirinya daripada anda dan perkara salah yang dilakukan sebelum ini.

Tempoh kurungan yang baik boleh dikira mengikut usianya. Tiga minit untuk anak anda yang berusia tiga tahun.

Berbicaralah dengan fikiran tenang dan hati yang boleh dikawal dan sentiasa berfikiran positif. Cermin perlakuan diri sebelum terus menghukum anak anda dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.