Jom Kenali Anak Kita: Mama Jangan Hukum Adik

2078

1. Apabila kita dihukum atas kesilapan yang dibuat, kesannya kita tidak akan berani mencuba.

2. Satu kesilapan yang kita lakukan bermakna satu pelajaran baru bagi kita. Anak akan lebih selesa belajar membaca apabila kita tidak menghukum untuk setiap kesilapannya.

3. Saya ingat orang dulu-dulu pantang anaknya buat silap. Walaupun silapnya sedikit sahaja tetapi hukumannya amat menggerunkan sehingga si anak taubat tidak buat lagi. Kalau tersilap juga, akan cuba di’tutup’ seberapa boleh. Cuai, bingai, leka… itulah tuduhan yang dilemparkan walaupun ia tidak disengajakan ataupun ada masanya tidak dapat dielakkan.

Saya teringat akan bekas jiran saya, bergelar seorang ustaz kerana setiap hari kedengaran mengajar anak-anaknya mengaji. Kebiasaannya, ustaz akan membaca satu ayat dahulu dan diikuti oleh anak-anaknya seorang demi seorang. Dan apabila ada yang terbaca salah, akan kedengaranlah komen-komen yang kurang sedap didengar daripada si ayah ini.

“Ni ingat baca Quran ke baca apa? Melantak (makan) saja pandai, baca Quran pun tak reti.”

Biasanya kita akan kelihatan ‘bodoh’ bila melakukan kesilapan. Justeru itu, kita akan berasa takut (fobia) untuk melakukan kesilapan. Dan kita juga tidak berani mencuba semata-mata untuk mengelakkan diri dari melakukan kesilapan. Rasa rendah diri akan sentiasa menyelubungi diri dan jadilah kita seorang insan yang ‘gabra’. Kesilapan dan pengalaman adalah guru yang paling praktikal.

Sebenarnya kita belajar melalui kesilapan. Biasa kita dengar, ‘belajar melalui kesilapan, belajar daripada pengalaman’. Tetapi bila anak buat kesilapan dalam bacaan, kita tidak bagi peluang langsung. Terus-terus kita sudah keluarkan cap mohor kepada anak; leka, lambat, cuai. Apatah lagi kalau sudah berkali-kali silap, kita pun memarahinya tak kira depan siapa. Anak kita akan terasa bodoh, malu, rendah diri dan serik. Sekali dua, boleh tahan lagi. Tetapi kalau sudah setiap kali membaca begitu akhirnya, dia akan putus asa.

Cuba perhatikan kesan setiap kali kita mengajar. Sekiranya kita sulami dengan pujian dan kata-kata perangsang sepanjang kita mengajar, si kecil akan bersemangat untuk belajar lagi. Berbeza jika kita sulami dengan kata-kata negatif, kita perhatikan anak kita akan cuba mengelak setiap kali dipanggil untuk duduk membaca. Tiada siapa mahu kelihatan bodoh, dimalukan, direndah-rendahkan. Dia sebenarnya hendak menjaga saki-baki maruahnya yang masih ada. Ingat, anak kecil pun ada rasa harga diri.

Zairani A. Hamid
Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.