4 Cara Cetus Rasa Ingin Tahu Si Kecil

4373

Pada peringkat usia anak 3 hingga 4 tahun, ibu bapa pasti sering diasak dengan pelbagai soalan ingin tahu daripada si kecil. Ada masanya pasti anda buntu untuk menjawab, mahu marah atau ketawa mendengar soalan yang diajukan. Walau apa pun yang anda rasakan, inilah antara proses perkembangan anak yang baik untuk otaknya. Apabila anak bertanya, mereka mengambil peranan aktif dalam pembelajaran sendiri.

Bertanya merupakan satu bentuk komunikasi. Amat penting bagi ibu bapa untuk menjawab setiap soalan daripada anak dengan sebaik-baiknya kerana setiap soalan adalah peluang untuknya berfikir selain jawapan daripada ibu bapa dapat menyelesaikan masalahnya.

Soalan boleh tercetus daripada anak misalnya apabila melihat sesuatu objek atau individu yang menarik minatnya atau soalan juga boleh dicipta oleh ibu bapa. Justeru, berikut adalah empat perkara yang boleh ibu bapa lakukan bersama anak bagi mencetus rasa ingin tahu si kecil.

1. Banyakkan bertanya soalan.

Maksudnya ibu bapa sendiri yang membangkitkan persoalan seterusnya anak akan mula berfikir dan ingin mengetahui lebih lagi dengan pelbagai lagi bentuk soalan. Jangan dihadkan kepada soalan-soalan yang berbentuk close-ended kerana jawapan yang diberikan anak pasti terhad sebaliknya cetus kemahiran komunikasi dan kemahiran berfikirnya dengan soalan-soalan yang memberi peluang kepada anak untuk meluahkan pendapat secara bebas.

2. Objek atau barangan yang menarik!

Objek atau barangan seperti educational toys, buku bergambar dan pelbagai lagi mampu menarik minat anak untuk meneroka dan belajar tentang perkara-perkara baharu. Dengan menggunakan bahan-bahan ini, anda sudah mencipta satu situasi bagi mengembangkan kemahiran komunikasi anak. Tapi ingat! Jangan hanya memberi dan membiarkan anak meneroka sendiri. Pastikan anda juga sama-sama meneroka objek atau barangan yang diberikan dan sentiasa bertanyakan soalan dan pendapat si kecil berkenaan objek atau barangan tersebut.

3. Jom baca bersama.

Dengan membaca, ibu bapa boleh berkongsi banyak idea dan peluang bertanya soalan tentang isi kandungan buku yang dibaca. Pastikan buku yang dibaca sesuai dengan tahap pemahaman anak-anak.

4. Aktiviti-aktiviti mudah dan menyeronokkan.

Lakukan aktiviti yang menggalakkan kanak-kanak berfikir dan aktiviti yang menghasilkan banyak soalan bagaimana, apa, kenapa, boleh ke dan lain-lain lagi. Antara contoh aktiviti yang memberikan kanak-kanak peluang untuk berfikir dan meneroka lalu mencetuskan soalan adalah bermain pasir, bermain air dan menghasilkan kraf.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa bersama anak. Apa sahaja persoalan yang ditanya oleh anak, ibu bapa haruslah cuba untuk memberikan jawapan yang terbaik kerana ia penting bagi perkembangan otak si kecil. Selamat bertanya dan selamat menjawab wahai ibu bapa. 

Monalisa Harun Chong
Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.