Kukuhkan Kemahiran Menulis Anak

2225

Bagi anak-anak tadika yang baru mula hendak belajar menulis, biasanya guru-guru akan meminta ibu bapa untuk membelikan buku-buku kerja yang ada banyak latihan menyambung titik-titik membentuk huruf.

Dan anak itu akan menyambung bentuk huruf demi huruf hingga akhirnya dia boleh membentuk huruf dengan sendirinya tanpa bantuan titik-titik tersebut.

Sekiranya habis sudah titik-titik di dalam buku disambung, tetapi anak masih belum boleh membentuk huruf dengan baik, guru sendiri akan membuatkan titik-titik untuk disambung di dalam buku tulis. Memang ia kerja yang memenatkan. Tapi begitulah pengorbanan guru-guru untuk anak-anak didiknya.

Sebaik-baiknya ibu bapa membantu dari usia anak itu kecil lagi. Biasakan anak dengan alat tulis. Janganlah kerana sayangkan dinding maka anak itu dihalang daripada menikmati penggunaan pensel, krayon, pensel warna dan sebagainya.

Adakalanya anak tidak tahu nak menconteng di mana dengan pensel yang baru dia dapat. Kita pun tidak lah pula nak menyediakan kertas untuk menconteng.

Maka tempat yang paling senang ialah dinding. Disiplinkanlah anak untuk tidak menconteng dinding. Begitu juga dengan peralatan yang lain seperti gunting. Gunting memang tajam tapi ada gunting khas untuk anak-anak, yang tidak berbahaya.

Anak perlu dibiasakan menggunakan gunting. Tak nak jadi seperti bekas anak murid saya yang berusia 6 tahun. Masa tu, guru telah sediakan semua peralatan alat tulis untuk setiap pelajar. Dan anak murid saya ni datang dekat saya, membawa gunting yang saya baru berikan.

“Cikgu, gunting ni tak boleh pakai,” katanya dengan ‘that innocent look‘ di mukanya.
“Ya ke. Takpe mari cikgu tengok.”

Dan saya cuba gunting… elok, tajam! Kasihan saya melihatnya. Bukan saja menggunting. Dari awal lagi, biasakan anak-anak melukis, mewarna, menconteng, menggunakan gam… itu yang direct dengan kemahiran menulis.

Yang tidak direct tetapi memberikan kesan besar kepada motor halus anak-anak ialah seperti bermain plastisin, tolong emak menguli tepung, mengoyak kertas, bermain celup span dalam air (tak ada air pun tak mengapa), bermain lego… dan lebih jauh lagi mengikat tali kasut, memasang butang baju, memakai seluar, menyikat rambut dan apa saja aktiviti yang menggunakan jari-jemarinya.

Mungkin kita rasakan, apalah emak kalau anak terpaksa memakai baju sendiri. Apa yang saya nampak ialah, pertamanya kita malas nak menunggu anak terkial-kial memakai kasut atau baju. Keduanya, kita suka nak memanjakan anak. Nak memanjakan anak, berpada-padalah.

Tapi yang pasti, anak yang sudah biasa menconteng, melukis, menggunakan pensel, gunting, krayon dan sebagainya lebih mudah untuk menulis membentuk huruf-huruf.

Zairani A. Hamid
Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.