Melatih Kemahiran Matematik di Usia Prasekolah

11032

Memperkenalkan Matematik kepada kanak-kanak adalah satu perkara yang boleh dilakukan seawal usia prasekolah. Umumnya, kanak-kanak memang telah didedahkan kepada pengajaran Matematik secara tidak langsung. Matematik sememangnya terjadi di dalam kehidupan seharian mereka serta persekitaran yang mereka lalui. Oleh itu, apakah aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak anda di dalam usaha menggalakkan perkembangan minda mereka dalam bidang Matematik?

Asas pertama pada kemahiran matematik ialah mengira. Terdapat banyak permainan Matematik yang boleh menarik minat kanak-kanak. Menggunakan dadu dan bermain permainan papan merupakan antara aktiviti yang boleh membantu anak-anak untuk mengira. Selain itu, perkembangan sosial mereka dapat dipertingkatkan hasil daripada pergaulan mereka dengan kanak-kanak lain.

Jika dilihat lambakan permainan kad yang ada pada hari ini, kita akan berasa sukar untuk memilih permainan mana yang bersesuaian dengan anak kesayangan kita. Untuk langkah pertama, biarkan anak anda yang memilih permainan kad yang digemarinya. Kebanyakan kanak-kanak menggemari permainan UNO, termasuklah orang dewasa. Sebagai ibu bapa yang prihatin, anda boleh meluangkan masa dengan anak anda dengan bermain bersamanya.

Selain itu, anak anda juga perlu mengetahui pemilihan nombor yang tepat. Permainan yang boleh digunakan untuk memastikan anak anda mengenali nombor atau bentuk adalah dengan membeli permainan puzzle nombor yang diperbuat daripada polisterin. Tanggalkan setiap nombor dari tempatnya dan letakkannya pada suatu tempat. Anda boleh menyuruh si manja anda menyusun semula setiap nombor yang ada atau meletakkan nombor pada ruangan kosong yang ada. Kaedah ini akan menggalakkan anak-anak untuk mengetahui ruang dan meningkatkan kemahiran mengukur.

Permainan tradisional seperti guli juga boleh membantu kanak-kanak dalam melatih kemahiran mengira di samping meningkatkan kadar tumpuan. Susun guli di atas tanah. Kemudian, berikan si manja anda jumlah guli yang sama dengan jumlah yang terdapat pada anda. Lempar guli agar mengenai guli di dalam kawasan tanah sehingga semua guli terkeluar dari garisan yang dibuat. Anak anda boleh mengira setiap guli yang diperolehinya.

Jika si manja kurang berminat untuk mempelajari Matematik dengan menggunakan permainan tradisional, anda boleh sahaja melatih kemahiran Matematik mereka dengan menggunakan aplikasi di telefon pintar. Pada masa kini, pelbagai aplikasi pendidikan yang menjurus kepada Matematik boleh dimuat turun dengan mudah. Antara aplikasi Matematik untuk kanak-kanak prasekolah yang menarik ialah Einstein Math Academy, Kids Math dan Maths Training For Kids.

Di tadika misalannya, kanak-kanak akan diberitahu tarikh bagi setiap hari yang berlalu. Kanak-kanak akan didedahkan dengan istilah “semalam”, “hari ini” dan “esok”. Lama-kelamaan, mereka boleh menyebut tarikh tertentu tanpa bantuan orang dewasa. Ini disebabkan matematik pada tahap kanak-kanak lebih bersifat penerokaan berbanding sesuatu pendidikan yang formal. Ini akan membantu tumpuan kanak-kanak dalam mempelajari matematik.

Kesimpulannya, memahirkan kanak-kanak tadika dengan penguasaan Matematik memerlukan teknik pengajaran yang tepat agar tidak menjauhkan anak-anak dari tumpuan yang sepatutnya mereka berikan.