4 Tip Mengingat Bentuk Huruf

1809

Di sini saya ingin perturunkan tip untuk ingat huruf dan bentuknya. Ada bentuk dan bunyi huruf yang seakan-akan sama tapi sebenarnya tak serupa. Biasanya anak akan keliru antara huruf u dengan n, antara huruf n dengan h, antara huruf m dengan w, antara huruf b dengan d, p, q dan banyak lagi. Selain daripada meminta anak membentuk huruf dengan plastisin atau play dough, ada beberapa cara lain yang boleh kita gunakan.

1. Memanfaatkan kelebihan anak dalam berimaginasi. Imaginasi anak memang tinggi. Contoh, bentuk s. Minta anak bayangkan bentuk melengkok s itu dengan bentuk ular. Untuk bentuk c pula, minta anak bayangkan bentuk melengkok c itu dengan pemegang cawan.

2. Menggunakan apa juga objek yang ada di sekeliling untuk membentuk huruf. Contoh, di tepi pantai, minta anak susun kulit-kulit kerang untuk membentuk huruf, di padang atau di taman, minta anak susun daun-daun yang berguguran untuk membentuk huruf.

3. Memberikan anak sebarang majalah, buku cerita atau surat khabar dan minta anak membulatkan huruf yang berkenaan.

4. Menerangkan bentuk huruf secara verbal. Contoh, huruf b. Kayu tercacak ke atas dan ada bola di sebelah. Untuk huruf d pula, ingat bola dan ada kayu tercacak ke atas di sebelah. Huruf p pula ingat ada kayu tercucuk ke tanah dan ada bola di sebelah.

Tapi ibu bapa harus beringat, anak kecil masih bermasalah dengan orientasi kiri dan kanan. Maka, latih anak sentiasa mulakan menulis dari kiri. Cubalah… lihat yang mana satu yang sesuai dengan anak kita. Ataupun mungkin juga kesemuanya boleh digunakan. Apa yang penting ialah ibu bapa menggunakan pelbagai kaedah untuk membantu anak mengingat bentuk huruf.

Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.