7 Pelan Strategik untuk Anak Membaca

3165

Ada setengah ibu bapa terlalu berharap anak-anak akan membaca dengan cepat. Mencatat perkembangan daripada mereka mula menyusu sehinggalah masuk ke sekolah rendah. Namun, tak semua ibu bapa sedar yang di rumah mereka sendiri tak ada ruang bacaan atau setidak-tidaknya rak yang dipenuhi buku.

Ibu bapa sendiri tidak membudayakan amalan membaca. Bagaimana anak-anak hendak mulakan minat membaca? Beli buku untuk diri sendiri pun jarang-jarang. Kalau beli pun sewaktu pesta buku di Putra World Trade Centre (PWTC) atau jualan gudang daripada syarikat-syarikat penerbitan terpilih, semata-mata untuk dapatkan diskaun sampai 60-80%.

Macam mana rasa cinta kepada buku hendak subur? Mudah saja, jika tak suka sesebuah buku, jangan beli buku itu! Pilih buku yang anda akan baca! Maksud saya ialah, anda perlu memilih sebuah buku yang anda cintai sampai anda kedekut hendak pinjamkan kepada orang lain. Rasa pelik? Jangan pelik. Benda yang kita cinta takkan kita nak kongsi dengan orang lain.

Melalui titik kecintaan tadi, barulah budaya membaca bermula. Semuanya daripada anda untuk anda sendiri! Kemudian barulah anda temui cara untuk memastikan anak anda mula membaca dengan cemerlang. Sekarang tengok di bawah, kami beri tip untuk anda. Syyyy, jangan baca dulu, pastikan anda sendiri yang membaca.

1. Jadi Pembaca Yang Baik

Jangan hanya jadi pembaca iklan di laman web membeli-belah dalam talian. Bacalah buku untuk dapatkan maklumat, isi masa lapang atau bekerja. Jadi pembaca yang tekun di hadapan anak-anak. Mesti senyum! Jangan monyok saja bila baca buku. Barulah anak anda tahu membaca itu menyeronokkan!

2. Sepahkan Hidup Dengan Buku

Buku sepatutnya ada di mana-mana sahaja di rumah anda. Ini belum kira jenis bahan bacaan lagi. Ensiklopedia, kamus, buku-buku hikayat, buku sastera, majalah, buku poket, dan yang seangkatan dengannya! Santuni hidup anak-anak dengan pelbagai jenis bahan bacaan.

3. Selalu bawa anak-anak ke perpustakaan

Selain kedai buku, cuba cipta kesempatan untuk membawa anak anda ke perpustakaan. Saya sarankan anda membawa anak-anak anda melawat ke perpustakaan negara atau perpustakaan negeri. Jika anda tinggal di Lembah Klang, antara perpustakaan yang saya sarankan ialah Perpustakaan Awam Shah Alam atau Perpustakaan Raja Tun Uda. Di sini, banyak aktiviti yang boleh anda buat selain daripada membaca buku. Antaranya  ialah menonton wayang 3D dengan tiket yang murah dan melawat sudut pohon ilmu yang sememangnya cantik!

4. Sertai wacana buku bersama penulis

Jika anda biasa membawa anak-anak anda dalam sesi wacana buku atau aktiviti bersama penulis, anda sebenarnya mendekatkan diri mereka dengan kerjaya dan dunia penerbitan buku. Selain itu, anak anda boleh mengenali penulis buku bagi buku-buku yang mereka minat.

5. Tuliskan cerita daripada anda untuk anak

Tak semua orang boleh jadi penulis, tetapi kita semua adalah penulis kisah kita sendiri. Jadi, hanya anda sahaja yang tahu cerita diri anda. Tuliskan sebuah cerita khusus untuk dibacakan kepada mereka. Kisah mereka semasa kecil dan harapan anda terhadap mereka. Setiap cerita harus membangunkan jiwa dan minda.

6. Pastikan anak anda selalu berbual

Bahasa dan kekayaan perbendaharaan kata bukanlah sesuatu yang boleh didapati dengan membaca semata-mata. Sebaliknya, anak anda lebih mudah untuk membaca jika mereka dilazimi dengan perbualan yang baik. Selalulah bertanya pendapat mereka tentang pelbagai isu. Hargai pendapat mereka. Jangan pula anda bertanya kemudian salahkan mereka. Itu kejam namanya.

7. Cuba berada di tempat mereka

Jangan letakkan diri anda sebagai pembaca, sebaliknya cuba letak diri anda sebagai orang yang buta huruf. Mesti susah untuk memulakan setiap perkara dengan “kosong” nilai pemahaman. Jadi, anda mesti punyai strategi pengajaran yang berkesan untuk belajar membaca. Anak anda juga begitu. Cari pendekatan yang terbaik untuk mengajar. Sama ada bahan bacaan bergambar atau memperkenalkan huruf melalui bunyi. Semuanya terpulang kepada anda.

Jadi, janganlah tertekan atau menekan anak-anak dengan kegelisahan diri sendiri. Sebaliknya, cuba refleksi kekurangan yang wujud di rumah dan bina pelan strategik untuk jangka masa panjang yang dapat menghasilkan seorang pembaca yang benar-benar faham apa yang dibaca. Bukan hanya membaca kosong yang boleh membaca tetapi tidak mengerti apa-apa.

 

Zahid Zaki
Muhammad Zahid Bin Mohamad Zaki merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Aswara. Beliau pernah menerima anugerah Graduan Bitara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pelajar Terbaik Diploma Penulisan Kreatif Aswara (2014).