Kepalaku Gatal!

2679

Kutu adalah serangga kecil yang amat sinonim dengan masyarakat. Ia mempunyai tiga pasang kaki, berwarna kelabu kecoklatan dan tidak mempunyai sayap. Jangkitan kutu pada manusia dikenali juga sebagai pedikulosis. Sebenarnya terdapat tiga jenis kutu pada manusia iaitu kutu kepala, kutu badan dan kutu kemaluan. Kutu kepala mudah menjangkiti golongan kanak-kanak terutamanya murid-murid sekolah, manakala kutu dan kutu kemaluan biasanya menjangkiti golongan yang tidak menjaga kebersihan badan seperti golongan gelandangan. Secara umum, kitar hidup kutu adalah kira-kira 4 minggu dan mempunyai tiga peringkat perkembangan iaitu bermula dengan telur (nit), nimfa (anak kutu) dan seterusnya berkembang ke peringkat dewasa. Bagi kutu kepala, kedua-dua kutu jantan dan betina menghisap darah pada kepala manusia beberapa kali setiap hari. Ketika menghisap darah, air liur yang mengandungi kesan toksik akan disuntik masuk ke dalam salur darah pada kulit kepala manusia. Ini akan mengakibatkan rasa gatal, gelisah dan hilang tumpuan. Kebiasaannya, sebanyak 10 hingga 20 ekor kutu dewasa boleh ditemui pada seseorang pesakit. Namun begitu, bagi jangkitan yang teruk, boleh wujud lambakan pelbagai peringkat kutu berserta kehadiran cecair atau nanah akibat gigitan kutu pada kulit kepala. Jangkitan bakteria dan kulat juga boleh berlaku akibat aktiviti menggaru yang berlebihan.

Bagaimana kutu berjangkit?

Memandangkan kutu merupakan serangga yang bergerak secara merangkak, maka cara jangkitan kutu kepala yang paling utama adalah sentuhan daripada rambut ke rambut. Ini boleh berlaku melalui aktiviti harian dan perkongsian tempat tidur. Selain itu, berkongsi peralatan seperti sikat, skaf, tuala dan topi dengan individu yang dijangkiti juga berpotensi menyebabkan anda dijangkiti.

Bagaimana mengesan dan merawat kutu kepala?

Jangkitan kutu kepala ditandai dengan kegatalan pada kulit kepala. Namun begitu, jangkitan aktif kutu hanya dapat dipastikan melalui pengesanan telur dan kutu hidup pada kepala. Memandangkan kutu mudah berjangkit, maka pengesanan kutu juga perlu dijalankan kepada ahli keluarga atau orang yang berhubung rapat dengan pesakit. Cara terbaik untuk mengesan kutu kepala adalah dengan menggunakan teknik sikatan basah seperti berikut:

  1. Lumurkan perapi rambut pada keseluruhan rambut.
  2. Sikat menggunakan sikat biasa bagi meleraikan rambut yang kusut.
  3. Sikat kutu (sikat bergigi rapat) digunakan untuk menyisir rambut secara berhati-hati bermula dari kulit kepala sehingga hujung rambut.
  4. Periksa kehadiran kutu pada celah-celah gigi sikat selepas setiap kali sikatan.
  5. Keseluruhan bahagian rambut disikat secara sistematik sekurang-kurangnya dua kali.

Rawatan adalah amat perlu kepada mereka yang dijangkiti kutu kepala. Membotakkan kepala merupakan cara paling mudah, namun mungkin akan memberikan kesan emosi kepada sesetengah pesakit. Sebagai pilihan, terdapat pelbagai syampu antikutu (pedikulosid) yang boleh didapati di pasaran. Walau apapun jenama yang dipilih, pastikan anda menggunakan syampu kutu tersebut mengikut arahan yang diberikan. Kebiasaannya, syampu antikutu perlu dibiarkan selama beberapa jam (bergantung kepada jenama) sebelum dibilas. Penggunaannya perlu diulang selepas tujuh hari bagi memastikan keseluruhan kutu pada kepala dapat dibasmi. Penyisihan kutu melalui sikatan basah secara kerap (diulang pada hari ke-5, 9 dan 13) juga boleh dijadikan alternatif terutama bagi mereka yang ingin mengelakkan terapi secara kimia.

Tahukah Anda?

  1. Kutu kepala perlu berada pada kepala manusia untuk terus hidup. Sekiranya tidak berada pada kepala, kutu akan mati dalam tempoh dua hingga tiga hari.
  2. Kutu betina bertelur sebanyak 6-8 biji telur sehari dan mampu bertelur lebih 100 biji sepanjang hayatnya.
  3. Kutu bergerak secara merangkak. Kutu tidak melompat, tidak terbang dan tidak memerlukan haiwan peliharaan sebagai pembawa.