Tip Mengingat Bunyi Huruf

2019

Apabila membaca, bermakna kita akan membunyikan perkataan. Dan sebahagian bunyi-bunyi amat berlainan dari satu bahasa ke satu bahasa yang lain.

Contoh paling mudah ialah bunyi-bunyi dalam bahasa Arab yang saya rasa paling hampir dengan kita. Bunyi so dalam solat, zo dalam zohor, bunyi to, ‘a dan lain-lain adalah antara bunyi-bunyi dalam bahasa Arab yang tidak ada dalam bahasa kita.

Sebab itu bangsa lain contoh india dan cina yang tidak BIASA dengan bunyi-bunyi bahasa Arab susah untuk menyebut perkataan, contoh maghrib dan khemah.

Sebab itulah penting ada pendedahan awal kepada bunyi-bunyi bahasa ini. Anak Melayu atau anak bangsa lain yang sudah biasa bergaul dengan bangsa melayu (bercakap melayu) lebih mudah untuk menyebut bunyi-bunyi yang ada dalam bahasa Melayu.

Cuba bayangkan kalau kita mendengar bahasa Jepun atau French atau Spanish atau Cina mahupun India, saya rasa susah bagi kita untuk mengulangi apa yang dikata kalau setakat kita mendengar sebanyak satu atau dua kali.

Saya boleh merasakan situasi ini ketika saya berjinak-jinak untuk belajar bahasa Khmer (Kemboja). Memang susah nak menyebut perkataan yang ada bunyi-bunyi yang tidak ada dalam bahasa Melayu.

Bagaimana kita menghasilkan sesuatu bunyi? Kita boleh bantu anak belajar membunyikan sesuatu bunyi bukan saja dengan menyebut tetapi juga, menerangkan kepada mereka apa yang kita lakukan bila kita menyebut.

Anak akan lebih mudah ingat kalau kita gunakan sesuatu untuk mengingatkan kepada satu-satu bunyi. Contoh: bunyi m – Rapatkan kedua bibir atas dan bawah dan seperti merasakan kelazatan makanan, sebut mmm.

Bunyi p – Rapatkan kedua bibir serapat-rapatnya dan kemudian cepat-cepat buka di hadapan sebatang lilin. Api lilin itu mesti bergerak kerana terasa angin yang keluar. Kalau tak nak lilin, boleh juga rasa angin di telapak tangan.

Bunyi b – Bunyi bola melantun. Rapatkan kedua bibir juga dan buka dengan bunyi yang kuat. Bunyi h – Bunyi nafas tercungap-cungap selepas berlari atau berjoging.

Atau contoh yang kurang sikit ialah bunyi nafas anjing (hhh). Bunyi v – Bunyi enjin kapal terbang. Penting kita exaggerate the sound apabila kita membunyikannya.

Dan pastikan anak melihat muka kita bila kita membunyikannya. Selamat mencuba.

Zairani A. Hamid
Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.