7 Tip Agar Anak Mencintai Masjid

3530

Sering kali kita mendengar rungutan, “Susahnya anak saya nak ke masjid, terutama sekali waktu subuh”. Jadi di sini saya kemukakan 7 Tip untuk kita sama-sama mencuba dan mempraktikkannya:

Pertama: Mulakan qudwah daripada bapa

Anak-anak memang sering memerhatikan tingkah laku ibu bapa mereka. Anak-anak akan mengikuti jejak langkah dan perilaku bapa ketika di rumah atau di luar. Oleh itu alangkah baiknya jika bapa dapat menunjukkan contoh terbaik buat anak-anaknya. Jika bapa suka dan cintakan masjid, maka sudah pasti anak-anak juga akan mudah mengikut bapanya untuk melangkah ke masjid.

Kedua: Memberi motivasi

Ibu bapa hendaklah sentiasa memberi semangat dan motivasi kepada anak-anak dengan menerangkan hadis-hadis tentang kelebihan solat di masjid, perjalanan ke masjid dan keberkatan berada di dalam masjid. Perbuatan tersebut akan memperoleh pahala, diampuni dosa dan mendapat kasih sayang Allah. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa berwuduk untuk solat, lalu ia menyempurnakan wuduknya, nescaya Allah mengampuni dosa-dosanya,” (Riwayat Muslim) dan Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang lain, “Solat berjemaah itu lebih baik 27 kali ganda daripada solat bersendirian.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Ketiga: Memilih kawan

Ibu bapa yang prihatin dalam mendidik anak, akan mencari kawan-kawan yang baik untuk anak-anaknya. Jika teman-teman mereka suka ke masjid, maka sudah pasti anak-anak yang susah ke masjid akhirnya akan menjadi lebih mudah untuk berbuat demikian.

Keempat: Pemilihan tempat tinggal

Tempat tinggal yang berdekatan dengan masjid adalah penting kerana ia boleh mendorong kita dan anak-anak untuk mudah melangkah ke sana. Oleh itu, kita hendaklah berusaha mencari tempat tinggal yang terbaik.

Kelima: Suasana yang baik

Suasana dan masyarakat yang baik, bersopan santun, bersilaturahim dan suka bekerjasama antara satu dengan yang lain serta gemar ke masjid merupakan faktor penting untuk mendorong anak-anak kita ke masjid. Biasanya pihak masjid ada menganjurkan program yang menghidupkan suasana harmoni dalam masyarakat seperti khatam al-Quran, berkhatan beramai-ramai, bersukan, bergotong royong dan sebagainya.

Keenam: Menyediakan kemudahan

Bagi memudahkan lagi anak-anak ke masjid, ibu bapa boleh menyediakan kenderaan yang sesuai seperti basikal untuk mereka ke sana. Jika anak tersebut masih kecil maka bapalah yang mesti membawa  mereka.

Ketujuh: Mendoakan anak-anak

Setelah kita berusaha sedaya upaya menunjukkan jalan yang baik, memberi nasihat dan mendidik mereka dengan sebaik mungkin, maka hendaklah kita serahkan segalanya kepada Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang dengan doa:

“Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim, Ya Latif, aku telah berusaha mendidik anak-anakku sebaik mungkin, inilah yang kumampu, lembutkanlah hati anak-anakku, jadikanlah mereka anak-anak yang soleh, yang cintakan-Mu dan Masjid-Mu. Amin, amin, amin ya Rabbal alamin.”