Pendidikan Di Tadika: Guru Dan Ibu Bapa Perlu Berganding Bahu

27560

Dunia pendidikan awal merupakan satu bidang penting dan amat dititikberatkan oleh pihak kerajaan.  Dengan bantuan sektor-sektor swasta yang berminat memperkembangkan bidang ini, sedikit sebanyak telah membuka mata ibu bapa khasnya dan masyarakat amnya, tentang betapa pentingnya pendidikan awal diberikan kepada kanak-kanak sebelum mereka melangkah masuk ke dunia pendidikan formal.

Dari sudut psikologi, anak-anak yang menerima pendidikan di prasekolah atau tadika, lebih berdikari dan berani memberi pendapat apabila memasuki tahun satu berbanding rakan-rakan yang tidak pernah didedahkan dengan pendidikan awal ini.

Pendidikan awal sememangnya memerlukan kerjasama yang erat oleh kedua-dua pihak; iaitu pihak tadika dan ibu bapa.  Guru di tadika hanya memiliki masa kurang tiga jam bersama anak-anak; untuk memberikan pendedahan mengenai maklumat yang merangkumi ilmu akademik dan bukan akademik.

Cuba bayangkan berapa sangat yang boleh dicurahkan oleh seorang guru jika semua perkara harus disentuh demi memastikan perkembangan anak didik berada di tahap yang sepatutnya.  Di sinilah peranan atau penglibatan ibu bapa amat diperlukan; untuk menyokong guru dengan membantu anak-anak mengasah kebolehan dan kemahiran yang ada supaya mereka lebih ‘bersinar’.

PENGLIBATAN AKTIVITI FORMAL

Para pengusaha tadika di Malaysia sentiasa memantau dan merancang pelbagai program serta mengemas kininya.  Ini sesuai dengan peredaran masa dan teknologi yang semakin pesat membangun dengan menitikberatkan kualiti yang bakal dihasilkan.  Secara idealnya, anak-anak perlu dididik secara holistik baik dari segi akademik mahupun bukan akademik.

Untuk itu, hubungan baik antara guru dengan ibu bapa sangat penting kerana guru memerlukan ibu bapa untuk merealisasikan impian atau mencurahkan ilmu yang ada sedikit sebanyak. Ibu bapa pula memerlukan guru bagi membantu mereka menyampaikan ilmu pengetahuan dan mendidik anak-anak mereka dalam bentuk yang lebih formal.

Antara akitiviti atau program yang sering kali menuntut tahap penglibatan, kerjasama dan sokongan ibu bapa yang tinggi ialah lawatan sambil belajar, hari sukan, hari terbuka dan majlis konvokesyen serta konsert yang merupakan program tahunan bagi kebanyakan tadika swasta.  Mari kita lihat bagaimana contoh-contoh program ini mampu membuktikan bahawa sememangnya ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan anak-anak mereka.

1. Lawatan Sambil Belajar

Murid dibawa melawat ke tempat menarik dan mereka boleh mempelajari sesuatu, malah mungkin tempat yang belum pernah dikunjungi sebelum ini.  Program seperti ini memerlukan pengertian, persetujuan dan kerjasama yang baik daripada ibu bapa.  Tidak dapat dinafikan, ada ibu bapa risau untuk melepaskan anak-anak manja mereka pergi ke sesuatu tempat dengan hanya ditemani oleh para guru.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu cuba untuk menanamkan kepercayaan yang tinggi kepada pihak tadika dalam mengendalikan program-program luar yang melibatkan komitmen sepenuhnya daripada murid dan ibu bapa mereka.

Malah bagi sesetengah tadika, jika ada ibu bapa yang ingin turut serta, pihak pengurusan tadika amat mengalu-alukan kesudian mereka.  Penglibatan ibu bapa hingga ke tahap ini sebenarnya amat diperlukan bagi membuktikan bahawa sememangnya program yang disusun adalah bermanfaat dan berkesan.

2. Hari Sukan

Bagi program ini pula, kebanyakan tadika mewajibkan ibu bapa supaya hadir sama.  Dalam program ini, ibu bapa boleh melihat sendiri bakat-bakat sukan yang ada dalam diri anak masing-masing.  Siapa tahu, bermula dengan larian yang agak malu-malu itu, mungkin bakal muncul pelari pecut negara suatu hari nanti!  Perkembangan emosi kanak-kanak juga harus dititikberatkan.  Bagi anak-anak, mereka rasa amat dihargai apabila menerima pujian daripada insan terdekat terutama ibu bapa.

Dengan memberi sokongan sepenuhnya semasa anak-anak beraksi di tengah gelanggang, mampu memberikan ‘aura’ yang amat jelas kesannya berdasarkan reaksi kanak-kanak yang terbabit.  Acara permainan yang menuntut penglibatan ibu bapa juga boleh mengeratkan lagi hubungan guru dan ibu bapa dalam suasana yang santai.

3. Hari Terbuka

Program ini boleh dianggap sebagai majlis ramah mesra antara guru, ibu bapa dan anak itu sendiri.  Majlis diadakan bukan sekadar membincangkan mengenai tahap pencapaian akademik atau perkembangan holistik anak-anak di tadika, malah ibu bapa turut dialu-alukan untuk berkongsi pendapat, bercerita mengenai pengalaman mendidik anak-anak di rumah dan sebagainya.

Ini merupakan satu platform untuk membina hubungan yang lebih akrab dengan ibu bapa.  Apabila saling mengenali antara satu sama lain, apa-apa masalah yang timbul kemudian hari lebih senang untuk dibincangkan berbanding dengan mereka yang jarang-jarang bertentangan mata.  Bayangkan, ada bapa kanak-kanak yang langsung tidak mengenali guru anak mereka di sekolah.  Apabila ditakdirkan berjumpa, percakapan seperti panel dalam bilik temuduga!  Suasana yang sebegitu, mampu memesongkan maklumat sebenar yang hendak disampaikan oleh guru, lebih-lebih lagi kalau guru itu seorang yang agak pemalu.

4. Majlis Penganugerahan dan Konsert

Program ini merupakan program yang sering ditunggu-tunggu dan terbesar pada setiap tahun.  Ia juga memerlukan komitmen dan penglibatan yang paling tinggi oleh ibu bapa.  Perjalanan majlis boleh terganggu hanya jika ada seorang kanak-kanak yang terlewat atau tidak hadir.  Komitmen ibu bapa yang datang awal, menepati tema, sporting, tidak cerewet dan banyak ragam, malah turut membantu menyiapkan anak mereka, amat dihargai.  Dalam majlis ini, semua murid diraikan berdasarkan  kebolehan masing-masing. Malah, ibu bapa yang telah banyak memberi sokongan, dan sentiasa bekerjasama dalam program-program tadika harus diberi penghargaan.

Konsert yang diadakan pula adalah bertujuan untuk menonjolkan dan menghargai bakat-bakat terpendam setiap murid.  Kita harus percaya bahawa setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai bakat semula jadi masing-masing.  Sehubungan itu, ibu bapa perlu hadir dan melihat sendiri kebolehan anak mereka.  Malah berdasarkan pengalaman, ada ibu bapa yang terkejut melihat anak mereka boleh menari dan melakukan pergerakan yang unik mengikut irama tertentu.  Inilah sebenarnya antara tujuan pihak tadika mengalu-alukan kerjasama dan penglibatan sewajarnya daripada mereka.

PENGLIBATAN SECARA TIDAK FORMAL

Jika ibu bapa menghalusi dengan baik, sebenarnya sama ada sedar atau tidak, penglibatan secara tidak formal juga sama penting dengan penglibatan secara langsung atau formal.  Contoh yang dapat dilihat di sini ialah berkenaan pembayaran yuran, bertanya khabar tentang kerja rumah yang dibawa balik oleh anak-anak, bertanggung jawab dalam menjaga keselamatan, kebersihan dan kesihatan anak-anak di tadika dengan menyiapkan mereka dengan baik sebelum mereka keluar dari rumah pada setiap pagi.  Tidak ketinggalan juga penglibatan ibu bapa dalam memberikan sumbangan sama ada berbentuk idea-idea yang dapat diguna pakai, tenaga malah dari segi kewangan sekalipun.

Semua ini merupakan sokongan dan kerjasama yang tidak nampak oleh mata kasar.  Kita ambil satu contoh iaitu bayaran yuran yang dibuat ibu bapa.  Bagaimana hal ini dikatakan sebagai penglibatan ibu bapa?  Ibu bapa yang sentiasa mengikut sistem pihak tadika dengan lancar dan tidak pernah tertangguh boleh dianggap sebagai terlibat secara aktif.

Kejujuran dan tanggung jawab yang ditunaikan setiap bulan itu amat membantu melicinkan pelbagai urusan yang perlu dibuat oleh pihak tadika.  Bagi ibu bapa yang sering bertangguh-tangguh kerana pelbagai alasan (walaupun pihak pengurusan tadika mungkin memahami masalah yang dihadapi), namun ibu bapa terbabit boleh dianggap tidak terlibat secara aktif.

Jika dilihat dari sudut sokongan moral kepada anak-anak di rumah, sebagai guru, kami amat berbesar hati sekiranya ibu bapa dapat meluangkan masa bertanya anak-anak tentang sesuatu yang dipelajari di tadika setiap hari.  Kalau tidak sempat sekalipun, cukuplah kalau bertanya anak sama ada terdapat kerja sekolah atau tidak dan menjenguk mereka sekali sekala semasa mereka menyiapkan kerja tersebut.

JANGKAAN TERLALU TINGGI

Dalam tempoh tiga jam anak-anak bersama guru setiap hari, adakah cukup untuk  memastikan mereka mendapat apa yang sepatutnya mereka peroleh dan capai tanpa sokongan ibu bapa di rumah?  Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada ibu bapa yang meletakkan harapan dan mengjangkakan hasil yang terlalu tinggi dan sesetengahnya tidak logik untuk dibebankan kepada kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun.

Namun, tidak dinafikan ada kanak-kanak yang pintar dan mudah menerima pelajaran yang diajar.  Tetapi bagaimana pula halnya jika kanak-kanak tersebut tidak bernasib sebaik kanak-kanak pintar?  Tidak mustahil boleh mengganggu emosi kanak-kanak terbabit, malah guru kanak-kanak itu sendiri boleh mendapat tekanan ekoran permintaan yang melampau.

Perlu difahami bahawa tadika bukan sahaja berfungsi sebagai pembekal ilmu akademik semata-mata malah bertanggungjawab dalam menyediakan persekitaran yang sihat dan penuh kasih sayang untuk kanak-kanak berkembang dari segi fizikal, sosio-emosi, moral, bahasa dan kognitif.  Pastinya itu semua memerlukan pemahaman, penglibatan dan pembahagian tugas yang jelas antara ibu bapa dan guru.

Kesimpulannya, komitmen yang jitu, sokongan dan kerjasama yang tinggi daripada ibu bapa sememangnya merupakan asas kepada kecemerlangan akademik dan perkembangan holistik kanak-kanak, malah dapat membantu pihak tadika dalam mengatur program-program yang bersesuaian untuk mereka.  Tanpa penglibatan sepenuhnya daripada ibu bapa, sukar untuk pihak tadika menjalankan sesuatu program.

Dalam apa keadaan sekalipun, ibu bapa dan guru memang saling memerlukan.  Guru umpama operator yang berusaha untuk menghasilkan sesuatu produk yang bermutu.  Ibu bapa pula umpama penyumbang bahan mentah yang sentiasa mengikuti proses-proses penghasilan produk dengan membantu mengawal kualiti bahan mentah yang dibekalkan tersebut.  Setuju atau tidak, terpulang pada diri sendiri.

Yang penting, percayalah, dari kecil hingga dewasa manusia sememangnya saling memerlukan antara satu sama lain, untuk melengkapi kitaran proses kehidupan.  Tanpa komitmen sekurang-kurangnya antara dua pihak, peranan pihak yang terbabit akan sentiasa kelihatan tidak jelas.  Begitu juga halnya dengan ibu bapa dan guru.  Sama-samalah kita berganding bahu demi memastikan generasi baru sentiasa mendapat yang terbaik demi kesejahteraan diri mereka sendiri, agama, bangsa dan Negara yang tercinta.  Insya-Allah.