Adakah Vitamin Tambahan Dapat Melindungi Daripada Wabak Covid-19?

3114

Umum mengetahui penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dengan individu lain di samping penjagaan diri sebaiknya adalah kaedah paling berkesan bagi mengelakkan risiko penyakit coronavirus (COVID-19). Walau bagaimanapun, masih ramai yang masih tertanya-tanya adakah diet dan nutrisi memainkan fungsi dalam menangani wabak ini. Mengikut artikel Harvard T.H Chan, nutrisi memainkan peranan penting memandangkan individu dengan zat nutrisi yang rendah lebih mudah mendapat jangkitan penyakit.  Kajian menunjukkan wabak COVID-19 lebih tinggi di kalangan warga emas, pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi serta pesakit yang mempunyai sistem imuniti yang rendah yang berkait rapat dengan nutrisi pemakanan kita. Oleh yang demikian, amatlah penting bagi kita khususnya kanak-kanak dan orang dewasa mengambil gizi yang seimbang dengan  vitamin yang mencukupi.

Apakah itu makanan yang seimbang? Secara ringkasnya, semasa mengambil makanan kita sepatutnya bahagikan pinggan kita dengan nisbah “suku-suku separuh.”


kredit Kementerian Kesihatan Malaysia

Suku pinggan untuk protein seperti ayam, atau daging atau ikan atau tauhu/tempe.

Suku lagi untuk karbohidrat seperti nasi, atau mi atau roti atau kentang.

Separuh pinggan untuk sayuran dan buah-buahan. Pastikan kita memilih bahan tersebut dalam pelbagai warna sebab sebagai contoh, sayur hijau kaya dengan Vitamin A dan E, manakala buah oren kaya vitamin A. Dengan kepelbagaian ini ia akan memastikan vitamin yang diperlukan mencukupi.

Vitamin adalah nutrien yang diperlukan oleh tubuh untuk berfungsi dan melawan penyakit. Tubuh manusia tidak dapat menghasilkan vitamin itu sendiri, jadi kita  mesti mendapatkannya melalui makanan mahupun makanan tambahan yang dikenali sebagai supplemen. Vitamin amnya terbahagi kepada dua; vitamin larut air dan vitamin larut lemak. Vitamin larut lemak terdiri daripada vitamin A, D, E, K dan vitamin larut air pula terdiri daripada vitamin B dan C.

Vitamin larut lemak bermaksud vitamin ini  disimpan di dalam sel-sel lemak dan memerlukan lemak agar dapat diserap oleh badan. Vitamin larut air pula tidak disimpan di dalam badan  dan disebabkan ini, ia perlu diambil setiap hari. Tubuh manusia kemudian akan  mengambil apa yang diperlukan sahaja daripada makanan yang dimakan dan selebihnya akan disingkirkan melalui sistem pencernaan. Contoh makanan-makanan yang mengandungi vitamin adalah seperti berikut:

Vitamin Larut Lemak

  • Vitamin A – buah-buahan berwarna oren dan sayuran hijau seperti kangkung
  • Vitamin D – susu dan produk tenusu, cahaya matahari (cahaya matahari mengaktifkan  vitamin D dalam darah)
  • Vitamin E – sayuran hijau, bijirin dan kekacang
  • Vitamin K – lobak dan ubi bit

Vitamin Larut Air

  • Vitamin B1 atau Thiamin – hati, kekacang dan bijirin
  • Vitamin B2 atau Riboflavin – bijirin dan produk tenusu
  • Vitamin B3 atau Niacin –  daging; ikan dan bijirin
  • Vitamin B5, atau Asid pantotenik- daging dan bijirin
  • Vitamin B6, atau Pyridoxine – produk soya dan bijirin
  • Vitamin B7, atau Biotin – daging dan buah-buahan
  • Vitamin B9, or asid folik (folate) – sayuran berdaun
  • Vitamin B12 – ikan, daging dan produk tenusu
  • Vitamin C – buah-buahan atau jus citrus seperti buah oren atau limau gedang

Sistem imunisasi berfungsi sebagai perisai terpenting kepada tubuh badan manusia daripada bendasing dan jangkitan penyakit. Menurut beberapa kajian yang dibuat baru-baru ini terdapat beberapa kemungkinan vitamin C dan vitamin D berupaya membantu meningkatkan sistem imunisasi dalam memerangi wabak COVID-19.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Irish Longitudinal Study on Ageing (TILDA) yang bertajuk Vitamin D deficiency in Ireland – implications for COVID-19, vitamin D bukan sahaja penting bagi penyerapan kalsium dalam badan malahan vitamin ini juga terbukti boleh mengelakkan jangkitan respiratori (sistem pernafasan); iaitu salah satu simptom COVID-19. Beberapa kajian yang dijalankan juga mendapati vitamin D sebenarnya boleh mempengaruhi penghasilan salah satu molekul yang berperanan dalam sistem imuniti yang dinamakan sitokinin dan seterusnya dapat mengelakkan gangguan pernafasan. Namun begitu, data ini dipengaruhi oleh iklim musim sejuk di mana kurangnya cahaya matahari yang dapat diserap oleh tubuh badan. Kajian menunjukkan jumlah kumulatif 15-20 ug (800-1,000 IU/sehari) dapat mencegah jangkitan respiratori seperti influenza. Dos ini lebih daripada dos biasa yang disarankan iaitu sebanyak 600 IU/sehari.

Beberapa hospital di negara China telah menggunakan vitamin C dengan dos yang tinggi melalui intravena bagi merawat pesakit yang menghidap penyakit Corona virus. Walau bagaimanapun, belum terdapat bukti kukuh menunjukkan vitamin C dengan dos yang tinggi dapat merawat wabak ini.

Namun, berdasarkan artikel yang ditulis oleh Profesor Peter McCaffery, pengambilan vitamin C dalam badan sememangnya perlu, namun hanya dalam kuantiti yang sedikit bagi mencegah demam dan selesema biasa. Beliau turut menambah tiada sebarang bukti yang menunjukkan perbezaan dos vitamin C ini dapat mencegah COVID-19 seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Oleh sebab itu, anda perlu mengambil vitamin ini seperti biasa sama ada melalui pemakanan mahupun suplemen tidak melebihi 2000 mg  bagi dewasa dan 650 mg bagi kanak-kanak di bawah usia lapan tahun.

Makanan seimbang adalah paling penting dalam semua keadaan lebih-lebih lagi apabila mengalami penyakit. Vitamin tambahan cuma perlu diberikan sekiranya individu mempunyai masalah untuk makan pada kadar yang mencukupi atau menghidap penyakit seperti kanak-kanak dengan masalah tumbesaran atau wanita mengandung yang meningkat keperluan vitaminnya. Ia tidak dapat melindungi 100% daripada jangkitan termasuk jangkitan COVID-19. Dalam keadaan wabak COVID-19, menjaga kebersihan diri dan persekitaran serta mengamalkan jarak sosial juga sangat penting dan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.