Ibu Bapa Dan Anak Punya Pengaruh Tersendiri

2493

Ramai ibu bapa setuju jika dikatakan anak adalah anugerah paling berharga dalam hidup mereka. Namun terdapat juga pasangan yang tidak mahukan kehadiran cahaya mata. Mereka memberikan pelbagai jawapan yang kurang munasabah dan boleh dipertikaikan. Sementara itu, terdapat pula pasangan yang telah lama berkahwin dan masih mengharapkan kehadiran zuriat sebagai menyambung kasih suami isteri, dan seterusnya dapat menjaga mereka pada hari tua. Mereka yang dikurniai anak setelah berumah tangga, pasti amat bersyukur dan berhasrat menjaga anak-anak ini seperti menatang minyak yang penuh.

Namun begitu dalam meniti saat bahagia, adakalanya ibu bapa diuji dengan kerenah anak-anak yang mencabar kesabaran. Pendapat dan saranan ibu bapa didengar sepintas lalu dan dengan selamba anak-anak mengatakan pendapat dan kemahuan mereka bertentangan dengan kehendak ibu bapa. Apakah perasaan anda sebagai ibu bapa jika anak yang masih di peringkat awal usia sudah pandai membantah dan bijak mengeluarkan kata-kata yang menyebabkan jantung anda berdegup kencang menahan amarah?

Perbalahan mulut yang biasa-biasa akan menjadi tegang apabila ibu bapa hilang sabar dan rasa tercabar. Apabila berlaku konflik, timbul persoalan, siapakah yang lebih berpengaruh dan menguasai  keadaan dengan beroleh kemenangan mutlak? Adakah ibu bapa yang lebih matang, banyak ilmu serta pengalaman dan dianggap berkuasa, akan menang? Atau anak yang dibesarkan dengan ilmu pengetahuan dan teknologi serba canggih yang bakal bersorak keriangan? Atau kedua-dua pihak berjaya membuat keputusan yang memuaskan hati dengan perbincangan secara demokrasi?

DIDIKAN AWAL MENANGANI KONFLIK

Pasti ramai yang setuju jika saya katakan, didikan awal yang diberi oleh ibu bapa amat penting dalam menangani masalah dan konflik sebegini. Kanak-kanak adalah golongan yang mudah menerima dan meniru tingkah laku orang yang sentiasa bersama-samanya. Jika sejak kecil mereka didedahkan pada hubungan kekeluargaan yang kukuh, toleransi yang tinggi sesama ahli keluarga, didikan moral yang baik serta suasana komunikasi yang harmoni – mereka pasti mengikut dan dapat menyesuaikan diri dengan baik sehingga dewasa.

Anak-anak harus diajar tidak mementingkan diri sendiri dan menghargai apa yang ada di sekeliling mereka agar mereka dapat menerima teguran dan nasihat daripada orang yang lebih tua terutamanya ibu bapa dan guru. Jika baik didikan yang diterima, tidak timbul persoalan siapa yang lebih berpengaruh dalam membuat keputusan dan seterusnya dapat mengelakkan konflik ini.

Bagaimana jika keputusan yang dibuat ibu bapa  tidak dipersetujui anak-anak? Sebagai orang dewasa, ibu bapa tidak harus berkeras dengan keputusan mereka. Sebaliknya cubalah untuk dengar dahulu alasan yang diberikan anak. Jangan terlalu berkeras dan memberikan reaksi negatif apabila anak mula memuncungkan mulut atau  menggeleng tidak setuju atau membantah dengan jawapan “tak nak / tak suka”.

Jika alasan mereka ternyata tidak dapat diterima, walaupun selepas diperhalusi sebaik mungkin, tindakan yang bijak mesti dibuat. Gunakan kata-kata lembut dan terangkan dengan terperinci mengapa alasan itu sukar diterima. Adalah lebih baik sekiranya ibu bapa dapat mengambil kira dan mempertimbang pendapat anak walaupun sedikit.

APABILA ANAK LEBIH TERKEDEPAN

Dalam kehidupan yang semakin moden dan canggih, anak dibesarkan dalam suasana ilmu yang pesat berkembang. Tidak hairanlah jika ada berita dan isu terbaharu yang lebih dahulu diketahui si anak kerana ibu bapa sibuk bekerja. Segala input yang diterima akan disimpan dan digunakan apabila timbul isu berbangkit. Kanak-kanak sebenarnya golongan yang mudah percaya sesuatu asalkan dapat diterima oleh akal logik mereka.

Contoh terdekat mengenai fesyen semasa kanak-kanak. Kadangkala ibu bapa terlepas pandang dan menganggap hal itu remeh. Mereka hanya memilih pakaian baharu yang dirasakan sesuai untuk anak tetapi anak menganggapnya tidak up to date. Konflik pasti timbul jika ibu bapa tetap berkeras dengan pilihan mereka tanpa mempedulikan pengetahuan yang diperoleh anak. Fesyen anak-anak yang pelbagai juga adakalanya tidak dapat diterima oleh ibu bapa yang agak konservatif.

Sikap ini pasti menimbulkan rasa kurang senang anak-anak dan memungkinkan mereka menunjukkan tingkah laku yang tidak disenangi ibu bapa. Keadaan jadi tidak terkawal apabila anak mula meraung-raung dan menghempas tubuh di hadapan kedai. Mahu tidak mahu, ibu bapa terpaksa mengiakan sahaja kemahuan anak. Dalam keadaan ini, nampaknya anak lebih berpengaruh. Anda pula bagaimana?

SESEKALI BERI PELUANG KEPADA ANAK

Sebenarnya tidak salah jika sesekali anak diberi hak dan peluang untuk membuat keputusan, terutamanya jika hal itu berkaitan diri mereka. Ibu bapa sepatutnya mengajar anak membuat keputusan sendiri untuk melatih mereka membina self-confidence yang tinggi dan yakin mengambil langkah dan bersedia menerima akibat baik atau buruk daripada tindakannya.

Peluang sebegini akan melatih mereka untuk menghargai pendapat atau keputusan sendiri. Namun ibu bapa perlu bijak mengawal keadaan agar keputusan anak tepat dan tidak menimbulkan masalah di kemudian hari. Sokonglah keputusan mereka selagi munasabah dan terkawal, yakinkan mereka dengan apa yang mereka pilih. Hasilnya, tidak timbul lagi konflik kuasa antara kedua-duanya kerana mereka mempunyai pengaruh yang sama rata.

ANAK BANDAR VS ANAK LUAR BANDAR

Keadaan mungkin berbeza antara keluarga di bandar dengan keluarga di luar bandar. Di bandar anak lebih terkedepan hasil maklumat teknologi sekeliling yang lebih cepat dan senang, berbanding dengan anak di luar bandar yang agak terlambat dan terikat dengan budaya hidup yang diamalkan keluarga sejak sekian lama. Anak bandar lebih terbuka dan berani menyuarakan pendapat ditambah dengan gaya pemikiran ibu bapa yang kebanyakannya golongan profesional dan berpendidikan tinggi.

Apabila setiap masalah dibincang secara terbuka, hasil dan keputusannya mungkin lebih adil bagi kedua-dua pihak. Bagi anak luar bandar, jika mereka membantah dan berani bersuara, mereka dianggap kurang ajar dan derhaka. Konflik kuasa inilah yang banyak menimbulkan situasi yang kurang sihat sehingga ada yang mengambil jalan salah seperti lari dari rumah. Bagaimanapun hal ini boleh diatasi sekiranya anak-anak diberikan ilmu agama yang kukuh sejak usia muda. Dalam apa jua isu, ibu bapa harus memainkan peranan penting dan seboleh mungkin mengelak daripada memikirkan siapa yang lebih berkuasa dan mempunyai pengaruh dalam membuat keputusan dalam keluarga. Ibu bapa harus ingat, anak-anak banyak dipengaruhi orang yang bersama-sama mereka dan situasi sekeliling yang mereka lalui.

Lazimnya, walau sebijak manapun mereka, masih tidak dapat menandingi kematangan dan pemikiran ibu bapa dalam segala hal. Bagaimanapun anak harus diberi peluang dan turut serta dalam membuat keputusan berdasarkan isu tertentu. Ego dan kuasa ibu bapa tidak akan jatuh atau berkurang jika mereka menerima keputusan anak yang munasabah.