Seronoknya Belajar Matematik

4798

Kanak-kanak dianugerahkan bijak matematik secara tidak formal. Mereka mempunyai kefahaman sendiri tentang konsep matematik di sekeliling mereka. Lebih banyak pendedahan, pengalaman matematik yang diberikan oleh ibu bapa secara authentic kepada anak-anak, lebih tinggi kefahamannya tentang konsep matematik seperti bentuk, hubungan, kuantiti dan lain-lain.

Asas matematik yang kuat dari rumah akan membantu anak belajar matematik dengan cepat dan seronok di sekolah. Antara sebab anak cepat dan seronok belajar matematik adalah melalui teknik bermain sambil belajar. Selain itu, penggunaan bahan mengajar yang maujud atau konkrit sangat membantu anak untuk cepat faham dan mampu menyelesaikan cabaran matematik. Ini kerana mereka boleh mengaitkan matematik dalam kehidupan mereka. Pembelajaran yang bermakna.

Bahan bantuan mengajar yang boleh dipegang, dirasa, dilihat dan didengar akan membantu anak dengan lebih cepat dan memberi keseronokan kepada anak untuk belajar tanpa dipaksa atau rasa terpaksa.

So, guru-guru yang banyak beri latih tubi (lembaran kerja) dan suka menggunakan ‘chalk and talk’ method tidak membantu anak untuk belajar dengan cepat dan seronok.

Caranya, sebelum memberi lembaran kerja yang banyak kepada anak, pastikan mereka telah diberi banyak aktiviti yang melibatkan BBM yang maujud.

Bahan-bahan tidak perlu dibeli… hanya gunakan apa yang ada di rumah seperti permainan anak, cawan, sudu, peralatan tulis, sayuran, buah-buahan dan sebagainya. Lagi banyak anda gunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling mereka lagi cepat mereka faham konsep matematik.

Jika mampu, apalah salahnya menyediakan alat kiraan yang pelbagai dan berkualiti. Saya sarankan di tadika perlu disediakan alatan mengira yang merangsang deria. Ada kelainan dan pengalaman menerokai bahan-bahan baru.

Untuk anak usia 3-4 tahun, mulakan dengan konsep pra nombor. Kuatkan asasnya dari segi banyak sedikit, besar kecil, tinggi rendah~ kuantiti, bermain dengan bentuk, sama dan tidak sama, berat dan ringan dan sebagainya.

Usah ajar anak konsep nombor dahulu. Beri mereka banyak asas pra nombor dengan kepelbagaian aktiviti dan permainan. Anda boleh masukkan konsep nombor secara tidak langsung seperti meminta anak mengambil sesuatu, contohnya: “Nina, tolong ambilkan 3 biji cawan”.

Sewaktu menjalankan aktiviti memasak bersama anak-anak, “Aiman, tolong masukkan 2 cawan tepung ke dalam bekas”.

Anak bukan hanya belajar matematik, mereka belajar bahasa melayu tinggi, adab dan yang paling penting keseronokan dalam membuat aktiviti bersama-sama. 

Monalisa Harun Chong
Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.