7 Sebab Mengapa Pendekatan Bermain Sambil Belajar Wajib Ada di Tadika

14341

Pendekatan belajar sambil bermain di tadika atau taska semakin diterima oleh masyarakat di Malaysia. Pendekatan ini dilihat sangat berkesan dalam membantu kanak-kanak dalam pembelajaran dan perkembangan mereka berbanding pembelajaran secara formal.

Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan oleh tokoh-tokoh terkenal terdahulu mengenai aktiviti bermain ini, antaranya ialah Vygotsky. Beliau menyatakan bahawa bermain membantu perkembangan bahasa  dan pemikiran kanak-kanak. Selain itu, apabila kanak-kanak bermain ia juga dapat memberi kebebasan kepada mereka untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar. Main terdiri daripada beberapa jenis antaranya solitary play (bermain sendirian), parallel play (bermain bersama-sama), associative play (main gabungan) dan cooperative play (bermain berkumpulan).

Bagi kanak-kanak, bermain adalah satu pekerjaan bagi mereka. Secara kasarnya, kebanyakan orang melihat belajar sambil bermain ini hanya main semata-mata dan tidak mendatangkan faedah. Akan tetapi, melalui pendekatan bermain sambil belajar ini sebenarnya dapat meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak dari pelbagai aspek. Sebagai contoh subjek Matematik untuk pengajaran mengira nombor, kebiasaannya belajar menggunakan latihan buku dan papan tulis. Cara ini boleh ditukarkan dalam bentuk permainan seperti permainan “Bowling Nombor”, di mana kanak-kanak boleh bermain bowling sambil belajar mengira nombor mengikut jumlah pin yang jatuh. Pendekatan ini merupakan pendekatan secara “child-centered” dan banyak aktiviti “hands-on”, di mana kanak-kanak melakukan sendiri dan guru hanya membimbing dalam aktiviti. Apabila kanak-kanak sendiri yang melakukan dan menerokai sesuatu, pembelajaran tersebut menjadi lebih bermakna. Jadi guru perlu bijak merancang dan menyediakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan tema atau tajuk yang ingin diajar dan peringkat umur kanak-kanak supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan objektif pembelajaran tercapai.

Selain itu, ibu bapa juga telah semakin sedar tentang pendekatan bermain ini dapat membantu anak-anak mereka dan banyak hasil kerja tangan dan aktiviti yang dibuat sendiri seperti busy board, busy book, kinetic sand dan sebagainya untuk anak-anak mereka main. Melalui aktiviti ini, perkembangan motor halus, motor kasar, daya tumpuan dan kemahiran menyelesaikan masalah dapat ditingkatkan.

Selain itu, dengan bermain, kanak-kanak dapat:

1. berimaginasi

2. berkreativiti

3. berdikari

4. meningkatkan kosa kata dan bahasa pertuturan antara guru dan rakan sebaya

5. mendengar arahan dan

6. bekerjasama dalam aktiviti berkumpulan.

Tuntasnya, bermain adalah fitrah kanak-kanak, apabila pengajaran dan pembelajaran yang ingin disampaikan selari dengan fitrah mereka, maka pembelajaran itu lebih bermakna, seronok dan menjadi lebih mudah.