Matematik: Semudah 1, 2, 3

2117

Membina kemahiran Matematik bukanlah sesuatu yang sukar untuk diterapkan ke dalam diri kanak-kanak. Pelbagai aktiviti mudah boleh dilakukan bagi mendorong anak anda untuk mengasah kemahiran Matematik mereka. Tanpa disedari, Matematik sebenarnya wujud dalam persekitaran kehidupan kanak-kanak dan adakalanya, mereka berjaya mengaplikasikan kemahiran Matematik dalam kehidupan seharian.

Pelbagai situasi harian yang boleh dijadikan latihan untuk anak mengasah kemahiran Matematik. Sebagai contoh, bulan Ramadan yang bakal menjelang ini pasti menjadi tapak untuk anak membina kemahiran mengira. Lazimnya, kanak-kanak akan melihat jam dan bertanya kepada anda, “Sekarang pukul berapa? Berapa lama lagi akan masuk waktu berbuka?”. Sambil mereka melihat ke arah jam, secara tidak langsung mereka membina kemahiran melalui kelaziman. Tidak sampai sebulan, anak anda boleh melihat ke arah jam dinding dan mengetahui waktu tanpa perlu bertanya lagi.

Selain itu, jika anda sering melakukan aktiviti riadah seperti berkelah, biar anak anda yang menyusun hidangan untuk keseluruhan anggota keluarga. Mengira jumlah pinggan dan cawan minuman mengikut jumlah ahli keluarga akan membantu mereka lebih mahir dalam asas mengira. Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti yang membolehkan anak anda mengira sesuatu tanpa perlu mengarahkannya atau menggunakan buku-buku latihan. Ini bergantung kepada kreativiti anda sebagai ibu bapa.

Kemahiran matematik perlu dipraktikkan melalui kaedah yang menyeronokkan. Contohnya, anak anda boleh sahaja diperkenalkan dengan bentuk-bentuk tertentu dan jumlah bucu yang ada pada objek yang diberikan. Ini merupakan fasa awal pembelajaran kanak-kanak. Dunia mereka terlalu menyeronokkan dan penuh imaginasi. Kita juga perlu berimaginasi semasa mengenalkan teknik pengajaran yang akan diberikan.

Selain itu, aktiviti rutin seperti memasak juga mampu mengembangkan kemahiran Matematik anak anda. Macam pelik bunyinya, tetapi itu sesuatu yang benar. Memasak memerlukan kemahiran menyukat, memilih, menambah, menggaul, dan mengagak. Ini merupakan antara sukatan yang terdapat pada sesuatu yang digelar Matematik! Anda hanya perlu memberikan panduan dan bimbingan serta memerhatikan tingkah laku mereka dalam setiap aktiviti yang disarankan di atas. Mudah bukan? Rutin harian semudah itu pun boleh dijadikan platform pembelajaran Matematik yang menghiburkan!

Kesimpulannya, ibu bapa perlu berperanan sebagai individu yang merancang aktiviti dan membentuk kreativiti bagi kanak-kanak. Apa sahaja objek yang terdapat di hadapan mata anda boleh dijadikan bahan pendidikan Matematik yang boleh diaplikasikan dalam pembelajaran si manja anda. Apa tunggu lagi? Asah kemahiran Matematik anak mulai sekarang!