Adakah Anak Anda Sudah Bersedia Untuk Berjaya?

1860

shukri

Adakah anak anda sudah bersedia untuk berjaya? Untuk mengetahui jawapannya, utarakan enam soalan berikut kepada mereka.

1. ‘Adakah kamu benar-benar mahu berjaya?’

Untuk berjaya, seseorang perlu:

  • Tahu apa yang dia mahu.
  • Betul-betul mahu apa yang dia mahu.

Pertamanya, pelajar yang berjaya lazimnya sudah nampak jauh ke hadapan apa yang diinginkan. Mereka biasanya sudah ada gambaran yang jelas, bidang apa yang mahu diceburi (matlamat jangka panjang), dan mula memikirkan matlamat-matlamat jangka pendek yang perlu diambil.

Keduanya, oleh kerana mereka ada kemahuan yang kuat untuk mendapatkan sesuatu, maka perkara yang sukar pun akan menjadi lebih mudah. Sebaliknya, jika mereka kurang berminat ke atas sesuatu, perkara yang mudah pun akan nampak susah.

2. ‘Adakah kamu benar-benar yakin kamu boleh berjaya?’

Kejayaan bermula dalam fikiran. Untuk berjaya seseorang itu perlu berfikiran positif dan percaya pada kebolehan diri sendiri. Jika dia meragui kemampuan dirinya sendiri, maka sukar baginya untuk menyempurnakan sesuatu kerja dengan cemerlang. Selagi dia tidak yakin yang dia mampu memperoleh keputusan cemerlang, selagi itu dia tidak akan mendapat keputusan cemerlang.

“Kesulitan akan bertambah jika dihitung-hitung tetapi akan lenyap setelah tidak diperhatikan.” (Imam Malik)

3. ‘Adakah kamu mempunyai strategi belajar yang efektif?’

Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa untuk berjaya, seseorang itu mesti rajin belajar. Namun bukan semua yang tekun belajar mempamerkan prestasi peperiksaan yang cemerlang.

Ada pelajar yang berusaha bersungguh-sungguh, namun mendapat keputusan peperiksaan yang sederhana sahaja. Mereka tidak ada strategi serta kemahiran belajar yang mantap. Justeru itu, usaha gigih mesti didasarkan ke atas satu strategi yang bijaksana. Kata orang ‘study hard, study smart’.

4. ‘Adakah kamu bersedia untuk melipatgandakan usaha dan lebih berdisiplin?’

‘Disiplin diri’ bermakna ‘memaksa diri membuat apa yang kena buat, pada masa yang kena buat dan buat sungguh-sungguh, buat sama ada suka atau tidak suka buat’. Pelajar yang berdisiplin tinggi sentiasa memenuhi janji kepada dirinya sendiri. Sekiranya mereka merancang untuk menghabiskan ulang kaji sesuatu tajuk dalam tempoh yang tertentu, maka itulah yang akan dilakukannya tanpa memberi apa-apa alasan. Mereka lazimnya kuat bekerja dan tidak jemu-jemu berusaha sehingga matlamat tercapai.

5. ‘Adakah kamu sanggup berubah dan berkorban untuk berjaya?

‘Berubah’ bermakna meletakkan sesuatu untuk menggantikan sesuatu. Sebagai contoh, mereka meletakkan ‘kerajinan’ menggantikan ‘kemalasan’, ‘sedia mencari jalan’ menggantikan ‘suka beralasan’, dan ‘memberi 100% tumpuan dalam kelas’ menggantikan ‘suka bermain-main dan tidak bersungguh-sungguh mengikuti pengajaran guru dalam kelas’.

Perubahan ini tidak mudah dilakukan dan sukar untuk dipertahankan kerana manusia lazimnya selesa dengan kebiasaan yang sedia ada. Justeru itu, seseorang perlu mengorbankan kesenangan sementara yang ada bagi memastikan kejayaan yang lebih lama untuk masa hadapan. Tegasnya, perubahan memerlukan pengorbanan.

6. ‘Adakah kamu bijak memanfaatkan faktor sekitaran?

Ada tiga faktor sekitaran yang utama iaitu:

  • Rumah

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan masa depan anak. Lazimnya salah satu cara ibu bapa mempamerkan keprihatinan terhadap pelajaran anak adalah dengan mewujudkan budaya ilmu di rumah. Rumah yang mempunyai sekitaran belajar banyak kebaikannya dibandingkan dengan rumah yang sekitarannya meminggirkan ilmu.

  • Guru

Pengajaran guru di kelas serta dasar sekolah untuk memajukan warga sekolah, berperanan besar dalam kemajuan seseorang pelajar. Kegigihan guru, keberkesanan pengurusan dan pimpinan sekolah semuanya memberi kesan langsung kepada kejayaan seseorang pelajar.

  • Kawan

Pelajar, khususnya di peringkat sekolah menengah menghabiskan banyak masa bersama kawan. Justeru itu, pengaruh kawan sebaya cukup ketara. Ada masanya ia mengatasi peranan ibu bapa di rumah. Justeru itu, kemajuan atau kemerosotan prestasi akademik pelajar turut dicorakkan oleh rakan sebaya.